Wednesday, January 27, 2016

JANGAN KERANA RM2.6 BILION, PROSES UNDANG-UNDANG NEGAR A DIPERSOALKAN, KATA ZAHID HAMIDI!!!



Siasatan yang membawa kepada penemuan Peguam Negara berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion dilakukan secara teliti dan menyeluruh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata setiap bukti dan perkara berkaitan, disiasat dengan mendalam.

“Tiada siapapun harus mempersoalkan proses undang-undang kita atau kecekapan dan kebebasan institusi di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Seperti telah dijelaskan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada sidang media semalam , kata Ahmad Zahid tiada syarat dikenakan dengan derma yang telah dibuat kepada Najib secara peribadi, iaitu ia dibuat daripada kepercayaan kepada beliau dan kepimpinannya berhubung isu-isu utama.

“Saya mengetahui perkara ini selepas bertemu sendiri dengan penderma yang dimaksudkan. Perdana menteri memilih sendiri untuk menggunakan sumbangan (itu) untuk kepentingan parti dan keperluan masyarakat di seluruh Malaysia,” katanya.

Sambil berkata isu itu terlalu banyak menghabiskan masa, Ahmad Zahid berharap ia tidak diungkit lagi.

“Kita mesti bersatu dan bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan perdana menteri untuk Malaysia.

“Beliau adalah orang yang amat bersesuaian untuk membawa kita mengharungi kemelut ekonomi global semasa dan ancaman keselamatan yang dihadapi kini,” katanya.

Ahmad Zahid seterusnya berkata ahli politik sentiasa bersedia untuk diserang oleh musuh-musuh yang ingin merosakkan reputasi dengan tuduhan palsu untuk menidakkan mereka.

“Bagaimanapun, adalah salah untuk merosakkan reputasi kerajaan dan negara untuk kepentingan politik peribadi. Kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan peribadi,” tegasnya. - POST METRO


2 comments:

Anonymous said...

MAKA SELEPAS INI...BANYAKLAH KES2 RASUAH YG BILA DIBONGKAR AKAN DIKATAKAN "DERMA"....

Anonymous said...

Rakyat terima dah dato seri ..pilihanraya nanti kita semua akan tahu hasilnya insyaallah

top