Social Icons

Pages

BULETIN 247

Showing posts with label pkm. Show all posts
Showing posts with label pkm. Show all posts

Wednesday, December 4, 2019

BILA ANAK CUCU KOMUNIS BERADA DALAM SISTEM PENTADBIRAN DAN PEMERINTAHAN NEGARA!!!



Kenyataan Ronnie Liu yang memerintahkan polis agar tidak menyiasat perhimpunan anggota-anggota komunis yang diadakan di New Era College University 1 Disember lalu, mengundang pelbagai tanggapan namun pada masa yang sama, membenarkan banyak teori sebelum ini tentang penguasaan dan iltizam anak cucu pengganas komunis untuk cuba mengubah lanskap dan latarbelakang sejarah negara.

Berbanding Nga Kor Ming, Ngeh Kor Ham, Hannah Yeoh, Jamaliah Jamaluddin, Liew Chin Tong dan berapa ramai lagi pemimpin DAP yang mewarisi secupak darah komunis dalam tubuh badan mereka, Ronnie Liu adalah yang paling ranggi dan paling berlagak dengan ahli keluarga komunisnya.


Perhimpunan anggota komunis di Kajang terdedah kepada umum apabila Ronnie Liu memuatnaikkan berita tersebut selain memaparkan gambar-gambar perhimpunan berkenaan di Facebook peribadinya yang kemudian dipadamkan setelah keadaan menjadi kecoh.

Ronnie ketika berucap mendedahkan beliau hadir ke perjumpaan itu atas kapasiti peribadi untuk memperingati penglibatan datuknya bagi membebaskan Malaya daripada British selepas berjaya menghalau Jepun keluar daripada negara ini. Dedah Ronnie, datuknya kemudian dibuang negara ke China selepas ditangkap. (RUJUK SINI)


Pertemuan kira-kira 300 individu termasuk bekas ahli kumpulan Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah dewan di Kajang kelmarin bertujuan menghargai perdamaian yang dikecapi hasil perjanjian 30 tahun lalu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu. (RUJUK SINI)

Polis perlu faham bahawa perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) adalah bagi memperingati perjanjian damai dan bukan cubaan untuk menghidupkan kembali fahaman komunis, kata Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu.(RUJUK SINI)

Pemimpin DAP Ronnie Liu yang baru-baru ini menjadi tumpuan susulan kritikannya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, memuji pendirian pengerusi PH itu berhubung isu abu mayat pemimpin komunis Chin Peng. Pada satu majlis di Kajang bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai (1989) hari ini, Liu berkata pendirian Mahathir patut dipuji. (RUJUK SINI)


Barangkali benarlah kejayaan terbesar DAP ialah penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sewaktu ISA masih wujud, anak cucu komunis ini tidak begitu berani bersuara, apatah lagi mahu menceritakan tentang rasa bangga mereka dengan keganasan komunis ahli keluarga mereka. Setelah ISA dihapuskan pada 15 September 2011 dan digantikan dengan dua undang-undang pencegahan lainnya.

DAP dan PKR merupakan antara yang paling lantang dan paling agresif memperjuangkan penghapusan ISA sebelum itu. Keakuran Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia waktu itu untuk menghapuskan ISA, akhirnya menunjukkan hasil yang sangat buruk seperti yang sedang berlaku sekarang. 



Bayangkanlah apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, yang juga merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan merangkap ADUN Aulong dengan penuh bangganya menyatakan yang datuknya dan datuk Hannah Yeoh adalah komunis yang berjuang membebaskan 'tanahair' daripada tentera Jepun pada tahun 1939.

Jepun hanya datang dan menakluk ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Pada tahun 1939, Jepun berperang dengan China dan ramai orang Cina yang berada di luar China kembali ke China untuk memerangi Jepun. Setelah Jepun menakluk Tanah Melayu, mereka tidak boleh balik ke China sebaliknya berperang dengan Jepun di Tanah Melayu pula. Lebih-lebih lagi setelah mereka mendapat senjata dan latihan daripada Inggeris.

Sejarah negara mencatatkan bahawa Darurat wujud dalam dua fasa. Fasa pertama adalah dari 1948 sehingga 1956. Manakala fasa kedua pula adalah dari 1956 sehingga 1989.


Akibat yang paling besar darurat fasa pertama ialah kewujudan kampung-kampung baru selain desakan Inggeris untuk pemberian kerakyatan kepada kaum imigran termasuklah komunis yang menyamar sebagai orang awam terutama sekali Min Yuen. Golongan komunis yang menyamar sebagai orang awam dan Min Yuen inilah yang menelurkan sebahagian besar pemimpin-pemimpin politik yang menguasai Parlimen dan perundangan negara sekarang.

Ronnie Liu dengan bangganya mengakui datuk dan abang dia sebagai anggota komunis yang melakukan keganasan terhadap orang awam di negara ini. Malahan, dengan penuh berbangga dia menceritakan bagaimana abangnya yang berusia 17 tahun masuk ke hutan semata-mata untuk menyertai komunis demi membolehkan penjajahan komunis ke atas negara ini.


Begitu juga dengan Nga Kor Ming yang turut dengan bangganya menceritakan tentang latar belakangnya yang berkaitan komunis. Tian Chua juga dalam ciapan Twitternya pada 16 September 2013 memberikan pengiktirafan kepada Chin Peng sebagai patriot. (RUJUK SINI).

Lebih menarik lagi ialah apabila Tian Chua merupakan wakil PKR yang menziarahi bangkai Chin Peng pada hari kematiannya di Bangkok. (RUJUK SINI)





Ramai yang berpendapat, Perjanjian Damai Hatyai 1989 sebenarnya bukanlah kemenangan kepada Malaysia dan rakyatnya, tetapi kemenangan kepada Parti Komunis Malaya apabila keganasan, kezaliman dan penjarahan mereka ditakuti dan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Sepatutnya PKM dihapuskan terus sehingga ke akar umbi dan penguatkuasaan yang lebih ketat terutama sekali membabitkan kewarganegaraan dan pembabitan anak cucu mereka dalam politik negara.


Di mana-mana negara, termasuklah Indonesia, Singapura malahan Amerika Syarikat, tidak ada sanak saudara atau cucu cicit kumpulan atau kepala pengganas yang dibenarkan terlibat sebagai orang politik apatah lagi menguasai Parlimen dan pentadbiran seperti mana yang berlaku di Malaysia.

Isu komunis di Malaysia adalah isu besar. Namun nampaknya, pihak berkenaan sedang cuba memesongkan perhatian daripada komunis kepada beberapa isu lain termasuklah perbicaraan melibatkan Najib Razak, pemilikan lebih 20 buah kenderaan oleh Zahid Hamidi dan yang terbaharu serta sedang hangat di dunia netizen adalah pendedahan oleh Muhammad Yusoff Rawther berhubung kelakuan dan gelagat menjijikkan Anwar Ibrahim.

Monday, December 2, 2019

SEHARI SEBELUM KOMUNIS BERHIMPUN DI NEW ERA COLLEGE, MEREKA DAH BERHIMPUN DULU DI BANTING!!!



Sebenarnya sehari sebelum re-union bekas komunis di New Era College milik Dong Zhong di Kajang, perhimpunan yang sama telah pun diadakan di Dewan Persatuan Bola Keranjang Kuala Langit, Banting. Lebih tepat lagi pada 30 November dari jam 10:00 pagi sehingga 10:15 malam. Penganjur perhimpunan yang berselindung di sebalik nama Konvensyen Kebangsaan Persahabatan Berpanjangan Kali Ke-12 itu adalah Persatuan Persahabatan Lao You Banting Selangor.


Antara jam 2:00 petang sehingga 4:05 petang, lebih kurang 300 orang yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Persahabatan Berpanjangan seluruh negara telah hadir untuk mengisi program Seminar Forum Pendidikan Hal Ehwal Semasa dan Terkini yang berlangsung waktu itu. Majoriti hadirin adalah dari kalangan veteran pengganas komunis yang berselindung di sebalik pelbagai nama persatuan persahabatan di seluruh negara.

Antara yang dikenali yang turut hadir adalah:

(a) Soon Her Sen yang merupakan Ahli Persatuan dan AJK penganjuran.
(b) Yaakob Ibrahim a.k.a Bulat yang merupakan bekas anggota Rejimen Ke-10 PKM
(c) Indra Djaja a.k.a Anas yang merupakan Pengerusi Gabungan Persatuan Perdamaian Thailand dan juga merupakan menantu kepada pemimpin komunis Melayu, Abdullah CD.



Soon Her Sen dalam ucapannya menyentuh tentang perkembangan ekonomi negara yang tidak stabil setelah kejatuhan ekonomi negara pada tahun 1997-98, sekaligus menurutnya memberikan kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat masakini. Menurutnya lagi, pertumbuhan ekonomi negara hanyalah sekitar 5% sahaja.

Soon Her Sen turut mengulangi kenyataan Tony Pua sebelum ini yang mengatakan, kakitangan awam adalah bebanan kepada kewangan negara. Menurutnya pertambahan jumlah kakitangan awam adalah tidak sihat kepada pertumbuhan ekonomi terutama sekali melibatkan pembiayaan pencen yang tinggi.

Dia turut mendakwa, pembayar cukai di kalangan orang Melayu Semenanjung dan Bumiputera Sabah SArawak adalah terlalu rendah bagi menampung pertumbuhan ekonomi negara. Menurutnya lagi, orang Islam dikenakan zakat namun zakat hanya untuk membantu orang Islam yang miskin sahaja. Sedangkan zakat itu pula tidak dikenakan cukai.



Lee Kee Bak a.k.a Fangsan yang merupakan wakil persatuan pula menceritakan tentang Perjanjian Damai Hatyai antara PKM dengan PDRM dan Kerajaan Thailand telah diadakan pada 2 sehingga 4 Februari 1989 di Thavorn Palm Beach Hotel. Sebelum itu katanya, PKM dan PDRM telah mengadakan perbincangan tidak formal sebanyak 3 kali di Pulau Pinang pada 5 Oktober 1988 atas anjuran Kerajaan Thailand.

Bagaimanapun, dia berasa bangga kerana dua buah stesen radio propaganda Parti Komunis Malaya (PKM) berjaya menyiarkan siaran radio propaganda komunis selama hampir 20 tahun. Kedua-dua stesen radio propaganda PKM itu adalah SUARA REVOLUSI MALAYA dan SUARA DEMOKRASI MALAYA.


Dalam majlis makan yang diadakan, seramai lebih kurang 1300 orang yang terdiri dari kalangan pemimpin politik, tetamu kehormat, jawatankuasa bertindak program penganjuran, wakil-wakil persatuan serta ahli-ahli Persatuan Persahabatan berpanjangan dari seluruh Malaysia dan Thailand telah hadir.

Antara yang hadir termasuklah ADUN Banting Lau Weng San, wakil Kolej Universiti New Era Kajang Yap Sin Tian, Ahli Majlis Zon 19 Daerah Kuala Langat Thomas Lim Tou Yik dan Ahli Majlis Zon 15 Daerah Kuala Langat Ang Lee Yong.



Dalam ucapan yang disampaikan oleh Yeoh Chin Lai yang merupakan Pengerusi AJK Kerja dan juga Presiden Persatuan Persahabatan Berpanjangan Kuala Lumpur dan Selangor, secara jelas dia berang kerana Chin Peng masih lagi dikatakan sebagai pengganas sedangkan menurut Yeoh Chin Lain, Chin Peng adalah seorang pejuang keamanan negara. Malahan menurutnya, PKM bukanlah pengganas seperti yang digembar-gemburkan.

Tham Yee Kee yang merupakan Pengerusi Persatuan Persahabatan Berpanjangan Malaysia pula berkata dalam ucapannya, Malaysia Baharu telah bermula sebaik-baik sahaja Pakatan Harapan memenangi PRU-14. Justeru menurutnya, Kerajaan perlu berlaku lebih adik kepada semua kaum dan tidak lagi melaksanakan politik perkauman.

Namun yang lebih menarik ialah desakannya kepada Dr. Mahathir agar segera melepaskan jawatan Perdana Menteri yang sedang disandangnya kepada Anwar Ibrahim yang sebelum ini disokong kuat oleh DAP. Katanya, Mahathir perlu akur dengan patuh dengan perjanjian serah jawatan kepada Anwar Ibrahim.


Ucapan yang paling menarik perhatian sudah tentulah daripada Wong Pak Sang yang merupakan wakil Persatuan Persahabatan Phoenix Malaysia. Dalam ucapannya, dia menyeru agar pimpinan persatuan persahabatan akan bekerja lebih keras dan lebih memperhebatkan kempen terutama dalam isu pendidikan Cina demi masa hadapan masyarakat Cina di Malaysia. Dia turut menyatakan sokongan dan ikrar taat setia kepada Kerajaan Pakatan selain berharap Mahathir segera meletakkan jawatan dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri Malaysia kepada Anwar Ibrahim. Malahan, dia turut menyatakan harapannya agar Kerajaan Pakatan tidak menjadi Kerajaan Sepenggal ekoran kelemahan Mahathir. 

Beberapa orang wakil persatuan lain turut berucap seperti Sia Ting Hool yang merupakan wakil Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 yang menyatakan persatuannya ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada pengajur kerana berjaya menganjurkan majlis tersebut. 9 Mei 2019, sejarah telah dilakar kerana menurutnya, rakyat telah menolak kerajaan yang diwarisi dari penjajah British. Dia juga berharap, mereka dapat meraikan ulangtahun yang lebih besar pada masa akan datang.


Wong Yee Luan yang merupakan Pengerusi Persatuan Persahabatan Lao You Banting pula menyatakan, persatuannya menyokong kuat New Era College University. Sokongan tersebut disimbolkan menerusi pemberian sumbangan bernilai RM40,000 kepada kolej tersebut yang kemudiannya disampaikan bersama-sama gabungan persatuan persahabatan kepada wakil Kolej Universiti New Era Kajang Yap Sin Tian yang juga merupakan Presiden Dong Zhong.


Difahamkan juga, terdapat wartawan dari Nanyang Siang Pao dan Sin Chew Daily dalam majlis tersebut. Pun begitu, perhimpunan anjuran persatuan anggota-anggota komunis tersebut, tidak begitu diperkatakan berbanding perhimpunan re-union di Kolej Universiti New Era Kajang keesokan harinya setelah perhimpunan tersebut dan gambar-gambarnya dimuatnaik oleh ADUN Sungai Pelik dari DAP, Ronnie Liu.

Ronnie Liu kemudiannya memadamkan posting dan gambar-gambar perhimpunan re-union yang dimuatnaik itu setelah ucapannya dalam himpunan tersebut yang membangga-banggakan ahli keluarganya yang menjadi komunis, disebarkan oleh media dan netizen.

Sunday, December 1, 2019

300 PENGGANAS YANG MENGAKU BEKAS, BERKUMPUL DI NEW ERA COLLEGE... MANA PIHAK BERKUASA SEPERTI PDRM?!!!



Hari ini, seramai 300 orang pengganas-pengganas komunis yang telah diberikan pengampunan dan kerakyatan negara ini, telah berkumpul untuk mengingati sejarah penentangan dan kekejaman mereka ke atas negara ini dahulu. Mereka berkumpul di New Era College yang mendapat bantuan dan peruntukan kewangan daripada Lim Guan Eng dan Kerajaan Pakatan Harapan.

Kolej persendirian yang dibangunkan oleh Dong Zhong pada 1994 itu mula mendapat peruntukan terus daripada Kementerian Kewangan dalam Bajet 2019. Menurut Teo Nie Ching, peruntukan berkenaan bukanlah peruntukan daripada Kementerian Pendidikan, sebaliknya peruntukan langsung dari Kementerian Kewangan manakala Kementerian Pendidikan hanyalah penyampai peruntukan kepada kolej terbabit. (RUJUK SINI)


Selain beberapa orang pemimpin UMNO, PAS turut membantah pemberian peruntukan tersebut kepada kolej persendirian seperti New Era College. Ketua Penerangan PAS Malaysia, Nasruddin Hassan berkata, Lim Guan Eng perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung pemberian peruntukan tersebut kerana berdasarkan peruntukan Belanjawan 2019, peruntukan yang diberikan kepada sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) berjumlah RM12 juta. Justeru berapa sebenarnya peruntukan yang diberikan kepada kolej berkenaan. (RUJUK SINI)

Hari ini, terjawablah mengapa Lim Guan Eng memberikan peruntukan berkenaan kepada New Era College.


Selepas kejayaan komunis menyeludup masuk abu mayat Chin Peng untuk ditaburkan di perairan Lumut dan kaki Banjaran Titiwangsa sebagai simbolik kepada kemenangan komunis dan Chin Peng ke atas negara ini, hari ini 300 anggota pengganas komunis (dilunakkan dengan perkataan 'bekas' oleh Malaysiakini) tersebut berkumpul secara terang-terangan untuk membuktikan bahawa undang-undang negara ini boleh mereka perbudak-budakkan sahaja kerana kerajaan sekarang adalah Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Alasan yang diberikan ialah, perhimpunan berkenaan adalah untuk Meraikan Perjanjian Damai Hatyai 30 tahun yang membawa kepada perletakan senjata oleh PKM.

Kekecohan dan panas isu komunis ini berlangsung apabila penyokong Chin Peng meuwar-uwarkan dengan penuh bangga kejayaan mereka menyeludup masuk abu mayat Chin Peng pada 16 September lalu dan ditaburkan di perairan Lumut serta kaki Banjaran Titiwangsa. Bagaimanapun, sebahagian besar pemimpin Kerajaan termasuklah Perdana Menteri dan bekas Ketua Polis Negara berpendapat, tiada salahnya abu mayat Chin Peng dibawa masuk dan disemadikan di negara ini sebagai menghormati perjanjian damai.



Namun, berdasarkan maklumat daripada dokumen perjanjian damai tersebut, secara jelas mencatatkan bahawa semua pengganas komunis itu diberikan kelonggaran untuk memohon kerakyatan negara ini terutama mereka yang dilahirkan di negara ini. Seramai 338 orang anggota komunis telah diberikan pengampunan dan dibenarkan mendapatkan kerakyatan setelah mereka bersumpah setia kepada negara dan DYMM Yang Dipertuan Agong.

Manakala Chin Peng pula, tidak pernah memohon kerakyatan. Malahan dia juga tidak menyatakan taat setia kepada Malaysia apatah lagi kepada DYMM Yang Dipertuan Agong. Menggunakan Tommy Thomas yang sekarang ini merupakan Peguam Negara, Chin Peng cuba mendapatkan pengiktirafan mahkamah di Malaysia agar membolehkan dia memasuki dan tinggal di Malaysia tanpa perlu melalui proses pengampunan dan permohonan kerakyatan. Mahkamah Persekutuan bagaimanapun, menolak permohonan dan saman Chin Peng.

Lebih daripada itu, Chin Peng dan para pemimpin PKM tidak pernah dibicarakan atas jenayah kemanusiaan sepanjang mereka mengganas dari tahun 1948 sehingga 1989.


Malaysiakini melaporkan antara yang turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu dan veteran PKR Syed Hussin Syed Ali.

Perjumpaan berkenaan dikatakan bermula pada pukul 10.15 pagi tadi dengan ucapan daripada beberapa bekas anggota PKM dan Ronnie.

Menurut salah seorang bekas anggota PKM, Tan Yi Yu, perjumpaan itu bukan sahaja untuk mengingati sejarah mereka tetapi juga untuk membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka.

“Perjuangan PKM adalah perang terhadap kolonial dan imperialisme, berjuang untuk kemerdekaan negara, demokrasi, kebebasan dan kedamaian,” kata Yi Yu.

Apa DAP buat dalam Sambutan Memperingati Ulang Tahun ke-30 Penandatangan Persetujuan Damai Haadyai?

Mereka yang gigih menganjurkan sambutan ini ialah Persatuan Persahabatan Abad ke-21 Malaysia, Persatuan Persahabatan Phoenix Malaysia, Persatuan Persahabatan Berpanjangan Malaysia dan Persatuan Pendidikan dan Kebudayaan Tionghua Kuala Lumpur & Selangor (rujuk foto-foto)

Kenapa disambut di New Era College, institusi pendidikan vernakular yang penuh kontroversi itu? Kenapa tidak di Hatyai, Thailand seperti sebelum-sebelum ini?

Contoh sambutan sebelum ini, Sambutan Ulang Tahun ke-25 pada 4 Disember 2014 yang dihadiri oleh ratusan bekas anggota PKM yang berada di Yala dan Narathiwat. Ketika itu, Komander Rejimen Ke-10 PKM, Abdullah CD turut hadir.

Dan kenapa Ronnie Liu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat (CEC DAP) turut hadir memberi ucapan dalam sambutan tersebut? Apa kaitan dengan beliau dan parti DAP? Untuk makluman, Ronnie juga antara yang giat mahu PKM dinobat sebagai pejuang kemerdekaan.

Apa provokasi yang cuba dirancang?

Ronnie Liu sendiri yang memuat naik foto-foto sambutan tersebut di Facebooknya
https://www.facebook.com/ronnie.liutiankhiew/posts/3189665391050040



Ronnie Liu bagaimanapun telah memadamkan posting berkenaan dari FBnya.

Perhatikan juga, abu mayat Chin Peng dibawa masuk lebih dua bulan lalu, tetapi kenapa Chan Kan Fook (kepala penyelaras upacara memperingati Chin Peng), tiba-tiba mengadakan sidang media pada 26 Nov lepas?

Kemudian pembangkang dikecam kerana cuba membangkitkan isu ini, walhal yang mula-mula menghebahkan kepada umum ialah kumpulan Chan Kan Fook dan Malaysiakini.

Kalaulah kejadian ini berlaku di Indonesia, penulis yakin, Kerajaan Indonesia terutama sekali TNI akan 'membantai' habis-habisan. Di Malaysia pula, PDRM yang suatu ketika dahulu, gigih memerangi PKM terutama di kawasan-kawasan bandar dan hutan, sekarang ini di bawah kepimpinan Hamid Bador seakan-akan longlai dan langsung tidak bermaya. Seolah-olah komunis bukan lagi ancaman dan seolah-olah komunis perlu diterima sebagai sebahagian daripada negara ini.


Bayangkanlah bagaimana bekas-bekas NAZI membuat upacara serupa di mana-mana bahagian Jerman. Alangkan mahasiswa UMS buat lambang salam Nazi di Malaysia pun, Kedutaan Jerman sudah menghantar protes dan membantah keras kepada Wisma Putra.

Apakah ini sebenarnya menunjukkan KOMUNIS dan PKM telah pun menguasai negara ini sehinggakan agensi-agensi yang dahulunya cukup keras dengan komunis dan ancaman PKM, sekarang ini sudah jadi kerbau mandul banyak lemak?

 
Blogger Templates