Tengku Mahkota Johor (TMJ) kini menjadi musuh nombor satu Mahathir selepas Najib Abdul Razak. Kini, Mahathir tidak lagi meratibkan nama Najib semata-mata, sebaliknya berkias menyindir TMJ termasuklah menggelarkan pewaris kesultanan Johor itu sebagai 'nangoi' setelah dia tersentap, TMJ memperbetulkan tentang Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kedaulatan dan hak setiap negeri termasuklah sultan-sultannya kepada Mahathir.
Mahathir sebelum ini mengatakan, selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, maka hilanglah sudah hak perlembagaan atau undang-undang tubuh setiap negeri, termasuklah Johor dan Terengganu.
Berselang sehari kemudian, TMJ memuatnaikkan peruntukan-peruntukan dan klausa-klausa dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menyanggah Mahathir.
Sudah tentulah Mahathir marah dan sentap. Dia dianggap sebagai orang yang sentiasa betul dan bijaksana. Apabila ada anak muda seperti TMJ yang memperbetulkannya, maka itu sudah mencabar keegoannya.
Mahathir kemudiannya beralih menyerang TMJ secara lebih mendalam dengan menceritakan bagaimana seorang TMJ telah dilucutkan jawatan. TMJ yang dimaksudkan oleh Mahathir itu adalah nenda TMJ sekarang iaitu Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor yang ke-24 dan sultan Johor ke-4 pada era Johor moden.
Maka berkokoklah para penyokongnya mengiakan cerita Mahathir, menyokong kata-kata beracun Mahathir secara membabi buta tanpa mereka sedari, Almarhum Sultan Iskandar yang pernah dilucutkan jawatannya selaku TMJ pada tahun 1961, telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981 dan kemudian dilantik sebagai DYMM Yang Dipertuan Agong pada 9 Februari 1984 iaitu empat tahun selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Johor.
Dengan kata lain, itulah sultan yang disembah hormat oleh Mahathir sepanjang tahun 1984 sehingga 1989 walaupun pada tahun 1987, Mahathir mempergunakan UMNO untuk menunjukkan dia lebih berkuasa daripada DYMM Yang Dipertuan Agong menerusi Krisis Perlembagaan dengan cerita dongeng Prebet Adam mengamuk.
Tentangan keras TMJ terhadap Statut Rome benar-benar mencabar Mahathir. Mahathir seperti biasa, akan bersembunyi di belakang orang-orangnya. Justeru, walaupun Mahathir pada 6 April 2019 telah mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rome setelah menandatangan Statut Rome pada 4 Mac 2019, hakikatnya Malaysia belum menarik diri secara rasmi daripada perjanjian tersebut.
Untuk menjustifikasikan Statut Rome meskipun mendapat tentangan secara meluas, Peguam Negara dilihat memainkan peranan yang cukup aktif dalam menghentam Raja-Raja Melayu serta DYMM Yang Dipertuan Agong. Dalam satu forum yang dihadiri oleh Tommy Thomas, anggota G25 Noor Farida Ariffin, Dr. Shad Saleem Faruqi dan Lim Wei Jiet serta Dr. Syed Ali di Auditorium Tun Mohd Suffian Universiti Malaya, mereka mengambil kesempatan melabelkan empat orang tokoh cendekiawan yang menelanjangkan maksud sebenar Statut Rome sebagai 'bodoh' dan 'kangkong'. (RUJUK SINI)
Tommy Thomas kemudiannya meneruskan serangan dengan menyatakan DYMM Yang Dipertuan Agong tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengisytiharkan perang atau darurat, sebaliknya kuasa tersebut terletak di tangan Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri dengan mengambil contoh Britain dan Ratu England. (RUJUK SINI)
Mungkin melihat Tommy Thomas gagal mendapat sokongan dan pada masa yang sama, Mahathir terus dikecam hebat selain pentadbirannya terus diragui dan tidak dipercayai, muncullah Rais Yatim dan Syed Saddiq untuk membela Mahathir dan pada masa yang sama, menyerang TMJ.
Namun keadaan sebenarnya bukan lagi pada tahun 1987. Ledakan maklumat dan akses yang mudah untuk orang ramai mencari maklumat sebenar, membuatkan Syed Saddiq dan Rais Yatim mahupun sesiapa sahaja yang cuba membela Mahathir, mendapat kecaman kuat daripada orang ramai.
Mahathir benar-benar bertemu buku dengan ruas. Cuma kali ini, ruas yang ditemuinya itu hanyalah seorang anak muda!