Social Icons

Pages

BULETIN 247

Monday, January 15, 2018

CORAT-CORET MENJELANG PRU-14, YANG DAHULUNYA SUSAH NAK JUMPA, SEKARANG BERSEPAH DI TEPI JALAN!!!



PRU-14 sudah semakin hampir tiba. Walaupun Perdana Menteri masih berteka-teki tentang tarikh pembubaran Parlimen tetapi semakin ramai yang membuat andaian pada tarikh-tarikh tertentu PRU akan dilangsungkan.

Maka tidak kurang jugalah kita dapat melihat sekarang betapa meriah dan kalutnya pemimpin-pemimpin parti politik, termasuklah juak-juak mereka meronda ke hulu ke hilir untuk memulakan kerja-kerja kempen. Yang beria-ia nak jadi calon pun, jangan kira dan jangan haraplah.

Memang ramai sungguh!

Ada ADUN dan Ahli Parlimen yang sudah bekerja keras dan dari awal penggal, sekarang ini cuba dipotong namanya pada saat-saat genting dengan alasan, calon-calon baru lebih berkaliber dan mendapat permintaan ramai. Ada juga yang mahu mencuba nasib dengan andaian dia adalah seorang yang popular dan kononnya telah banyak buat kerja di kawasan sasaran sebelum ini. Bukti yang ditampilkan adalah gambar-gambar dan klip-klip video sepanjang aktivitinya walaupun kebanyakannya sekadar dia hadir untuk bergambar, kemudian tu berlalu atau cuba mengelak mahupun memberi jawapan paling selamat apabila membabitkan urusan orang ramai.

Itu belum lagi termasuk mereka yang tebal muka dan tiada maruah, mengaku kerja yang dibuat oleh orang lain, yang langsung tiada kena-mengena dengannya sebagai kerja dan hasil usahanya. Pembohongan itu kemudiannya disusuli dengan proposal untuk mendapatkan bajet atau peruntukan bagi kerja-kerja kempen di kawasannya. Peruntukan dan bajet sebelum itu, hilang lenyap atau buat-buat tak ingat.

Itu belum lagi bab berjanji. Ada yang janji bulan bintang kepada para pengundi. Kemudian sepanjang penggal, nak jumpa batang hidung apatah lagi batang tubuhnya tersangatlah susah. Jangankan dia, pegawai khas dia pun, asyik-asyik meeting di Kuala Lumpur sahaja. Tetapi menjelang hampirnya PRU-14, rajinlah mereka berkempen dan mengungkit kononnya telah banyak berbuat kebajikan untuk masyarakat.

Dan seperti biasa  yang akan berlebih-lebih serta terlebih gedik adalah juak-juak mereka. Pantang ADUN atau Ahli Parlimen itu turun ke kawasan, mereka akan kelam-kabut walaupun sebelum ini sibuknya mereka mengalahkan ADUN dan Ahli Parlimen itu sendiri.

Bagaimana pula dengan mereka yang sedang memburu untuk menjadi calon wakil rakyat?

Sudah tentulah gelagat mereka pelbagai. Jangan hairan ada yang siang malam bercakap dengan mikrofon malahan sampai tidur pun bermimpi bercakap dengan mikrofon. Ada yang bercakap tanpa mikrofon atau dengan mikrofon pun dah tidak ada bezanya. Terbawa-bawa kenan mikrofon dan apabila namanya tidak tercalon atau kalah semasa pencalonan nanti, sasaunya boleh menyebabkan parti jadi tidak tentu arah. Itu belum lagi yang sibuk berkonspirasi dan berkomplot dengan ugutan, kalau tak dapat apa yang dihajatkan, parti akan jadi korban. Dan dia akan bersungguh-sungguh untuk mensabotaj calon.

Mungkin bagi parti-parti pembangkang, PRU-14 ditunggu-tunggu setelah hari pertama keputusan PRU-13 diumumkan, mereka telah pun bekerja keras berkempen dan berpropaganda dengan giat sampai ke hari ini. Mereka tidak pernah bercuti walau sehari pun dalam tempoh itu. Sedangkan sebahagian besar orang dari parti-parti kerajaan pula terlalu relaks dan tenang, sehinggalah saat-saat terakhir, mereka akan mula kelam-kabut dan sibuk seperti sekarang. Pemikiran bahawa semuanya boleh diselesaikan dalam 'satu pukulan' sahaja rupa-rupanya masih menebal dan diamalkan.

Dengan pelbagai isu yang berbangkit dari semenjak keputusan PRU-13 diumumkan sehinggalah ke hari ini, keputusan akhir tetap terletak di tangan para pengundi. Seperkara yang jelas ialah, trend masyarakat pengundi kini tidak lagi tertakluk kepada parti sebaliknya individu. Ini kerana, yang akan bekerja untuk rakyat adalah individu yang dipilih dan walaupun parti juga penting, terutama apabila wakil tersebut datang daripada parti pemerintah, hakikatnya, ramai juga wakil yang menyemak dan merosakkan nama parti setelah diangkat menjadi wakil rakyat.

No comments:

 
Blogger Templates