Social Icons

Pages

BULETIN 247

Thursday, March 2, 2017

KETUA PEMUDA PAS PULAU PINANG DEDAHKAN CAMPURTANGAN EXCO AGAMA BEKUKAN EMPAT FATWA YANG TELAH DIPERSEMBAHKAN KEPADA AGONG!!!



Campur tangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam urusan pewartaan fatwa Pulau Pinang masih lagi hangat diperkatakan. Terbaru, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden menyatakan bahawa terdapat empat fatwa yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, namun pelaksanaan fatwa-fatwa tersebut masih dibekukan dan ditangguhkan. 

Menurut Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden, “Empat fatwa yang masih lagi tidak diwartakan akibat campur tangan dari Majlis Mesyuarat Exco Negeri Pulau Pinang adalah seperti larangan bagi rakyat negeri memasuki pertandingan ratu cantik, hukum menghisap shisha dan pengurusan tanah negeri dan tanah wakaf”. 

Ustaz Afnan Hamimi mengatakan fatwa-fatwa ini masih tidak dapat direalisasikan akibat dari campur tangan politik Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri. 

Dalam satu pertemuan Ahli Jawatankuasa Fatwa dengan Exco Agama pada tahun 2015 mengenai isu campur tangan politik terhadap fatwa, Exco Agama mengaku bahawa kerajaan negeri menyimpan dahulu fatwa-fatwa yang telah diluluskan kerana ia tidak bersesuaian dengan situasi politik semasa di Pulau Pinang. 

Apabila ditanya apakah yang boleh dilakukan untuk membetulkan keadaan yang berlaku di Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi menjawab, “tiga langkah segera perlu diambil oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pertama, batalkan pekeliling yang mengarahkan fatwa yang sudah lulus perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Kembali semula kepada peraturan asal berdasarkan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004; fatwa hendaklah terus dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK). Kedua, jangan simpan fatwa-fatwa yang telah diluluskan kerana, setiap fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri telah mengambilkira keperluan semasa. Terakhir, Exco Agama (Datuk Abdul Malik Abul Kassim) perlu meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab. 

Penggantinya mestilah seorang individu yang tegas dan berani dalam mempertahankan prinsip Islam dan mestilah berkelulusan tinggi dalam bidang agama”. 

Selain itu, Ustaz Afnan Hamimi menambah bahawa PAS Pulau Pinang telah membawa perkara ini kepada pengetahuan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam Pulau Pinang, malah kes ini juga telah dilaporkan kepada pihak berkuasa. 

Dalam masa yang sama, PAS sedang dalam usaha menggerakkan kesedaran rakyat agar sama-sama berjuang membantah campur tangan politik dalam urusan pemfatwaan Negeri Pulau Pinang. 

Di samping itu juga, Ustaz Afnan Hamimi amat bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang (GABUNGAN) merangkap bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Encik Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, agar sebuah 

Suruhanjaya diRaja ditubuhkan bagi menyiasat campur tangan DAP dan Ahli Majlis Mesyuarat Pulau Pinang dalam isu pewartaan fatwa Negeri Pulau Pinang. 

“Bagus jika diwujudkan segera. Institusi Fatwa adalah institusi penggubal undang-undang Islam yang tinggi mengatasi kehendak politik. Kewujudan Suruhanjaya diRaja ini sedikit sebanyak boleh mengembalikan semula kewibawaan dan ketinggian institusi fatwa supaya bebas daripada campur tangan politik yang berpandukan kepentingan diri semata-mata”, kata Ustaz Afnan Hamimi mengakhiri perbualan.

SUMBER


1 comment:

Anonymous said...

Kalau fatwa nak kena tunggu keadaan sesuai dgn politik itu namanya politik mengatasi kepentingan agama dn maslahat umum.

 
Blogger Templates