Bantuan Rakyat 1Malaysia diwujudkan untuk membantu rakyat khususnya golongan B40 merancakkan pertumbuhan ekonomi dan kitaran wang domestik. Bagaimanapun bantuan dan stimulus tersebut telah dikatakan sebagai RASUAH dan label CASH IS KING cukup sinonim dengan BR1M sehinggakan anak lelaki Dr. Mahathir ketika berkempen PRU-14 di sebuah tanah Felda di Kedah menghina golongan penerima BR1M sebagai golongan peminta-minta. Katanya, penerima dan pemberian BR1M tidak boleh dibanggakan kerana seseorang itu hanya boleh berbangga kalau mereka berjaya dengan usaha mereka sendiri.
9 Mei 2019, Pakatan menjadi Kerajaan Persekutuan. Isu BR1M muncul lagi dan kebetulan pula, pembayaran kedua BR1M pada Julai tahun berkenaan turut kecoh. Mungkin sebab malu alah atau barangkali juga untuk mengurangkan atau meminimakan kerosakan imej Pakatan, BR1M tidak jadi dimansuhkan atau ditambahbaikkan seperti yang diikrarkan oleh Lim Guan Eng, sebaliknya jumlah penerima BR1M dikurangkan. Begitu juga nilai BR1M turut dikurangkan dengan alasan, negara banyak hutang. Tidak lama kemudian BR1M ditukar namanya menjadi Bantuan Sara Hidup (BSH atau lebih popular sebagai BASAH).
Sebelum BR1M dimansuhkan, antara golongan yang menerima insentif kerajaan itu adalah golongan bujang.
Namun BSH yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan sebagai penjenamaan semula BR1M, telah mengeluarkan golongan bujang daripada golongan yang menerima insentif tersebut. Kerajaan menganggap GOLONGAN BUJANG DAN MUDA bukanlah penjana ekonomi domestik. Malah tidak mempunyai sebarang signifikan dalam aliran kewangan domestik negara. Golongan muda bagi kerajaan hanyalah sebagai golongan yang hanya diperlukan pada musim mengundi dan sebagai pengundi.
Pastinya terkini, ramai yang sedang sibuk mengemaskinikan atau membantu mengemaskinikan Borang Bantuan Sara Hidup 2019.
Namun berdasarkan kepada luahan orang ramai seperti yang dapat dilihat di Facebook khususnya, ramai yang mengeluh tentang kesukaran dan halangan-halangan yang dicipta oleh Kerajaan untuk rakyat mendapatkan bantuan tersebut.
Sedangkan hakikatnya, BSH 2019 tidak lebih daripada 'copy paste' BR1M sahaja.
Persoalan besar yang ditanyakan ialah, mengapa orang bujang sudah tidak layak menerima bantuan tersebut, sedangkan sebelum ini setiap tahun, nilai bantuan boleh dinaikkan oleh kerajaan yang dikatakan rasuah dan kleptokrasi untuk 7 juta orang penerima.
Adakah alasan yang paling utama ialah orang bujang tidak ada tanggungan? Sedangkan hakikatnya, orang bujang juga perlu menyara kehidupan.
Ramai juga yang kurang senang dengan cara kini untuk memohon dan mengemaskinikan permohonan BSH 2019. Paling ketara ialah mereka yang tinggal di kawasan pedalaman bilamana capaian dan liputan Internet merupakan 'perkhidmatan mewah' yang tidak pernah mereka gunakan selama ini. Sama ada mereka ke bandar yang mengambil masa perjalanan yang lama atau mereka perlu juga mengemaskinikan permohonan tersebut dengan 5 sijil sahih.
Sepatutnya, kalau ikhlas membantu sepertimana Kerajaan begitu ikhlas, begitu prihatin dan begitu bertimbangrasa membantu sekolah-sekolah persendirian Cina walaupun di dalam Perlembagaan Persekutuan, sekolah-sekolah berkenaan tidak layak menerima wang rakyat atau wang negara, mengapa perlu rakyat disusahkan dengan birokrasi sedemikian rupa?
Daripada 7 juta penerima, hanya 2 juta penerima sahaja yang perlu dibantu. Daripada RM1,200, hanya RM900 sahaja, sepatutnya ia bukanlah satu masalah besar kepada kerajaan. Apatah lagi dengan penyingkiran golongan muda dan bujang sebagai penerima bantuan, membolehkan wujud lebihan besar dalam bajet tersebut.
Takkan untuk menteri walaupun menipu kelulusan akademik, boleh bergaji puluhan ribu sebulan dengan segala manfaat ditanggung sepenuhnya oleh rakyat, rakyat pula disusah-susahkan dengan pelbagai karenah birokrasi termasuklah semasa mengisi borang?
Sedangkan dana yang dijoli oleh Kerajaan sekarang, adalah wang rakyat!