Pakatan Harapan, khususnya DAP masih menaruh harapan 'tsunami politik' seperti yang berlaku pada tahun 1999 dan 2008, kembali berulang dalam PRU-14 yang bakal dilangsungkan dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.
Pada tahun 1999, tsunami Melayu telah melanda dengan faktornya adalah pemecatan Anwar Ibrahim. Kerajaan Barisan Nasional yang pada waktu itu diketuai oleh Dr. Mahathir hampir tertungging. Bagaimanapun, kelebihan pembahagian kawasan serta rundingan pada saat-saat akhir dengan Shuqui dan Dong Zhong berjaya menyelamatkan Barisan Nasional. Dr. Mahathir beruntung kerana pada waktu itu, media sosial masih tidak popular dan digunakan secara meluas seperti sekarang.
Biarpun Barisan Nasional berjaya mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi UMNO mengalami kemerosotan jumlah kerusi yang dimenangi secara drastik. Kerusi-kerusi campuran Cina dan India banyak menyelamatkan Barisan Nasional.
2008, tsunami Cina pula melanda. Kemenangan majoriti lebih dua pertiga oleh BN pada tahun 2004, menyebabkan DAP giat mencanangkan bahawa orang Cina khususnya akan berhadapan dengan pelbagai tekanan kerana dasar-dasar kerajaan sudah pasti akan melebihkan orang Melayu. Hasutan dan tohmahan DAP itu berjaya dihadam oleh masyarakat pengundi Cina. Pada masa yang sama, Dr. Mahathir turut menghasut orang Melayu agar menggulingkan Abdullah Badawi yang dikatakannya sebagai 'menjahanamkan negara' walaupun hakikatnya, Abdullah Badawi cuba meminimakan kerugian wang negara kesan daripada dasar-dasar Mahathir yang pro-kroni, korupsi dan nepotisme.
Tidak sedikit Melayu yang terpengaruh dengan hasutan Dr. Mahathir yang kemudian menentang serta mendesak Abdullah Badawi agar berundur.
Gabungan 'tsunami Melayu dan Cina' menyaksikan buat kali pertama, Barisan Nasional gagal menguasai dua pertiga majoriti di Parlimen pada PRU-2008. 5 negeri pula terlepas ke tangan pakatan pembangkang. Abdullah Badawi akhirnya terpaksa meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO untuk digantikan oleh Najib Abdul Razak.
2013, DAP dan tsunami Cina masih berterusan. DAP memainkan pelbagai isu-isu sensitif yang mempersoalkan tentang kedudukan orang Melayu, agama Islam, Raja-Raja Melayu bahkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Seperti pada tahun 2008, DAP menghasut masyarakat Cina agar menentang Barisan Nasional kononnya orang Cina telah ditekan, didiskriminasi dan dizalimi memandangkan Kerajaan Barisan Nasional hanya melebihkan orang Melayu dan Bumiputera. Isu sensitif lain yang lebih kerap digunakan oleh DAP ialah kononnya Islam telah dipaksa ke atas orang-orang bukan Islam. Pelajar-pelajar sekolah terutama di SJKC-SJKC telah cuba diIslamisasikan oleh guru-guru Melayu yang 'sengaja' dimasukkan ke sekolah-sekolah berkenaan.
Hasutan, fitnah dan tohmahan DAP berjaya. PRU 2013 menyaksikan, Barisan Nasional kehilangan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang mempunyai jumlah pengundi Cina melebihi 40% kepada DAP. Pun begitu, UMNO dan PBB Sarawak berjaya meningkatkan jumlah penguasaan kerusi Parlimen dan DUNnya walaupun parti-parti komponen utama seperti MCA, MIC dan GERAKAN gagal menyaingi DAP.
PRU-14, pelbagai teori dan analisis telah mula dikeluarkan. DAP seperti biasa, meneruskan kempen dan hasutan mereka agar pengundi-pengundi Cina berjaya ditakut-takutkan dengan Melayu-Bumiputera dan Islam. Pada masa yang sama, DAP turut cuba meraih sokongan pengundi-pengundi Melayu-Bumiputera terutama apabila Dr. Mahathir kini mengetuai Parti Cap Bunga manakala Mat Sabu yang memimpin serpihan PAS, mengetuai PAN.
Dalam analisisnya, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Min berkata, AKAN BERLAKU PERALIHAN 15% undi Melayu kepada Pakatan Harapan sebagaimana yang berlaku pada 1999 dan 2008. Alasannya mudah, UMNO telah berpecah. Begitu juga dengan PAS.
Bagaimanapun, hujah Ong Kian Min itu agak dangkal memandangkan yang teruk berpecah sekarang adalah DAP dan PKR. DAP khususnya Lim Guan Eng sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan dan kepimpinan terutama selepas Lim Guan Eng berhadapan dengan kes rasuah dan salahguna kuasa selain pendedahan melibatkan penjualan tanah-tanah kerajaan negeri dalam usaha Lim Guan Eng untuk membuktikan, dia bijak mentadbir dan menguruskan kewangan Pulau Pinang.
DAP sedang berhempas pulas untuk memperbetulkan persepsi di kalangan para pengundi Cina apabila akhbar-akhbar berbahasa Cina yang selama ini menjadi sumber kekuatan DAP, mula memaparkan ketirisan dan penyelewengan dalam DAP. Cengkaman Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang ke atas akhbar-akhbar berbahasa Cina, tampak semakin longgar terutama selepas beberapa siri skandal dan penyelewengan membabitkan para pemimpin DAP dipaparkan.
Lebih teruk lagi ialah apabila DAP sendiri terpaksa membuat pembetulan hujah setelah menerima Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz sebagai sekutu baru mereka setelah sekian lama menghentam dan membuat pelbagai tuduhan terutama sekali ke atas Dr. Mahathir.
Biarpun cuba menggunakan isu-isu nasional seperti 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion, DAP sendiri tidak mampu menangkis isu-isu setempat yang berkaitan DAP seperti Laporan Kajian BolehLaksana Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang pembayarannya sebanyak RM305 juta telah dibuat walaupun laporan tersebut belum disiapkan sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan tuduhan derma RM1.6 bilion dari Zionis Israel yang dibuat oleh bekas pemimpin DAP yang sehingga ke hari ini tidak diambil tindakan walaupun Lim Kit Siang pada waktu itu, bersungguh-sungguh menyatakan akan menyaman bekas pemimpin tersebut.
Skandal penipuan pemilikan rumah mampu kos rendah yang dilakukan oleh Lim Keat Seong, bapa kepada ADUN DAP Sungai Pinang Lim Siew Khim, kilang haram di Sungai Lembu yang mempunyai kaitan dengan Phee Boon Poh, kekayaan luar biasa dan melampau Nigel Law, anak Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Danny Law Heng Kiang, pembelian banglo dengan harga di bawah pasaran selain penguasaan sekurang-kurangnya 16 jawatan penting GLC oleh Lim Guan Eng, merupakan antara masalah yang sering diperkatakan oleh rakyat Pulau Pinang, tetapi cuba ditutup oleh DAP.
Suasana pada tahun 2008 dan 2013 di kalangan masyarakat Cina juga kurang dirasakan walaupun masih ramai yang percaya, DAP sekurang-kurangnya masih mampu memperolehi lebih 80% undi Cina tetapi kurang 90% berbanding yang mereka perolehi pada tahun 2008 dan 2013. Aliran dan trend terkini, khususnya di media-media sosial menyaksikan kesuraman tersebut apabila RBA iaitu tentera-tentera siber DAP yang sering dikatakan hebat, sekarang ini semakin kurang menyengat terutama di laman-laman berbahasa Melayu dan Inggeris.
Ong Kian Min boleh menyedapkan hati dengan 'tsunami Melayu' sepertimana DAP menyedapkan hati para penyokong PAS suatu ketika dahulu untuk membantu DAP meningkatkan penguasaan kerusi-kerusi Parlimen mereka. Namun secara jelas, DAP sendiri berhadapan dengan masalah tsunami Melayu yang mungkin akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi-kerusi yang dimenangi dengan bantuan PAS dan PKR sebelum ini terutama kerusi-kerusi di Pulau Pinang dan Selangor.
Tidak dapat dinafikan bahawa perubahan terutama membabitkan pengundi-pengundi baru dari kalangan generasi muda akan berlaku terhadap Barisan Nasional, namun pada masa yang sama keseimbangan juga akan berlaku apabila pengundi kali pertama pada 2008 dan 2013 mula melihat kegagalan dan keserakahan DAP serta Pakatan sendiri.
Ong Kian Min bolehlah sedapkan hatinya sendiri. Boleh juga sedapkan hati Lim Kit Siang yang sudah mahu berpindah dari Gelang Patah di Johor ke Pulau Pinang kerana masalah dan krisis kepercayaan terhadap anak lelakinya, Lim Guan Eng. Namun yang pasti, angka dan trend sedang berbicara sendiri untuk menunjukkan analisanya tentang tsunami Melayu, terlalu dangkal dan hanya bersifat memujuk diri sendiri!