Bagaimanapun, di kalangan para penyokong Pakatan Harapan, terutama sekali yang menjunjung tinggi DAP dan Lim anak beranak, langsung tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Kalau ada pun, hanyalah hujah kononnya kes tersebut hanyalah modal untuk PRU untuk mengenakan Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, apabila hujah tersebut disangkal oleh hujah Lim Guan Eng sendiri bahawa PRU akan diadakan pada bulan Mac, sedangkan tarikh perbicaraannya pula adalah pada April dan Mei, kebanyakannya bukan sahaja tidak menjawab, sebaliknya berpura-pura tidak membaca.
Difahamkan, seorang yang bergelar Datuk yang memegang jawatan tinggi dalam syarikat yang terbabit dengan projek fantasi Terowong Dasar Laut Pulau Pinang telah ditahan untuk membantu siasatan dalam dakwaan rasuah.
Penangkapan tersebut dibuat selepas SPRM menyerbu beberapa buah pejabat di serata Pulau Pinang di mana SPRM telah merampas dokumen-dokumen berkaitan dengan projek mega bernilai RM6.3 bilion.
Antara pejabat melibatkan empat buah agensi Kerajaan Negeri yang 'dikunjungi' SPRM termasuklah Pejabat Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Pejabat Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Hartanah Pulau Pinang selain tiga lagi syarikat pemaju hartanah dan pembinaan, Ewein Zenith Sdn. Bhd, 555 Capital Sdn. Bhd dan Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd.
Ewein Zenith merupakan entiti usahasama Ewein Land Sdn Bhd dan Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd.
Syarikat berkenaan adalah projek usaha sama Malaysia-China yang dianugerahkan projek mega bernilai RM6.3 bilion untuk membina terowong dasar laut berjarak 7.2 kilometer menghubungkan Gurney Drive di bahagian pulau ke Bagan Ajam di Seberang Perak, sebatang jalan sejauh 10.53 kilomenter Jalan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR) dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, pintasan Expressway Air Itam-Tun Dr Lim Chong Eu dan pintasan Gurney Drive-Ekspresway Tun Dr.Lim Chong Eu sejauh 4.075 kilometer.
Konsortium Zenith BUCG menukar namanya kepada Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd pada 18 Jun tahun lepas selepas Beijing Urban Construction Group (BUCG) menarik diri.
Difahamkan SPRM sedang menyiasat, mengapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng membenarkan syarikat khas (SPV) untuk membuat pra-jualan tanah negeri yang bernilai lebih RM3 bilion walaupun selepas empat tahun penangguhan pembinaan jalan-jalan berkenaan.
Turut disiasat adalah berhubung dengan laporan kebolehlaksanaan bernilai RM305 juta dan perincian kajian rekabentuk yang sehingga ke hari ini belum siap-siap walaupun pembayaran berjumlah RM220 juta telah dibuat kepada SPV.
Pada 11 Oktober tahun lepas, kontraktor utama projek berkenaan mengumumkan, tiada keperluan untuk menyiapkan laporan kebolehlaksanaan Terowong Dasar Laut memandangkan projek tersebut hanya akan bermula pada tahun 2023.
Kajian kebolehlaksanaan terowong tersebut telah bermula pada Februari 2015 dan pada Oktober tahun lepas, dikatakan 92.9% telah siap.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof berkata, penangguhan penyerahan laporan kebolehlaksanaan terowong tersebut kepadanya merupakan satu perkara pelik memandang projek tersebut telah dianugerahkan pada tahun 2013.
Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang seringkali ditimbulkan tetapi Lim Guan Eng cukup pintar menjawab dan mengalihkan isu tersebut dengan membangkitkan isu-isu sensasi lain. Sehingga ke hari ini, Lim Guan Eng dan DAP masih tidak dapat menjawab, mengapa kajian projek bernilai RM305 itu lebih mahal 400% daripada garis panduan yang disediakan oleh Lembaga Jurutera.
Bahkan Lim Guan Eng dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang langsung tidak dapat menerangkan tentang status kajian kebolehlaksaan tersebut dan mengapa pembayaran telah dibuat sedangkan ianya belum siap.
Jikalau diturutkan pengumuman yang dibuat oleh Lim Guan Eng sendiri, selepas projek tersebut dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kajian kebolehlaksanaan sepatutnya disiapkan oleh syarikat tersebut pada April 2014. (RUJUK SINI)
Bagaimanapun, pada tahun 2016, Lim Guan Eng sekali lagi berjanji akan menghantar laporan kajian yang sudah lengkap kepada Menteri Kerja Raya dalam usaha untuk mendapatkan kelulusan bagi projek terbabit. Menteri Kerja Raya kemudiannya berkata, dia teringin benar hendak melihat bagaimana rupanya laporan yang bernilai RM305 juta itu.
Namun tidak lama kemudian, Ketua Menteri Pulau Pinang sekali lagi berdalih dengan berkata, laporan tersebut hanya boleh disiapkan pada penghujung tahun.
Awal 2017, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengesahkan yang mereka telah pun membayar syarikat sejumlah RM220 juta daripada RM305 juta sebagai fi konsultan untuk melakukan kajian.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya kemudiannya mendedahkan pada Oktober 2017, Ketua Menteri Pulau Pinang telah memungkiri janjinya untuk menghantar laporan terbabit.
Beberapa hari kemudian, sekali lagi Menteri Kerja Raya dikejutkan dengan pemberitahuan, tiada gesaan untuk menyiapkan laporan terbabit. (RUJUK SINI)
Hari ini pula, Lim Guan Eng berkata, hanya perintah mahkamah sahaja yang boleh menghentikan projek fantasi tersebut. (RUJUK SINI)
No comments:
Post a Comment