Selepas merdeka, artis-artis seperti Tan Sri P. Ramlee, Jamil Sulong, A.Amin, Husin Hanif dan sebagainya turut menjadikan naskhah-naskhah karya mereka sebagai medan mengkritik kerajaan mahupun masyarakat.
Bagaimanapun, kritikan mereka jauh berbeza berbanding kritikan-kritikan atau teguran-teguran atau lebih tepat lagi suara-suara lantang artis masakini yang menggunakan media sosial untuk melampiaskan perasaan masing-masing.
Jikalau dahulu, kritikan dibuat untuk menambahbaikkan pengurusan dan pentadbiran masyarakat selain desakan agar kerajaan memperkukuhkan masyarakat Melayu-Bumiputera yang terlalu jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi datangnya daripada kumpulan artis yang memang menjalani hidup dengan dunia yang mereka perkatakan, berbeza dengan sekarang di mana suara-suara artis yang membuat teguran pula, lebih kepada memperjuangkan gaya hidup yang bersifat kufur nikmat. Tidak ada satu pun suara-suara artis yang mempunyai pengaruh besar di kalangan masyarakat masakini yang menyeru kepada sikap berjimat cermat atau bijak berbelanja sebaliknya menyalahkan kerajaan kerana harga barang naik atau kerana kononnya ekonomi tidak baik menyebabkan produk-produk hiburan mereka tidak mencapai tahap box office.
Ada yang main hentam keromo sahaja berdasarkan hearsay. Ada yang tidak segan silu meluahkan kejengkelan mereka di media sosial berdasarkan apa yang diberitahu oleh kawan-kawannya yang sudah suram bintang mereka.
Sebenarnya tidak salah untuk mereka menyuarakan rasa tidak senang, jengkel atau jijik dengan pentadbiran masakini. Itu hak mereka. Sama seperti hak mereka untuk memilih mana-mana parti pun pada pilihanraya nanti. Tiada sesiapa yang boleh memaksa mereka untuk memilih apa-apa parti yang dirasakan wajar. Sebaliknya mereka bebas memilih mana-mana pemimpin atau parti yang berkenan di hati.
Berbanding mengkritik menggunakan medium filem atau lagu, menggunakan media sosial, bermakna artis-artis terbabit meminta agar wujud interaksi dua hala. Bermakna mereka mengeluarkan kenyataan dan pada masa yang sama, ada interaksi dan reaksi daripada para pembaca mereka.
Jadi, apabila mereka menghentam kerajaan atau menegur atau mengkritik, sudah pasti mereka akan mendapat reaksi daripada para penyokong kerajaan yang ada di dalam media sosial dan telah terbaca kenyataan mereka.
Agak menarik apabila artis-artis tersebut merengek dan mengeluh yang mereka telah dihentam kerana mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan. Maksudnya mereka tidak bersedia untuk berhadapan dengan penentang sebaliknya mereka hanya mahukan golongan penyokong sahaja.
Sepatutnya mereka berlapang dada. Mereka mengecam maka mereka perlu bersedia untuk dikecam. Mereka mengkritik maka mereka perlu bersedia untuk dikritik. Artis atau golongan penghibur bukannya golongan maksum yang segala kata-kata mereka hanya boleh diterima dan ditelan semata-mata.
Mereka menggunakan media sosial. Maka mereka perlu bersedia untuk berhadapan dengan kesan daripada penggunaan media sosial juga. Tidak kesemua netizen dan pengguna media sosial sealiran atau satu fahaman dengan mereka.
Keadaan sudah berubah. Bukan lagi media sosial pada tahun 2008 sehingga 2013 di mana penguasaannya lebih kepada pembangkang. Mereka mungkin sudah tersilap zaman!
No comments:
Post a Comment