Berita penangkapan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sememangnya amat menggemparkan. Angka wang tunai yang didedahkan, berubah daripada RM50 juta menjadi RM117 juta dengan pantas dan itu tidak termasuk berpuluh-puluh kereta mewah, hartanah serta barangan kemas.
Ada yang bercakap besar terutama sekali puak Cap Bunga, kononnya, zaman Najib sebagai Perdana Menteri, rasuah bermahajaralela dan terbukti apabila SPRM berjaya membuat tangkapan-tangkapan jerung berbanding zaman Mahathir.
Yang mereka tidak pernah cuba melihat sejarah ialah, pada zaman Mahathir pun, memang ada tangkapan anti rasuah, baik oleh Biro Siasatan Negara (BSN) kemudian Biro Penyiasatan Rasuah (BPR) sebelum zaman Abdullah Badawi ditukar namanya menjadi Suruhanjaya Pencegahan Anti Rasuah (SPRM). Bagaimanapun, tangkapan hanyalah melibatkan bilis-bilis dan ikan-ikan kecil membabitkan penjawat-penjawat awam berpangkat rendah tetapi membiarkan yang berpangkat besar bermaharajalela mengumpul kekayaan secara keji. Malah operasi anti rasuah tersebut bolehlah dikategorikan sebagai 'BERSKALA HIBURAN'.
Hanya selepas rombakan jawatan membabitkan jawatan-jawatan tertinggi SPRM dibuat, barulah jerung-jerung dan paus-paus besar rasuah di kalangan penjawat awam, mula dibawa ke muka pengadilan.
Dan ianya berlaku pada zaman Najib Abdul Razak, bukan zaman Abdullah Badawi dan jauh sekali dari zaman Mahathir!
Sesuatu yang menarik yang mungkin masih cuba disangkal oleh sebilangan pihak di negara ini ialah - zaman maklumat di hujung jari ini - sekadar penafian tidak dapat menghilangkan keraguan apatah lagi semakin ramai yang memperkatakannya secara terbuka tentang amalan dan perlakuan rasuah sedangkan pada masa yang sama, bukti mata pula adalah sebaliknya.
Kalau dahulu, cerita rasuahnya sekadar bernilai kecil tetapi zaman di mana Facebook menjadi medium utama, rasuah-rasuah yang didedahkan pula sangat besar. Dan walaupun terdapat keterbukaan tentang laporan yang perlu dibuat kepada pihak berkuasa, khususnya SPRM, namun ianya tidak menjadi penghalang kepada orang awam untuk terus menghebahkan 'industri' berkenaan menggunakan medium media sosial.
Pendatang dan pekerja asing yang jumlahnya seperti tidak terkawal, sebagai contohnya, juga membuka mata dan pengertian kepada masyarakat awam bahawa ianya mempunyai kaitan dengan rasuah. Apatah lagi dengan penglibatan SPRM dalam penangkapan pegawai-pegawai imigresen daripada pegawai tinggi sehingga ke pegawai bawahan dalam skandal MyIMMs yang amat memalukan pada Mei lalu (
RUJUK SINI)
Turut ditimbulkan juga adalah tentang sejumlah pendatang asing yang diberikan status PR dan warganegara sungguhpun sebahagian daripada mereka, bukan sahaja tidak boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Kebangsaan sebagaimana syarat yang tertulis dalam Perlembagaan Malaysia, bahkan tidak boleh langsung faham Bahasa Kebangsaan.
Dalam tempoh terdekat ini sahaja, sudah ada beberapa penangkapan 'besar' yang dilakukan oleh SPRM melibatkan penjawat awam dan jerung besar dalam GLC termasuklah Bank Rakyat. Sekaligus tindakan SPRM selepas rombakan jawatan yang dibuat pada zaman Najib ini telah mengesahkan cakap-cakap selama ini bahawa rasuah telah berakar umbi dalam perkhidmatan awam.
Menariknya, kebanyakan penjawat awam, terutama sekali yang begitu kuat menentang kerajaan, menuduh dan menyalahkan pemimpin-pemimpin politik walhal ternyata amalan sebenar berakar umbi di pihak mereka. Menyalahkan kepimpinan politik sedangkan yang melakukannya adalah pihak mereka sendiri, tidak akan menutup cerita sungguhpun mereka mungkin berjaya menimbulkan persepsi bahawa KERAJAAN MELAKUKAN RASUAH biarpun hakikatnya yang menikmati rasuah itu adalah KAKITANGAN KERAJAAN.
Tidak dinafikan, memang ada campurtangan politik terutama sekali kalau kita rajin mendengar dan keluhan daripada anggota-anggota rendah kakitangan awam yang menguruskan pemberian visa, permit kerja mahupun dokumen diri selain membabitkan pemberian atau penjualan tanah. Namun sekiranya, jerung-jerung besar di lubuk-lubuk sensitif tersebut berpegang teguh kepada integriti dan menjunjung kedaulatan undang-undang, apa yang berlaku di Sabah semalam, tidak akan berlaku!
Zaman di mana HEAR-SAY orang itu rasuah, orang ini rasuah, sudah tidak terpakai kerana sebarang tindakan undang-undang tidak memerlukan teori atau laporan daripada media-media asing menggunakan teknik HEAR-SAY, sebaliknya ia memerlukan pembuktian yang cukup untuk mensabitkan pengamal rasuah agar peguam-peguam mereka tidak boleh memanipulasikan undang-undang sewenang-wenangnya.
Dan itulah nampaknya dilakukan oleh SPRM dalam tangkapan-tangkapan 'mega' kali ini.
Walaupun mungkin agak terlewat tetapi tindakan SPRM menangkap JERUNG-JERUNG RASUAH adalah sesuatu yang perlu dipuji dan disokong. Cuma, banyak juga cakap-cakap yang mempersoalkan, mengapa yang menerima sahaja yang ditangkap dan didakwa, manakala pemberi rasuah pula seperti terlindung dek undang-undang.
SPRM dan kerajaan perlu memperbetulkan 'jurang' ini dengan kadar segera!
Beruntung benarlah, pengamal dan pemberi rasuah di Malaysia sekadar dihukum 'ringan' dan bukannya dijatuhi hukuman mati seperti di China...