Kaedah Mahathir sekalipun dikatakan tidak menggunakan pinjaman luar, tetapi pinjaman dari sektor korporat dalam apa yang dimuluskan sebagai DASAR PENSWASTAAN telah menjadikan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pada setiap saat bagi setiap kos pembangunan negara yang mereka kecapi secara pandangan lahiriah.
Dengan sedikit peningkatan taraf hidup dan kenaikan gaji serta kadar upah, pembangunan fizikal menuntut rakyat wajib membayar setiap perubahan tersebut dalam apa cara sekalipun. Contoh terbaik adalah konsesi lebuhraya dan peningkatan tarif elektrik dan air yang telah diswastakan.
Sekelompok rakyat Malaysia menikmati keistimewaan tersebut dan mereka dihalalkan dengan alasan, daripada mereka, peluang-peluang pekerjaan akan tercipta dan persaingan mendapatkan tenaga kerja akan menaikkan kadar gaji dan upah tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang akan menidakkan teori tersebut terutama yang membabitkan tenaga kerja asing dan ekspatriat.
Dari pandangan, Malaysia berevolusi dan bertransformasi dengan pantas. Majoriti kita megah kerana negara yang berlatarbelakangkan komiditi pertanian dan perlombongan, kelihatan sangat maju dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan infrastruktur yang hebat. Kita mengejar status negara maju dan rakyat Malaysia pula semakin kehilangan masa dalam usaha mengimbangi keperluan yang semakin mendesak akibat kekangan ekonomi perut.
Sistem ekonomi bebas berjalan secara aktif. Apabila ada penawaran, adalah permintaan. Apabila tidak seimbang kedua-duanya, maka mekanisme harga pun mengambil bahagian. Siapa yang kuat kuasa belinya dan penawaran, maka merekalah yang akan menguasai harga. Dan kenaikan harga barang pun berlaku sama ada perlahan-lahan atau pun dalam keadaan panik seperti dalam kes kenaikan harga tepung dan gula akibat perbuatan sorok yang giat berlaku pada awal-awal tahun 1990-an.
Kaedah Mahathir mungkin berkesan untuk jangka pendek tetapi apabila semua sektor dimonopoli oleh individu atau entiti tertentu termasuklah yang berselindung di sebalik topeng 'syarikat proksi parti politik', kesan jangka panjangnya akan menyebabkan rakyat yang terpaksa menanggung setiap bebanan kos termasuklah keuntungan yang perlu diraih oleh firma-firma dan individu-individu monopoli.
Justeru itulah, seperti yang dikatakan oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas), masalah yang dihebohkan dan dirungutkan oleh kebanyakan rakyat Malaysia hari ini sebenarnya berpunca dari zaman Mahathir. Masalah pembaziran wang negara, kegiatan rasuah dan politik wang merupakan 'kesakitan lama' yang perlu ditanggung oleh Perdana Menteri hari ini, Najib Abdul Razak yang diwarisi dari zaman pentadbiran Dr. Mahathir.
Asas kerosakan yang dikatakan terjadi hari ini, sebenarnya bukan berlaku dalam tempoh 8 tahun tetapi lebih 2 dekad lalu. Ia samalah seperti stigma yang cuba ditanamkan tentang ketakutan kepada China Komunis yang sedang giat dijalankan oleh Mahathir dan para jentera propagandanya sehinggakan semua projek pelaburan yang diinisiatifkan oleh pentadbiran Najib Abdul Razak dianggap sebagai menjual negara kepada China.
Semuanya bermula apabila syarikat daripada China berjaya memenangi tender terbuka antarabangsa membabitkan Edra Energy yang diperjuangkan oleh Dr. Mahathir untuk kekal dimonopoli oleh rakan-rakan rapatnya. Perjanjian-perjanjian berat sebelah antara syarikat pengendali janakuasa tersebut dengan TNB, telah dihapuskan oleh pentadbiran Najib sekaligus menamatkan pemerolehan keuntungan mudah untuk kroni-kroni Mahathir. Secara tidak langsung, rakyat tidak perlu lagi membayar harga yang lebih mahal untuk tenaga elektrik berbanding ketika krisis tenaga yang diwujudkan untuk membenarkan beberapa orang kroni menyedut darah dan keringat setiap orang rakyat Malaysia semenjak pertengahan 1990-an lalu.
Ironinya, antara projek-projek yang dikatakan telah dimiliknegarakan kepada China termasuklah projek-projek seperti PROTON yang dibuat oleh syarikat Syed Mokhtar Al-Bukhary, orang yang diketahui rapat dengan Mahathir sendiri yang masih memiliki saham terbesar. Mahathir yang dahulunya mahu menjual 50% pegangan kepada Syarikat VW dari Jerman tetapi gagal, mula memikat Geely dari China pada 2014. Awal daripada itu, 30% kepentingan Proton diserahkan kepada Mitsubishi dari Jepun.
Juga projek seperti Kedah Integrated Fisheries Terminal, walaupun projek berkenaan dimulakan oleh Mukhriz Mahathir, anak Dr. Mahathir sendiri, tetapi pelaburan dari China menyebabkan Najib Abdul Razak dan Ahmad Bashah Hanipah, dipersalahkan kononnya mahu menjual negara. Begitu juga dengan Kedah Rubber City, juga projek Mukhriz.
Generasi muda pengundi ditakut-takutkan kononnya, generasi muda Melayu akan terpaksa mengemis pekerjaan daripada China. Ketuanan Melayu akan ditukarkan menjadi Ketuanan China Komunis!
Zaman Mahathir dahulu, apabila Jepun mendominasi pelaburan sama ada sektor pembuatan atau perkhidmatan di Malaysia, tidak timbul pula cerita Ketuanan Melayu bertukar menjadi Ketuanan Jepun. Jepun memiliki 30% industri berat negara termasuklah Proton, Perwaja dan insentif berbentuk tanah untuk pembinaan kilang dan sebagainya, sehinggakan wujud Dasar Pandang Ke Timur, tidak pula wujud stigma ketakutan negara ini dijajah oleh Jepun.
Dengan rayuan pinjaman bertrilion Yen bersandarkan nilai Dollar Amerika Syarikat selain pelaburan dari Jepun sama seperti yang berlaku sekarang - cuma tukarkan Jepun menjadi China - mengapa pula zaman 22 tahun Mahathir tidak dianggap sebagai negara ini telah pun terjual kepada negara asing?
Barangkali alasan perdagangan dan pelaburan antarabangsa, kerjasama dan usahasama perkongsian merupakan alasan paling wajar untuk zaman Mahathir, tetapi tidak untuk zaman Najib?
Dunia telah berputar. Dahulu, ekonomi Jepun adalah yang paling mantap, paling pantas dan paling berenovasi. Kini Jepun berhadapan dengan krisis dan kelembapan ekonomi. Malah gergasi ekonomi dunia, Amerika Syarikat sendiri pun, sedang dan 'terpaksa berehat' sehingga merayu dan melobi pelaburan termasuklah penjualan hartanah yang berkali-kali ganda lebih besar berbanding tambakan laut seperti Forest City untuk warga China.
Najib perlu memperbetulkan apa yang telah dirosakkan oleh Mahathir yang rakus dan gelojoh untuk membina dominasi Dinasti Kronisme menerusi tindakan yang lebih tegas tanpa mengambil kira nilai sentimental yang kerap didendangkan, kononnya Zaman Mahathir, Kita Mewah!
1 comment:
Satu pencerahan yang adil.....respect nik abduh....inilah pemimpin yang kita dahagakan....
Post a Comment