Pages

Sunday, June 9, 2019

DR. MAHATHIR SEDANG MENGUMNOKAN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN?



Ada beberapa fraksi politik yang sedang memperdebatkan sesuatu yang amat menarik berhubung tindak-tanduk Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ke-7 merangkap Pengerusi Pakatan Harapan semenjak kebelakangan ini.

Ramai yang mengatakan tindak-tanduk Mahathir itu sebenarnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyelamatkan dirinya, anak-anaknya, kroni-kroni dan proksi-proksinya. Namun ada pula yang berpendapat, Dr. Mahathir sebenarnya sedang meng'UMNO'kan Pakatan Harapan dengan tugas tersebut diletakkan ke bahu Azmin Ali yang dilihat menjadi orang yang paling diharapkan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia seterusnya.

Segala-galanya berpunca dari dalam UMNO sendiri dan kebetulan pula, Najib Abdul Razak pada ketika itu menjadi Presiden UMNO.

Kempen menggulingkan UMNO daripada takhta kerajaan sebenarnya sudah bermula secara giat, sistematik dan efisien semenjak PRU 2008 lagi. Dengan PKR sebagai barisan paling hadapan, manakala DAP mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri mereka sebagai wira kaum Cina, kempen-kempen secara berterusan untuk menghambat UMNO dan Barisan Nasional turun dari tampuk pemerintahan negara dilaksanakan pada hampir setiap masa.


9 Mei 2018 dalam PRU-14, petunjuk-petunjuk jelas beberapa bulan sebelum itu yang gelombang besar rakyat Malaysia untuk memenangkan Pakatan Harapan berbanding Barisan Nasional dan UMNO, sudah dapat dilihat. Biarpun Najib Abdul Razak dan Kerajaan Barisan Nasional cuba menahan gelombang besar tersebut, namun mereka sudah terlambat.

Sepanjang 3 tahun sebelum itu UMNO dan Barisan Nasional dalam keadaan yang sangat selesa dan yakin akan memenangi PRU-14 dengan selesa biarpun memperolehi majoriti yang lebih kecil namun akhirnya keputusan pada 9 Mei 2019 menunjukkan jalan keluar kepada mereka dari Putrajaya. Walaupun telah diperkatakan, diperingatkan dan ditunjukkan bukti-bukti bahawa UMNO dan Barisan Nasional boleh tercampak dari Putrajaya kerana sikap terlalu yakin, namun tidak ramai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang mengambil endah.

Setelah lebih 60 tahun secara berterusan semenjak Merdeka, Barisan Nasional (sebelum itu Perikatan) memerintah negara ini, majoriti rakyat berasakan sudah sampai masanya untuk mereka mencampakkan UMNO dan Barisan Nasional.


Bukan kerana UMNO dan Barisan Nasional tidak menjadi kerajaan yang baik. Di bawah pentadbiran Najib Abdul Razak, pelbagai insentif dan peruntukan untuk rakyat terutama warga marhein dan B40 diwujudkan, malah pelbagai bantuan disalurkan terus kepada masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang sosial.

Namun rakyat melihat gaya angkuh para pemimpin UMNO yang mentadbir negara, membuatkan mereka sangat yakin UMNO dan Barisan Nasional perlu dipecat dari Kerajaan. Lebih-lebih lagi apabila melihat gaya mewah kaum keluarga, kerabat dan kroni para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional membuatkan rakyat semakin bertambah yakin, mengubah kerajaan adalah satu-satunya cara bagi mendapatkan keadaan yang lebih baik kepada rakyat dan negara.

Rakyat berpendapat, negara sudah terlalu rosak. Banyak kerosakan berlaku disebabkan oleh golongan yang dilihat rapat serta selalu berdamping dengan Perdana Menteri. Golongan yang rapat dan seringkali berdamping dengan Perdana Menteri pula, seringkali menunjukkan sikap angkuh dan seolah-olah mereka tidak boleh disentuh mahupun dikritik. Dan rakyat pula melihat hanya golongan ini yang memperolehi laba kekayaan luar biasa kerana mereka rapat dan seringkali berdamping dengan Perdana Menteri. Perdana Menteri pula dilihat tidak berupaya dan hanya bergantung kepada golongan yang ada di sekelilingnya.



Mahathir adalah salah seorang pemimpin UMNO yang dibenci oleh rakyat kerana kehalobaan dan kerakusannya menjarah harta-harta negara untuk anak-anak, kroni dan proksinya. Mahathir tidak pernah dapat menceritakan bagaimana dia begitu berjaya menjadikan anak-anak lelakinya sebagai bilionaire sepanjang tempoh dia menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Dia juga tidak pernah menafikan tentang pemberian kontrak-kontrak mewah kerajaan kepada syarikat anak-anaknya.

Namun Mahathir bijak melihat peluang. Kemarahan rakyat kepada UMNO dan Najib Abdul Razak, telah diambil kesempatan oleh Mahathir apabila dia mula menonjolkan dirinya sebagai pejuang rakyat dan menentang rasuah, penyelewengan dan penjarahan harta negara.

Anehnya, rakyat boleh menerima Mahathir dengan imej barunya itu hanya kerana kebencian terhadap UMNO, Barisan Nasional dan Najib Abdul Razak.

Pengundi dan rakyat yakin, Mahathir di bawah Pakatan Harapan adalah Mahathir yang berbeza ketika berada di dalam UMNO dan Barisan Nasional. Mahathir 'Baru' akan membawa dan menjadikan Malaysia lebih cemerlang, gemilang dan terbilang walaupun sebaik-baik sahaja menjadi Perdana Menteri kali kedua, perkara pertama yang dilakukannya ialah memastikan kontrak kerja-kerja di Telekom Malaysia diserahkan kepada OPCOM, syarikat yang dimiliki oleh dua orang anak lelakinya, Mukhriz dan Mokhzani.

Dengan hanya 13 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh parti Mahathir, PPBM, Mahathir dilantik kembali sebagai Perdana Menteri. Tidak lama masa yang diambil oleh Mahathir untuk kembali menjadi Mahathir seperti dia masih di dalam UMNO dan Barisan Nasional dahulu. Dia kembali menunjukan perangai lama, ala diktator dengan mencatur hampir kesemua perkara dan menguasai segala-galanya walaupun di bawah pengawasan ketat Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng.


Azmin Ali dilantiknya sebagai menteri walaupun nama Azmin Ali tidak disenaraikan oleh PKR. Dia membakulsampahkan semua janji dan manifesto Pakatan Harapan dengan mengatakan Buku Harapan bukanlah kitab suci. Daim Zainuddin yang merupakan konco utamanya diberikan peranan yang sangat besar dalam hal ehwal kerajaan termasuklah berkaitan perjanjian kontrak mega dengan China. Dan terkini, melantik Latheefa Koya sebagai KP SPRM tanpa merujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan apatah lagi Parlimen sebagaimana yang dijanjikan dalam Manifesto PH PRU-14.

Sama ada sedar atau tidak, perlantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru membuatkan sekali lagi PKR bergolak dan kucar-kacir. Para pemimpin PKR berbelah kem. Yang pro-Azmin Ali, dengan pantas menyetujui perlantikan tersebut, bahkan memuji Latheefa Koya sebagai orang yang paling tepat untuk jawatan KP SPRM. Manakala kem yang pro-Anwar pula menyatakan perlantikan Latheefa Koya itu bertentangan dengan semangat reformasi dan pembaharuan institusi yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan serta menjadi tarikan kepada rakyat untuk menyokong Pakatan Harapan pada PRU-14 lalu.


Latheefa Koya adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR sebelum melepaskan semua jawatan termasuklah keahliannya dalam PKR, 24 jam selepas menerima tawaran untuk dilantik menjadi KP SPRM.

Dan seandainya kita perhatikan, ini adalah kali kedua PKR menjadi kucar-kacir dan bergolak hasil tangan Dr. Mahathir. Kali pertama ketika Azmin dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi walaupun ketika itu Azmin Ali sudah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.


Latheefa Koya adalah antara pemimpin PKR yang sangat pro-Azmin. Dalam pertembungan Azmin dengan Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden, Latheefa Koya tidak pernah berselindung menyerang Rafizi Ramli dan mempertahankan Azmin Ali. Malah permusuhan antara Rafizi Ramli dengan Latheefa Koya dapat diikuti oleh netizen menerusi perbalahan-perbalahan mereka di Twitter.

Ramai yang mempersoalkan tindak tanduk Dr. Mahathir. Apakah Mahathir sebenarnya bertujuan untuk mengenepikan dan menafikan peluang Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 sekaligus memberikan laluan selesa kepada Azmin Ali untuk menjawat jawatan yang sangat diidam-idamkan oleh Anwar Ibrahim itu?

Mahathir dilihat seperti sengaja mahu mengkucar-kacirkan PKR memandangkan PKR adalah parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam Pakatan Harapan. Mahathir seolah-olah cukup yakin UMNO berada di belakangnya dan bersedia untuk menerimanya kembali malah merestui tindak tanduknya menghancurkan Pakatan Harapan menerusi perpecahan PKR. Mahathir tidak bimbang dengan tindakannya yang akan menyebabkan PKR bergolak sekaligus akan melemahkan Pakatan Harapan.

Sedar tidak sedar, Mahathir sebenarnya sedang menjadikan Pakatan Harapan dengan DAP yang konon-kononnya terlalu kuat menjadi UMNO ke-2 (ke-3 sebenarnya). Campurtangan Mahathir dalam politik dan hierarki MCA dan MIC dalam mengukuhkan kedudukannya terutama membabitkan pelbagai skandal koperasi pada penghujung 80-an dahulu telah melemahkan kedua-dua parti komponen BN itu sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan perubahan pucuk pimpinan MCA hasil tangan ghaib Mahathir, bermula dari zaman Neo Yee Pan, membuatkan MCA kehilangan sokongan besar masyarakat Cina kepada parti berkenaan.

DAP bakal berhadapan dengan kemelut yang sama dengan MCA. Mahathir akan tetap bertindak sebagai 'Abang Besar' sepertimana dia menerajui UMNO dan Barisan Nasional suatu ketika dahulu.


Pakatan Harapan khususnya DAP amat sedar tentang hakikat tersebut namun mereka nampaknya tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang kehilangan kedudukan dan jawatan dalam Kerajaan yang baru mereka nikmati selama setahun. Lebih-lebih lagi dengan pelbagai skandal yang melingkari Lim Guan Eng, menjadikan DAP terpaksa akur sahaja dengan perbuatan Mahathir biarpun pada masa yang sama, Lim Kit Siang, bapa Lim Guan Eng terpaksa menggunakan Boo Cheng Hau di Johor untuk mendesak Mahathir agar segera melepaskan jawatan.

Biarpun negara ini tidak lagi dikuasai oleh UMNO, nampaknya Mahathir tidak segan silu membawa budaya UMNO secara langsung ke dalam Pakatan Harapan. Maka, tidak hairanlah mengapa sebilangan besar pemimpin UMNO pula terus mendiamkan diri sekalipun terdapat banyak isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat ditimbulkan oleh netizen. Para pemimpin UMNO yang ada pada hari ini kelihatan cukup selesa, biarpun mereka sebenarnya hanya berada di blok pembangkang.

Barangkali mereka yakin, kejayaan Mahathir meng'UMNO'kan Pakatan Harapan, akan mengembalikan mereka kepada jawatan, kedudukan dan kemewahan yang pernah mereka kecapi setahun yang lepas.

Persoalannya, adalah Majlis Presiden serta pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan akan terus membiarkan kerakusan Mahathir meng'UMNO'kan mereka menerusi tindakan-tindakan bersendiriannya yang bersifat autokratik?

Tunggu dan lihat....



No comments:

Post a Comment