Berbanding PAS, UMNO merupakan parti yang paling mudah dilaga-lagakan dan dikacau bilaukan. Selain kerana bilangan ahlinya, sebahagian besar yang menyertai UMNO terutama sekali pada zaman kebelakangan ini didorong oleh keinginan besar mendapatkan projek. Justeru apabila UMNO dan Barisan Nasional kelihatan hampir kalah, mereka beramai-ramai menyeberang ke PPBM. Malah apabila UMNO dan BN benar-benar kalah pada 9 Mei 2018, lebih ramai lagi termasuklah pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang bertindak keluar parti untuk menyertai PPBM khususnya.
Golongan oportunis di dalam UMNO itulah yang menjadi modal dan aset utama parti-parti lawan, khususnya DAP dan PKR selain PPBM dan PAN. Tanpa golongan oportunis tersebut, UMNO sukar digugat dan sukar dikalahkan.
Bukan cerita rahsia bilamana kawasan yang sepatutnya menang, tetapi disebabkan oleh pemimpin setempat terentak hati dan kecewa kerana pelbagai sebab, akhirnya berlaku sabotaj yang menyaksikan pihak lawan menang.
Kalau zaman sebelum Internet menjadi medium utama, surat layang, buku hantu dan sebagainya adalah senjata utama. Kini, dengan kemudahan Internet, kerja-kerja penghancuran UMNO jauh lebih mudah dan lebih berkesan, terutama sekali apabila menggunakan portal-portal berita seperti Malaysiakini yang sentiasa istiqamah dalam perjuangannya untuk melupuskan UMNO.
Cara yang paling senang untuk menghancurkan UMNO adalah dengan melaga-lagakan pemimpin. Dan perkara ini nampaknya sedang rancak dilakukan. Dirancang oleh orang luar UMNO, disokong oleh golongan oportunis dalam parti dan disemarakkan serta ditularkan pula oleh golongan pencari makan.
Malaysiakini dalam laporannya pada 30 Mei 2019 bertajuk, 'Mat Hasan Dalang Mahu Singkir Zahid, Najib', yang memetik Straits Times kononnya Muhamad Hasan, pemangku Presiden UMNO serta Khaled Nordin sedang melobi pindaan perlembagaan UMNO yang bertujuan untuk menyingkirkan Presiden parti, Zahid Hamidi dan bekas Presiden, Najib Abdul Razak.
Laporan berkenaan turut mendakwa bahawa niat tersebut dilakukan menerusi cadangan pindaan Fasal 9.9 Perlembagaan UMNO.
Khaled Nordin dalam kenyataan menerusi Facebooknya menegaskan, kenyataan itu tidak benar sama sekali dan bersifat fitnah. Tiada sebarang cadangan pindaan Fasal 9.9 seperti yang didakwa. Malah dia turut melahirkan kehairanan, dari mana sebenarnya Malaysiakini mendapat maklumat sedemikian dan tidak menamakan sumber.
Ironinya, Khaled Nordin sekadar mendesak agar Malaysiakini menurunkan laporan tersebut yang disifatkannya sebagai tidak beretika. Tiada sebarang ancaman untuk mengambil tindakan sivil seperti saman fitnah seperti yang sering dilakukan oleh para pemimpin DAP, khususnya Lim Guan Eng mahupun Mujahid Yusof apabila mereka dalam keadaan yang sama.
Serangan-serangan seperti ini semakin kerap dan adakalanya langsung tidak berasas ekoran gabungan UMNO-PAS semakin menunjukkan persefahaman yang baik, apatah lagi semakin aktif bergerak bersama-sama di seluruh Semenanjung. Kenyataan Presiden PAS bahawa UMNO dan PAS akan menandatangani Piagam Kerjasama UMNO-PAS, telah membuatkan para pemimpin Pakatan, khususnya DAP dan PKR cuba menjadikan PAS sebagai sasaran serangan bagi membolehkan berlakunya perpecahan antara UMNO dan PAS. (RUJUK SINI)
Kerjasama antara UMNO dan PAS telah dimulakan pada peringkat pemimpin atasan oleh Najib Abdul Razak dan Abdul Hadi Awang tidak lama sebelum PRU-14. Bagiamanapun, disebabkan reaksi akar umbi kedua-dua parti, kerjasama dalam PRU-14 tidak dapat direalisasikan yang akhirnya menyaksikan UMNO dan PAS kecundang apabila persaingan sesama mereka, memberikan kemenangan tipis kepada banyak Pakatan terutama sekali di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.
Selepas Najib meletakkan jawatan, Zahid Hamidi yang mengambilalih jawatan Presiden bertindak lebih agresif dan aktif bersama-sama Presiden PAS untuk menggabungkan kerjasama kedua-dua parti itu. Bagaimanapun, Zahid Hamidi lebih banyak melakukannya secara senyap-senyap dan kurang diperkatakan.
Muhamad Hassan bagaimanapun melakukannya secara terang-terangan dan akhirnya memimpin 3 PRK yang memberikan kemenangan kepada UMNO-BN menerusi kerjasama padu dengan PAS.
Dengan sambutan akar umbi, bahkan orang Melayu di Semenanjung untuk kerjasama kedua-dua parti itu, Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP terpaksa menggiatkan usaha untuk menghasut, melaga-lagakan dan memecah belahkan para pemimpin UMNO dan PAS. Beberapa siri skandal seperti Wang UMNO RM90 juta cuba dipopularkan oleh Pakatan, namun tidak mendapat sambutan. Begitu juga dengan isu 'pendedahan dedak' oleh menantu Presiden PAS, juga kurang mendapat sambutan.
Persoalannya kini, mampukah para pemimpin dan akar umbi bertahan dengan cubaan melaga-lagakan pemimpin oleh Malaysiakini dan jentera-jentera saraf Pakatan memandangkan dalam beberapa kes sebelum ini, UMNO mudah kecundang sehingga akhirnya berpecah dan memberikan kemenangan kepada pihak lawan.