Social Icons

Pages

BULETIN 247

Friday, August 30, 2019

MAHATHIR KEMBALI BERCAKAP TENTANG PENGHARAMAN UMNO DI TENGAH-TENGAH KEMELUT DAN HURU-HARA PAKATAN HARAPAN YANG TIDAK ADA HARAPAN DI HATI RAKYAT!!!



Tidak dapat dipastikan, adakah UMNO dan Majlis Tertingginya telah membincangkan perihal perkembangan terbaharu ini. Melihat kepada reaksi suam-suam dan sejuk di kalangan kepimpinan tertinggi UMNO, rasa-rasanya kebanyakan daripada mereka tidak langsung peduli dengan amaran dan petunjuk awal yang diberikan oleh Mahathir. 

Malaysiakini melaporkan, Pengerusi PPBM, Dr. Mahathir Mohamad mendesak pihak berkuasa untuk mempertimbangkan mengapa UMNO masih dibenarkan beroperasi, malahan kembali menjadi 'kaya' walaupun dibayangi pelbagai tuduhan penyelewengan dan salahguna. 

Agak menarik ialah apabila masalah tentang UMNO itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM yang langsung tidak ada kena mengena dengan UMNO. 

Mahathir mempersoalkan tentang kegagalan mematikan UMNO walaupun akaun-akaun UMNO dan kepimpinan tertingginya, terutama sekali Najib Abdul Razak dibekukan kerana dituduh terlibat dalam skandal 1MDB. 

The Edge Market sebelum ini melaporkan, UMNO telah berjaya mengumpulkan lebih RM2 bilion menerusi penjualan saham-sahamnya.


Umum mengetahui, sebelum UMNO diharamkan pada tahun 1988 akibat perbuatan Mahathir sendiri yang cuba mempertahankan kedudukannya selepas dicabar hebat oleh Tengku Razaleigh Hamzah, UMNO pada waktu itu mempunyai banyak aset serta tunai. Bagaimanapun, selepas UMNO diharamkan dan UMNO Baru ditubuhkan, semua aset-aset tersebut hilang begitu sahaja walaupun banyak nama didedahkan sebagai proksi dan kemudian muncul kaya secara tiba-tiba. 

Mahathir turut mempersoalkan tentang wang yang dimiliki oleh UMNO. 

"Kalau sekiranya mereka buat duit yang banyak, apa yang mereka buat dengan duit itu? Kita nak tahu," katanya kepada wartawan dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan. 

Dalam sidang media itu juga, dia turut hairan dengan tindakan ROS yang enggan mengambil tindakan terhadap UMNO apatah lagi ketika UMNO akan menandatangani Piagam Perpaduan Ummah dengan PAS pada 14 September nanti. 

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin. ROS berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. 

Mahathir turut merujuk kepada krisis UMNO yang dihadapinya ketika dia jadi Presiden UMNO yang mendorong kepada pengharaman UMNO. 

"Apabila saya menjadi Presiden UMNO, kami mempunyai tiga cawangan yang tidak mengadakan mesyuarat dan kemudian UMNO diharamkan. Kita juga berhadapan dengan situasi yang sama. Tetapi sekarang, kita melihat bagaimana UMNO melakukan banyak kesalahan tetapi masih boleh beroperasi dan pendaftarannya tidak dibatalkan." 

Menurut Mahathir, itu adalah pendapat peribadinya dan dia tidak mengeluarkan sebarang arahan. 

Benarkah UMNO melakukan banyak kesalahan? 


Mahathir juga mempersoalkan pendaftaran UMNO yang masih belum dibatalkan. Benarkah itu hanya cadangannya sahaja memandangkan Mahathir cukup terkenal sebagai seorang penyalahguna kuasa dan menggunakan kuasanya dengan sewenang-wenangnya. Ini dapat dilihat menerusi pengharaman UMNO pada tahun 1988 dan penubuhan UMNO Baru sendiri dua minggu selepas UMNO asal diharamkan.  

Atau adakah ini menandakan Mahathir sedang mengarahkan agar Muhyiddin Yasin mengikut kata-katanya agar mengarahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) melakukan sesuatu ke atas pendaftaran UMNO? 

Mahathir cuba mengaitkan UMNO dengan pembubaran sementara PPBM. Sedangkan kesalahan-kesalahan PPBM begitu jelas dan sememangnya menyalahi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh ROS sendiri. 

Sebagai contoh,

1. Tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

https://www.hmetro.com.my/utama/2018/04/327751/ppbm-diperintah-bubar-sementara

2. Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengaku parti itu tidak dapat memenuhi 2 daripada 9 perkara dituntut ROS, iaitu laporan mesyuarat bahagian dan cawangan kerana ia belum dan tidak dapat dilaksanakan. 



Sesuatu yang menarik ialah, Mahathir kembali bercakap tentang pembubaran dan pembatalan pendaftaran UMNO apabila isu tentang syarikat anaknya memperolehi RM2.1 bilion projek kerajaan. Mahathir mula bercakap tentang menghapuskan UMNO apabila orang dalam partinya sendiri mula bercakap tentang penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan. 

Mahathir mungkin menyangka dengan membubarkan UMNO, maka ahli-ahli UMNO akan melompat masuk PPBM sekaligus mengukuhkan PPBM di dalam Pakatan Harapan. Malangnya, tanggapan tersebut sudah berbeza sama sekali. 

Penolakan terhadap Mahathir dan PPBM memang sangat jelas. Selepas bercakap besar kononnya, PPBM mendapat sambutan hebat di kalangan orang Melayu, sehingga kini PPBM masih gagal melaksanakan mesyuarat agung tahunannya kerana tidak cukup ahli. Malah ahli-ahli UMNO secara terbuka bercakap tentang masa hadapan parti mereka, sekiranya UMNO diharamkan, PAS adalah pilihan utama mereka. 

Dengan kata lain, Mahathir perlu juga mengharamkan PAS kalau berdasarkan kepada teori migrasinya. 


Tuesday, August 20, 2019

LIM GUAN ENG LUPA, KALAU BUKAN KERANA BELAS KASIHAN UMNO DAN PAS, DIA SEKARANG ADALAH ORANG TAK BERNEGARA YANG TIDAK ADA HAK APA-APA PUN!!!



Perhatikan bagaimana Lim Guan Eng menyatukan Cina dan India dengan menggunakan UMNO dan PAS tanpa sedikit rasa bersalah, rasa malu mahupun ada maruah.

Mudah sahaja Lim Guan Eng buat. Iaitu dengan membangkitkan isu perkauman dan meletakkan kesalahan tersebut kepada UMNO dan PAS. (RUJUK SINI)

UMNO dan PAS sekarang ini cuba diperlihatkan sebagai pihak yang bencikan orang bukan Melayu dan bukan Islam. DAP menerusi Lim Guan Eng cuba memberikan tanggapan bahawa UMNO dan PAS kalau dibiarkan berkuasa, akan menyebabkan hak-hak orang bukan Islam dan bukan Melayu khususnya akan dirampas.

Dan kalau kita melihat di sosmed pun, memang itulah yang dicanang-canangkan oleh penyokong-penyokongnya.

Hakikatnya, yang sedang berlaku sekarang ialah TERBALIK!

Di Sabah dan Sarawak, tanah-tanah NCR sedang direbut dan dilabelkan sebagai tidak ekonomikal kerana tidak boleh dimajukan atas sebab kekangan undang-undang NCR.

Terbaharu di Sarawak, krisis tanah di Kampung Tambirat, Asajaya antara penduduk kampung dengan tauke-tauke besar Sibu kini berulang kembali sejak 33 tahun yang lalu walaupun ianya sudah diselesaikan di mahkamah.

Salah seorang pemilik tanah terbabit selaku jurucakap penduduk, Ahmad Awang Ali berkata mereka sudah memenangi empat kes tuntutan pemilikan ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 408 ekar itu di mahkamah sebelum ini. (RUJUK SINI)

Isu tulisan Jawi dan Khat, isu pembinaan masjid, isu sekolah-sekolah vernakular, pemotongan peruntukan untuk pekebun-pekebun kecil, perampasan ke atas biasiswa untuk Bumiputera sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, pembatalan peruntukan untuk prasarana dan sekolah-sekolah daif di Sarawak, dan seribu satu macam pembatalan serta pengecilan yang lain, hampir kesemuanya membabitkan Melayu dan Bumiputera.

Dan perbuatan tersebut dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan yang ditunjangi oleh DAP dengan Lim Guan Eng sendiri adalah Menteri Kewangan.

Nelayan, pekebun kecil, penoreh, dan petani yang terlibat dalam kelapa sawit, hampir kesemuanya adalah Melayu dan Bumiputera. Mereka semua terjejas kerana hak mereka telah dirampas oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimana kelompok 60% terpaksa menyerahkan sebahagian besar peruntukan mereka untuk kelompok 24% dan 6%? Perhatikan sajalah bagaimana peruntukan untuk sekolah-sekolah termasuklah sekolah-sekolah persendirian Cina dibuat oleh Lim Guan Eng? Adilkah? Tidakkah peruntukan itu sendiri merampas hak sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah tahfiz atau agama yang kewujudan mereka diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan berbanding sekolah-sekolah vernakular dan sekolah Cina persendirian?

Itu yang Lim Guan Eng katakan, UMNO dan PAS akan merampas hak bukan Islam, bukan Melayu kalau diberikan kemenangan?

Barangkali Lim Guan Eng cuba mengherotkan sejarah bilamana UMNO dan PAS adalah pihak yang membenarkan masyarakat Lim Guan Eng menjadi warganegara dengan menikmati hak-hak yang tidak dinikmati oleh saudara mara mereka di negara-negara jiran.

Yang bersetuju memberikan hak kepada masyarakat bukan Melayu dan bukan Bumiputera pada pra-kemerdekaan dan selepas kemerdekaan adalah UMNO dan PAS pada ketika sebahagian besar bukan Melayu enggan negara ini merdeka kerana bimbang mereka tiada tempat tinggal lagi. (RUJUK SINI)

Kini, selepas 62 tahun merdeka, selepas bukan Melayu hidup selesa di negara ini tanpa bimbang diancam atau harta mereka dirampas, muncul Lim Guan Eng memberi amaran Melayu-Islam dan Bumiputera dalam UMNO dan PAS akan merampas hak-hak bukan Melayu dan bukan Islam?

Tidakkah apa yang dikatakan oleh Lim Guan Eng itu sebenarnya satu pengisytiharan perang?


Monday, August 19, 2019

HILANG PERWIRA MAHATHIR DALAM ISU ZAKIR NAIK BILA ANAKNYA DIDEDAHKAN MEMPEROLEHI 1000 HEKTAR TANAH BALAK DI SARAWAK KETIKA BERUSIA 30 TAHUN PADA 1994!!!



Empat hari sudah berlalu semenjak pendedahan dibuat oleh Sarawak Report dan Clare Rewcastle-Brown tentang pembabitan Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PPBM yang juga merupakan Menteri Besar Kedah dalam perolehan 1000 hektar kawasan pembalakan di Sarawak pada tahun 1994 menerusi syarikatnya, Tanjung Tiara Sdn. Bhd.

Ketika menerima keistimewaan tersebut, Mukhriz Mahathir hanya berusia 30 tahun tetapi bapanya adalah Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia. Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu pula adalah Taib Mahmud.

Untuk rekod, projek Empangan Bakun yang dirancang pada tahun 1960-an, disemak semula pada September 1993 oleh Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad dan pada 1 Januari 1994, projek berkenaan diserahkan kepada Ekran Berhad, yang dimiliki oleh Ting Pek King.

Pembinaan Empangan Bakun dimulakan oleh sebuah Bakun Hydroelectric Corporation yang mengandungi Ekran Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Kerajaan Negeri SArawak, Sarawak Electricity Supply Corporation (SESCO) dan Malaysia Mining Corporation Bhd (MMC).

Projek di bawah Ekran itu akhirnya tersangkut pada tahun 1997 dan terpaksa bail-out.

Hanya pada pentadbiran Najib Abdul Razak, Empangan Bakun berjaya disiapkan dan 100% kepentingannya diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak pada 8 Mac 2017 berbanding matlamat asal, Empangan Bakun dimiliki syarikat kroni.(RUJUK SINI)

Apa kaitan Bakun dengan Projek Tanjung Tiara?

BALAK!!! Dan kalau dipanjangkan isu Balak yang membabitkan Mahathir, akan panjanglah ceritanya. Akan buruklah Mahathir dan pentadbirannya.



Pendedahan yang dibuat oleh Sarawak Report dan Clare Rewcastle-Brown itu sebenarnya boleh menjangkau ke perspektif yang lebih luas dan besar. Umum mengetahui dendam peribadi Clare Rewcastle-Brown terhadap Taib Mahmud dan Kerajaan Negeri Sarawak khususnya terutama dalam isu yang membabitkan Bruno Manser. (RUJUK SINI)

Mahathir amat sedar tentang kaitan tersebut yang boleh menyebabkan kerjaya politik anaknya, Mukhriz yang kini sedang bercuti bersama-sama keluarganya di Shanghai bakal terjejas dan reputasinya akan dipersoalkan.

Pendedahan yang dibuat oleh Sarawak Report itu sebenarnya bertujuan untuk mencabar keberanian Mahathir. Mahathir sebelum ini dilihat malah dipropagandakan oleh para penyokong dan tenaga kerja propaganda dan publisitinya sebagai orang yang memperjuangkan Islam dan Melayu-Bumiputera.


Pendirian Mahathir terhadap Zakir Naik sebagai contoh, merupakan perkara yang paling mudah untuk mencabar pendirian Mahathir.

Ternyata, penggunaan Sarawak Report untuk mendedahkan pembabitan Mukhriz Mahathir dalam pembalakan di Sarawak dengan mudah sahaja menggugah pendirian Mahathir. Mahathir yang pada awalnya kelihatan cukup teguh mempertahankan Zakir Naik, tidak sampai beberapa jam selepas pendedahan tersebut dibuat, mula berubah fikiran.



Mahathir cuba memberitahu orang Cina dan India bahawa Zakir Naik mendapat status Penduduk Tetap daripada Najib dan pentadbiran UMNO-BN. Mahathir cuba memberi isyarat kepada masyarakat Cina dan India yang kuat menentang Zakir Naik dan merupakan penyokong tegar DAP serta Pakatan bahawa dia tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya mereka kena terus marah, maki, hamun dan sumpah seranah Najib serta Kerajaan BN.

Secara tidak langsung, Mahathir memberikan isyarat kepada DAP dan PKR agar menghentikan serangan ke atasnya menggunakan anaknya, Mukhriz Mahathir. DAP dan PKR pula tahu, kelemahan utama Mahathir adalah anak-anaknya. Dia menjadi Perdana Menteri kali kedua adalah demi melindungi anak-anak dan kroninya.

Kesian Mahathir!

Friday, August 16, 2019

SEBIJAK-BIJAK JOKOWI, TERTIPU JUGA DENGAN HELAH MAHATHIR... SEPATRIOTIK-PATRIOTIK RAKYAT INDONESIA, AKHIRNYA BUNGKAM BILA MAHATHIR PANDU KERETA!!!!


Kemelut yang melanda Kerajaan Pakatan Harapan, nampaknya semakin tidak terbendung walaupun para pemimpin tertingginya cuba untuk menyelamatkan gabungan berkenaan. Dr. Mahathir yang dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab meletakkan Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Pusat menggantikan Kerajaan Barisan Nasional yang kalah pada PRU-14, juga nampaknya semakin terumbang-ambing nasibnya.

Namun Mahathir mempunyai kaedah tersendiri untuk menyelamatkan dirinya iaitu INDONESIA!

Sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh sesiapa pun yang berminat dengan politik Malaysia ialah, kejatuhan Malaysia dalam segenap aspek sebaik-baik sahaja Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada 9 Mei 2018.


Bermula dengan kejatuhan Bursa Saham Kuala Lumpur, kejatuhan nilai Ringgit berbanding Dollar Amerika Syarikat dan matawang-matawang serantau, penjualan aset-aset negara yang dilakukan secara berleluasa, defisit ekonomi yang semakin teruk, kos sara hidup yang semakin tinggi, cukai-cukai baru diperkenalkan dan kadarnya dinaikkan sehinggalah kepada masalah perpaduan dan keharmonian negara yang berada di hujung tanduk.

Semenjak Pakatan menjadi Kerajaan, Malaysia sudah hilang semua sentuhannya. Malaysia tidak lagi menjadi pelabuhan perdagangan dan pelaburan yang meyakinkan serta menarik minat. Malaysia juga semakin tidak dipercayai di peringkat antarabangsa. Malaysia dijauhi bukan sahaja oleh pelabur, bahkan pemimpin-pemimpin dunia.

Pendek kata, Malaysia semakin terpencil dan semakin dipinggirkan oleh dunia.

Paling menarik ialah apabila Malaysia semakin kalah dengan Indonesia dari segala segi termasuklah kemasukan pelaburan-pelaburan baru. Pelabur-pelabur baru yang dahulunya melihat Malaysia sebagai syurga pelaburan, kini memilih Indonesia sebagai lokasi baru. Indonesia menerima kesan limpahan pelaburan setelah Malaysia dipinggirkan oleh komuniti ekonomi dan kewangan dunia.

Lebih malang apabila para pemimpin Malaysia diperkotak-katikkan dan diperlekehkan serta menjadi bahan tawa oleh dunia. Dr. Mahathir yang suatu ketika dahulu, dikagumi dunia kononnya, amat terdedah kepada serangan dan perlecehan di peringkat antarabangsa.

Perhatikan sahaja bagaimana reaksi yang diberikan kepada Presiden Jokowi yang membuat lawatan singkat ke Malaysia beberapa hari lepas. Pujian yang diberikan oleh Presiden Jokowi kepada Mahathir kerana masih lagi memandu kereta pada usia 94 tahun, ditanggapi secara sinis oleh rakyat Malaysia dan netizen sendiri. Akaun FB Jokowi diserbu dan pelbagai 'nasihat' diberikan kepada Jokowi serta rakyat Indonesia yang masih lagi kagum dengan Dr. Mahathir.

Anda boleh masuk dan baca sendiri.








Mahathir pada peringkat awalnya sebagai Perdana Menteri Ke-7 mengakui, kedudukannya sangat bergantung kepada DAP. Dengan kata lain, tanpa restu dan kebenaran daripada DAP, Mahathir tidak mungkin dapat menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Dan kerana itulah, perkara pertama yang dilakukan oleh Mahathir untuk membalas budi adalah dengan bersetuju melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Tommy Thomas adalah peguam Lim Guan Eng. Tommy Thomas sebagai Peguam Negara kemudiannya menggugurkan kes rasuah dan salahguna kuasa Lim Guan Eng yang sedang dibicarakan di mahkamah.


Begitu juga dengan beberapa kes pendakwaan dan perbicaraan melibatkan ramai pemimpin DAP lain. Pada masa yang sama, Mahathir terpaksa mengikut telunjuk DAP untuk melianglahadkan UMNO, PAS dan para pemimpinnya.

Salah satu kes yang paling menarik dan mencetuskan kemarahan rakyat Indonesia ialah apabila ADUN DAP Tronoh, Paul Yong Choo Kiong didakwa merogol dan mencabul pembantu rumahnya yang merupakan warganegara Indonesia. Dan kes tersebut bukanlah kes pertama dikaitkan dengan Paul Yong.

Paul Yong bagaimana dibela bermati-matian oleh kepimpinan DAP. Malahan Paul Yong sendiri menafikan semua tuduhan tersebut dan mendakwa ia adalah satu fitnah ke atas dirinya.

Pihak berkuasa Indonesia khabarnya telah menghantar dua orang pakar forensik mereka ke Kuala Lumpur untuk membantu siasatan. Mangsa pula didakwa ditempatkan di rumah perlindungan Kedutaan Indonesia. (RUJUK SINI)

Beberapa orang pemimpin DAP dalam usaha membantu Paul Yong menggesa, pembantu rumah berkenaan ditangkap, didakwa dan diusir dari Malaysia.


Pada 14 Julai 2019, Pesuruhjaya Komisi Nasional Anti Kekerasan Terhadap Perempuan (KOMNAS Perempuan) Indonesia, Thaufiek Zulbahary mendesak agar penjenayah rogol tersebut diseret ke muka pengadilan dan dihukum. (RUJUK SINI)

Apabila kertas siasatan forensik kes berkenaan dilaporkan hilang yang kemudian dinafikan oleh Polis Perak (RUJUK SINI), sudah ternampak tanda-tanda bahawa kes ini tidak akan ke mana-mana. Petunjuk tersebut semakin jelas apabila pada 9 Ogos 2019, kertas siasatan kes rogol amah warganegara Indonesia itu dipulangkan kali kedua oleh Jabatan Peguam Negara kepada polis (RUJUK SINI).

Dengan kata lain, Paul Yong semakin berpeluang cerah untuk tidak dibicarakan atas dakwaan rogol pembantu rumahnya itu.

Itulah yang berlaku kepada 28 April 2018, apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas majikan seorang amah Indonesia daripada tuduhan membunuh Adelina Sao, Peguam Negara telah menfailkan rayuan namun sebaik-baik sahaja Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara, Ambika Shan telah dibebaskan terus daripada kesalahan membunuh Adelina. (RUJUK SINI)


Ambika terlepas hukuman gantung selepas Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada Februari 2018. Adelina semasa ditemui mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar, manakala mukanya bengkak. Dilaporkan, layanan yang diberikan kepadanya, jauh lebih hina berbanding layanan yang diberikan kepada anjing penderanya.

Itu cuma dua kes daripada sekian banyak kes membabitkan ketidakadilan dan jenayah ke atas pembantu rumah Indonesia (TRT) di Malaysia. Ramai yang mengharapkan kedatangan Presiden Jokowi dan pertemuannya dengan Dr. Mahathir Mohamad akan turut membawa sama isu-isu tersebut untuk dibincangkan.

Malangnya, Jokowi langsung tidak memperkatakan dan membincangkan isu tersebut. Paul Yong pula masih lagi bebas dan masih terus menjalankan tugasnya sebagai Exco Negeri Perak.


Sebaliknya Jokowi memuji Mahathir yang memandu salah sebuah kereta dari jenis Proton di litar ujian Proton di Shah Alam walaupun pada masa yang sama, rakyat Indonesia mempersoalkan tentang ESEMKA yang dianggap sebagai kereta nasional (MOBNAS) Indonesia. (RUJUK SINI).

Mungkin ramai yang sudah lupa, pada ketika kemuncak Era Reformasi pada tahun 1999, Mahathir yang merupakan rakan baik Suharto, tiba-tiba sahaja berbaik dengan BJ Habibie yang merupakan Presiden Indonesia pada waktu itu. Sedangkan umum mengetahui hubungan baik antara BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim yang merupakan kepala Reformasi yang mahu menggulingkan Mahathir dan kerajaannya dan BJ Habibie menyokong sepenuhnya Gerakan Reformasi Anwar Ibrahim.


Mahathir dan BJ Habibie telah bertemu di Batam Indonesia pada 19 Mei 1999 kononnya untuk membincangkan perihal kebanjiran warga Indonesia ke Malaysia secara haram. Pertemuan tersebut dilaporkan dikawal dengan ketat atas permintaan Jakarta. Setahun sebelum itu, BJ Habibie dilaporkan telah bertemu dengan Nurul Izzah, anak perempuan sulung Anwar Ibrahim. (RUJUK SINI)

Seringkali apabila berlaku masalah dalam pentadbirannya di Malaysia, Mahathir akan segera berpaling kepada Indonesia untuk mendapatkan sokongan bagi mempertahankan kedudukan dan jawatannya. Rakyat Indonesia yang cukup garang dengan Malaysia dan menggelarkan Malaysia dengan pelbagai gelaran, menjadi ayam terkena penyakit sampar apabila diampu oleh Mahathir.

Begitu jugalah apabila Mahathir berusaha menyelamatkan Kerajaan Pakatan Harapannya daripada runtuh akibat kemarahan rakyat kepada DAP yang merupakan komponen utama Pakatan Harapan, bahkan dianggap sebagai tuan kepada Mahathir sendiri. Sekali lagi Mahathir terpaksa berpaling mendapatkan 'sokongan moral' daripada Presiden Indonesia sendiri.

Dan tanpa sedar, Presiden Indonesia dan rakyat Indonesia secara keseluruhannya telah dipergunakan dengan jayanya oleh Mahathir.

Isu Paul Yong dan jenayah rogol yang didakwa ke atasnya, terus tidak lagi diperkatakan. Dan Indonesia yang sebelum ini begitu berkobar-kobar marah, juga senyap dan memuji-muji Mahathir. Mungkin rakyat Indonesia dan Presiden Indonesia akan kembali bising tentang Malaysia apabila Malaysia kembali stabil dan kembali menggiatkan ekonomi serta kewangannya yang menyaksikan para pelabur kembali memilih Malaysia berbanding Indonesia atas sebab kemudahan logistik, pengangkutan dan ulah-ulah yang lain.


Monday, August 5, 2019

TERDESAK UNTUK HIJACK PIAGAM PERPADUAN UMMAH, MAHATHIR SOKONG TULISAN JAWI DAN KHAT UNTUK JAYAKAN DEKLARASI PERPADUAN UMMAH DEMI KEKALKAN KUASANYA MENJELANG OKTOBER!!!



Seperti yang diketahui, PPBM merupakan parti terdesak yang ditubuhkan untuk menyelamatkan tengkuk dan poket golongan politik terkaya di Malaysia. Dan di sebalik pelbagai cakap-cakap besar kononnya PPBM mendapat sambutan ramai daripada kalangan orang Melayu dan Bumiputera, PPBM tidak mampu mengadakan mesyuarat cawangan, Bahagian atau pun Pusat kerana tidak cukup korum atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak cukup ahli.

Sehingga sekarang, barisan kepimpinan tertinggi PPBM yang diketuai oleh Dr. Mahathir hanyalah berstatus penaja.


Perpaduan Ummah yang melibatkan UMNO dan PAS telah menimbulkan kebimbangan dan ketakutan luar biasa di kalangan PPBM. Hampir setiap hari, sama ada para pemimpin besarnya mahupun pemimpin kecilnya cuba menimbulkan syak wasangka dan permusuhan antara PAS dan UMNO. Kisah-kisah lama antara UMNO dan PAS terutama pada zaman Mahathir menjadi Presiden UMNO, diungkit-ungkit kembali agar PAS sentiasa ingat bahawa UMNO adalah musuh mereka yang sebenarnya.

Begitu juga dengan UMNO, sentiasa diingatkan bahawa PAS bukanlah kawan dan sekutu yang baik.


Mahathir sebagai otak PPBM sedar, PPBM tidak akan ke mana-mana tanpa sokongan orang Melayu dan Bumiputera. Di Sabah, PPBM memasuki 'pasaran' negeri itu kononnya untuk menggantikan UMNO yang semakin hilang dari bumi Sabah. Di Sarawak, PPBM juga masuk untuk merealisasikan impian membawa masuk UMNO ke Sarawak yang tidak pernah menjadi kenyataan.

Namun baik di Sabah apatah lagi di Sarawak, PPBM hidup segan mati tak mahu. Malah kedudukan PAS di Sabah dan Sarawak jauh lebih baik berbanding PPBM di kedua-dua negeri di Borneo itu.

Kekuatan PPBM kini hanya bersandarkan kepada kewujudan Dr. Mahathir. Muhyiddin Yassin selaku Presiden PPBM hanya tinggal nama. Muhyiddin tiada fungsi, sama seperti dia tidak mempunyai sebarang otak untuk memajukan partinya. Muhyiddin tidak boleh memintas Mukhriz Mahathir apatah lagi Dr. Mahathir.

Mahathir melihat Perpaduan Ummah sebagai satu kekuatan baru. Gabungan UMNO-PAS sekiranya direalisasikan sehingga ke PRU-15 akan menyingkirkan PPBM, PAN dan PKR dengan mudah terutama di kerusi-kerusi dominan Melayu dan Bumiputera.

PPBM, PAN dan PKR terpaksa terus bersandar kepada DAP dan kekuatan undi bukan Melayu, khususnya Cina dan India semata-mata.

Disebabkan itulah, isu penulisan khat dan jawi diangkat. Mahathir segera bertindak sebagai hero dan pejuang apabila menyatakan secara tegas bahawa kurikulum jawi dan khat akan diteruskan oleh Kerajaan. DAP yang sebelumnya kuat menghasut orang Cina khususnya untuk menentang kewujudan mata pelajaran Jawi dan khat, juga tiba-tiba bertukar menjadi pelakon serba boleh apabila Lim Kit Siang berkata, sepanjang dia berada di dalam penjara ISA, dia telah mempelajari tulisan Jawi dan tulisan Jawi menurutnya tidak akan membuatkan seseorang berubah agama.




Akar umbi bukan Melayu, khususnya orang Cina mengamuk sakan dengan perubahan sikap DAP. Mereka menunjukkan penentangan secara berterus-terang.

Dalam satu kejadian, seorang lelaki Cina membaling dan menyerang Pusat Perkhidmatan ADUN Menglembu kerana berang DAP menyokong tulisan jawi dan khat. Ramai yang terpesona dan ketawa senang walaupun sebenarnya itu semua hanyalah lakonan DAP semata-mata.

Mahathir tahu, kedudukannya selaku Perdana Menteri semakin goyah. Disebabkan itulah, Mahathir terpaksa memanggil pemimpin UMNO, PAS dan GPS untuk memberikan persepsi bahawa dia lebih disukai berbanding Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Anwar Ibrahim pula begitu sibuk menjelajah dari setiap negeri untuk mengumpulkan kekuatan dan sokongan agar dia dapat menjawat jawatan Perdana Menteri secepat mungkin.


Dalam bahasa yang lebih mudah, Anwar Ibrahim sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menjadi Perdana Menteri kerana Anwar tahu, kalau PRU-15 diadakan dalam tempoh yang terdekat, jawatan tersebut akan terus hilang daripada genggamannya buat selama-lamanya. Dia sudah tidak berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri lagi biarpun menerima sokongan kuat daripada DAP dan PKR berdasarkan kepada arus penolakan akar umbi sendiri terhadap Pakatan Harapan.

Difahamkan, satu usul akan dibuat di Parlimen pada Sidang Parlimen Oktober nanti. Usul tersebut adalah untuk membolehkan Mahathir terus memegang jawatan selaku Perdana Menteri Malaysia. Sekaligus membuatkan Anwar Ibrahim terkulat-kulat dan menelan air liur kerana kempunan.

Mahathir memulakan kempen dengan lakonan sebagai pejuang kepentingan Melayu dan Bumiputera menerusi pembelaan ke atas kurikulum Jawi dan Khat. Menjelang Oktober nanti, Piagam Perpaduan Ummah antara UMNO-PAS akan dirampas, sama seperti yang Mahathir lakukan terhadap Pakatan Harapan menerusi Deklarasi Rakyat menjelang PRU-14.


Para pemimpin UMNO dan PAS seharusnya sedar tentang muslihat terbaharu Mahathir dalam usahanya mengekalkan kuasa. Sewajarnya sebarang usul di Parlimen untuk mengekalkan kedudukan Mahathir menerusi Perpaduan Ummah versi Mahathir, perlu ditunjukkan menerusi pemboikotan. Ahli-Ahli Parlimen PAS dan UMNO sewajarnya menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya adalah pejuang rakyat dengan tidak menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan yang sedang memusnahkan negara menerusi angkat buntut dan keluar dari Dewan apabila usul dikemukakan. Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan PAS tidak perlu memberikan sokongan atau menentang sebaliknya cukup dengan keluar dan membiarkan Mahathir berdrama dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapannya.

Berbanding kenyataan PAN yang memberi amaran agar PAS dan UMNO tidak menjadikan tulisan Jawi sebagai bahan politik, sebenarnya Pakatan Harapanlah yang menjadikan tulisan Jawi dan Khat sebagai kempen politik mereka dalam perebutan jawatan terutama sekali membabitkan kem Mahathir dan kem Anwar Ibrahim.


 
Blogger Templates