Malaysia menjadi negara kegemaran pendatang-pendatang daripada beberapa negara membangun termasuklah dari negara-negara jiran ekoran peluang pekerjaan dan ekonomi yang lebih baik, selain faktor pertalian persaudaraan.
Sempadan Malaysia yang seringkali digambarkan sebagai mudah bolos, menambah rencah yang menarik kedatangan pendatang-pendatang asing. Namun yang paling ketara adalah, penguatkuasaan imigresen yang amat menyedihkan merupakan faktor utama menggamit kehadiran pendatang-pendatang asing dan pekerja-pekerja haram dari negara lain, sehingga dari benua Afrika pun bertumpu ke sini.
Kelompok pendatang asing ini banyak mengambil peluang daripada rakyat Malaysia. Sama ada sedar atau sebaliknya, rakyat Malaysia menanggung hampir keseluruhan hidup pendatang asing di negara ini, manakala mereka pula bebas daripada membayar Malaysia kembali dalam bentuk cukai, walaupun pada masa yang sama, Malaysia turut membekalkan perkhidmatan perubatan, barangan bersubsidi, bahkan pendidikan percuma yang sepatutnya dikhaskan kepada rakyat Malaysia semata-mata.
Bukan satu perkara luar biasa melihat anak-anak pendatang asing ini bersekolah di sekolah-sekolah kebangsaan, malahan dari peringkat pra-sekolah, mahupun di tadika-tadika KEMAS. Dan tidak mengejutkan juga apabila mengetahui, ada di kalangan mereka yang menerima BRIM dan Bantuan Persekolahan 1Malaysia walaupun ibu bapa mereka bukannya warganegara Malaysia.
Dasar Lemah Lembut
Dasar toleransi pentadbiran Malaysia yang amat keterlaluan dalam isu pendatang asing ke negara ini, amat membimbangkan tetapi pada masa yang sama, amat mengejutkan dan mengkagumkan!
Pentadbiran Malaysia khususnya yang melibatkan imigresen tidak henti-henti mewujudkan keterujaan, kehairanan, rasa terkejut, kekaguman dan sebagainya menerusi tindakan-tindakan mereka yang lebih dilihat sebagai satu tindakan pengambilan untung semata-mata.
Bermula dengan kehadiran pendatang asing secara besar-besaran pada awal 1980-an, sehingga kini, imigresen Malaysia dianggap sangat gagal dalam perlaksanaan penguatkuasaan bagi memastikan pendatang-pendatang dan pekerja-pekerja asing tidak terlalu bebas seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Ditambah pula dengan permintaan kepada buruh-buruh murah, ada pihak-pihak tertentu yang menjadikan pendatang dan pekerja asing sebagai cara untuk mereka mendapatkan keuntungan dan kemewahan mudah.
Pemerdagangan manusia ini didalangi oleh orang tengah. Orang tengahlah yang banyak mengaut keuntungan manakala kelemahan Jabatan Imigresen dalam perlaksanaan dan penguatkuasaan pula, telah memberikan peluang yang amat besar kepada orang-orang tengah itu untuk menjadi sektor kartel yang amat berkuasa.
Barangkali menyedari ada sesuatu yang tidak kena dan kerajaan perlu segera memperbetulkan keadaan tersebut, satu bentuk kawalan diwujudkan untuk mengawal dan mengekang kebanjiran tenaga kerja asing di Malaysia menerusi pangkalan data yang dilaksanakan oleh MYEG.
Sedikit demi sedikit dan seperti biasa, beransur-ansur yang terlalu perlahan, menerusi beberapa syarikat atau lebih tepat lagi konsortium yang mengendalikan projek pendaftaran pekerja asing. Syarikat-syarikat tersebut adalah Bukti Megah Sdn. Bhd, Imam Sdn. Bhd, Fokas Mulia Sdn. Bhd dan MyEG Berhad.
Kegagalan projek 6P pada tahun 2011 dalam menangani masalah pekerja-pekerja asing, menyebabkan kerajaan perlu mencari mekanisme yang lebih berkesan dalam mendaftar, mengawal serta pada masa yang sama, mengekang keserakahan orang tengah yang telah menggagalkan semua usaha kerajaan.
Imigresen Gagal
Pendaftaran pekerja asing dilihat sebagai satu perniagaan yang amat menguntungkan. Dan kerana itulah, MYEG menjadi sasaran pihak-pihak berkepentingan untuk mereka terlibat di dalamnya. Tugas untuk mendaftarkan pekerja-pekerja asing, sekaligus membolehkan mereka membayar cukai yang sepatutnya, selain majikan yang perlu lebih bertanggungjawab dengan kemasukan mereka, menyebabkan ada pihak yang kecewa apabila syarikat-syarikat mereka tidak diberikan hak untuk bersama-sama dalam konsortium MyEG.
MyEG sebenarnya tidak lebih berkuasa daripada Imigresen sebaliknya konsortium tersebut hanya diberikan hak untuk mendaftar dan bekerja bagi pihak kerajaan untuk mengutip levi daripada pekerja-pekerja asing dan majikan-majikan mereka. Dan MyEg tidak bersendirian memandangkan terdapat tiga syarikat lain yang melakukan kerja-kerja yang sama dengan MyEg dalam isu pekerja-pekerja asing.
Bermula Februari 2015, MyEG telah diberikan hak melebarkan perkhidmatannya termasuklah enam jenis perkhidmatan membabitkan pekerja-pekerja asing. Dan di situlah bermulanya 'masalah-masalah' baru.
Paling ketara membabitkan kempen pembangkang yang cuba menutup malu mereka selepas menfitnah kerajaan menang PRU-13 menerusi undi pengundi-pengundi hantu yang diimport dari Bangladesh berjumlah 40,000 orang.
Namun cerita yang paling kerap didengar adalah tuduhan mengatakan MyEg membuat duit daripada kerja-kerja pembaharuan permit pekerja-pekerja asing. Walhal MyEg hanyalah bertindak sebagai kaunter hadapan dan kaunter bayaran untuk Imigresen, manakala keseluruhan bayaran 'dipunyai' oleh Imigresen.
MyEg juga pada November 2015, telah dituduh kononnya mengupah pihak ketiga untuk mendaftarkan pekerja-pekerja asing. Tuduhan-tuduhan tersebut timbul ekoran wujudnya berita tentang rancangan membawa masuk 1.5 juta orang pekerja dari Bangladesh, sekaligus menimbulkan kebimbangan besar kepada rakyat Malaysia, khususnya melibatkan kegagalan dan kelemahan penguatkuasaan Imigresen sendiri ke atas para pekerja asing. Selain itu turut dikatakan, MyEg membuat duit dengan mengenakan caj beribu-ribu ringgit bagi setiap orang pekerja asing untuk pendaftaran baru sedangkan pada masa yang sama, kerajaan tidak pernah mengumumkannya.
Tuduhan-tuduhan tersebut bagaimanapun, dinafikan oleh MyEg (RUJUK DI SINI).
Berita yang dilaporkan oleh MSTAR pada 26 Januari lepas, amat menarik kerana ia membabitkan pengumuman oleh Imigresen. (RUJUK SINI)
Timbul persoalan, adakah sebenarnya Imigresen sedang menjadikan salah sebuah daripada syarikat-syarikat yang diberikan hak membantu imigresen dalam urusniaga pendaftaran pekerja asing yang amat menguntungkan itu, sebagai kambinghitam untuk sesuatu yang dilindungi?
Berita tentang kegagalan pendaftaran pekerja asing oleh MyEg amat menarik. Kegagalan sejumlah lebih 30,000 pekerja asing didaftarkan, boleh menjadi tajuk yang menimbulkan pelbagai persepsi walaupun hakikatnya, kegagalan tersebut mungkin berpunca daripada dokumentasi Imigresen sendiri seperti pasport tamat tempoh dan sebagainya.
Syarikat-syarikat seperti MyEg sebenarnya tidak akan wujud sekiranya Imigresen benar-benar cekap dan benar-benar melaksanakan tugas serta amanah mereka terutama yang melibatkan penguatkuasaan. Kewujudan syarikat-syarikat seperti MyEg dan pemberian kontrak yang pada luarannya seperti mahu memudahkan kerja-kerja Imigresen, tidak seharusnya disusuli dengan cerita-cerita kambing hitam untuk melindungi kelemahan Imigresen sendiri.
Masalah pendatang dan pekerja asing sudah menjadi barah besar kepada Malaysia dan rakyatnya. Lambakan pekerja asing yang tidak lagi terhad kepada sektor-sektor yang ditetapkan, malah mewujudkan pula kewujudan pendatang-pendatang asing yang tidak bekerja tetapi kita boleh melihat mereka melepak sana sini, termasuklah yang menguasai kawasan-kawasan seperti Pasar Borong Selayang sekaligus menjadi bukti jelas, bukan syarikat-syarikat seperti MyEg yang perlu dikambinghitamkan, tetapi Imigresen sendiri yang perlu diperiksa untuk melihat sakitnya!
1 comment:
Myeg penyamunlah bro. Abis semua dibalun. Takyahlah defend sangat.
Post a Comment