Pages

Saturday, June 8, 2019

"KALAU MEREKA BOLEH PILIH MAHATHIR, KENAPA PERTIKAIKAN MAHATHIR LANTIK LATHEEFA KOYA?" - TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG, PRESIDEN PAS



Isu perlantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM masih belum selesai. Isu tersebut masih terus diperkatakan dan masih terus memaparkan perbezaan pendapat di kalangan Pakatan Harapan sendiri. Malah lebih teruk lagi, isu perlantikan Latheefa Koya telah menonjol dua kelompok berkepentingan di dalam PKR yang selama ini bijak menutup persengketaan mereka daripada dilihat oleh akar umbi.

Satu petisyen atas talian telah dibuat untuk mendesak Latheefa Koya meletak jawatan. Turut menandatangani petisyen tersebut adalah Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Tan Yee Kew. Beberapa orang Ahli Parlimen PKR yang lain seperti Nik Nazmi turut meragui dan mempersoalkan perlantikan Latheefa Koya.

Yang tidak banyak komplen malahan menyokong kuat perlantikan Latheefa Koya adalah Azmin Ali dan bloknya.


Sementara PAS menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkata, PAS menyokong penuh perlantikan tersebut. Malahan Takiyuddin Hassan dalam kenyataan rasminya selaku Setiausaha Agung berkata, PAS memberikan keyakinan penuh, Latheefa Koya dapat menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan berkesan, berintegriti dan tidak berpihak. (RUJUK SINI)

Manakala Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pula mencadangkan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam digantung sehinggalah Pakatan Harapan menghormati janji-janji mereka sendiri.


Menurutnya lagi, perlantikan Latheefa Koya sudah jelas menunjukkan bahawa jawatankuasa tersebut sebenarnya langsung tidak berfungsi.
“Malangnya di dalam episod ini, PH sekali lagi memahat ke sanubari rakyat bahawa janji mereka tidak boleh diambil secara serius,” katanya. (RUJUK SINI)
Sementara itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula mempertikaikan sikap segelintar Ahli Parlimen dan pemimpin PKR yang mempersoalkan perlantikan Latheefa Koya yang dipilih oleh Dr. Mahathir menerusi kuasa prerogatifnya sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk memilih sesiapa sahaja untuk mengisi jawatan-jawatan seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Kalau kepimpinan Pakatan Harapan boleh pilih dia (Mahathir) sebagai Perdana Menteri, mengapa pula, Perdana Menteri tak boleh pilih Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM?" katanya. (RUJUK SINI


Sementara itu, DAP menerusi Ramkarpal Singh yang merupakan Ahli Parlimen Gelugor pula berkata, perlantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana Mahathir langsung tidak meminta pandangan daripada komponen dalam Pakatan Harapan.

"The whole point of Pakatan Harapan’s election manifesto promise is to ensure a check-and-balance, and transparency in such appointments by setting up a Parliamentary Select Committee on Public Appointments." (RUJUK SINI)

Gobind Singh Deo pula walau bagaimanapun, cuba melindungi isu sebenar tentang perlantikan Latheefa Koya iaitu manifesto dan janji Pakatan sendiri dengan berkata, Latheefa Koya merupakan calon yang paling sesuai untuk jawatan tersebut. 

Katanya, dia telah mengenali Latheefa kerana masing-masing menjadi pengamal guaman dan berharap bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu diberi masa untuk melakukan yang terbaik dalam tugas baharu itu.

"Saya tidak terkejut dengan pelantikannya... beliau pasti seorang yang berkebolehan, berpengalaman dan mempunyai pemahanan dan pegangan mengenai perundangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana. (RUJUK SINI)

Manakala Aziz Bari, orang yang beria-ia mahu menjadi Menteri Besar Perak pula berkata, perlantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin dibuat tanpa perbincangan bagi mengelak perlantikannya menjadi sukar.

Abdul Aziz Bari dengan mengambil contoh cadangan pelantikan bekas Ketua Pengarang The Rocket iaitu media DAP, Wan Hamidi Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Menurutnya, apabila ada perbincangan untuk pelantikan Wan Hamidi, ia akhirnya gagal kerana penglibatan Wan Hamidi dalam akhbar The Rocket diperbesar-besarkan.

"Apakah trick (helah) itu diambil untuk memastikan Latheefa berjaya dilantik (sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM) dan tidak gagal seperti Wan Hamidi?" katanya (RUJUK SINI)

Ironinya, beberapa orang pemimpin UMNO pula kelihatan seperti terpinga-pinga dan tidak tahu atau lebih tepat lagi tidak faham isu tentang perlantikan Latheefa Koya. Ada di kalangan mereka yang mempersoalkan tentang kedudukan dan keberadaan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru menggantikan Shukri Abdul dan mempertikaikan keputusan Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri meskipun sebenarnya mereka juga tahu bahawa kuasa melantik Latheefa Koya adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.

Lebih malang ialah melihat tahap jentera propaganda dan perang saraf Pakatan Harapan, khususnya yang menggunakan medium Bahasa Melayu apabila kritikan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Wee Ka Siong, Presiden MCA dibalas kononnya, MCA takut dengan penguatkuasaan dan ketegasan Latheefa Koya walaupun sebenarnya yang dipersoalkan bukanlah Latheefa Koya, sebaliknya aku janji dan manifesto Pakatan Harapan sendiri yang mahukan jawatan-jawatan seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM berada di bawah kuasa Parlimen.

Dengan kata-kata lain, mereka sendiri pun tidak tahu bagaimana hendak membalas, menjawab dan mematahkan kritikan bertali arus berhubung keputusan kuku besi Mahathir dari segenap penjuru termasuklah dari kalangan mereka sendiri!

No comments:

Post a Comment