Tindakan terbaharu yang dilakukan oleh Jamal Mohd Yunos menimbulkan pelbagai polemik dan persepsi. Namun ia lebih menarik apabila Ketua Polis Selangor turut mengeluarkan komen dan mengingatkan Jamal Mohd Yunos, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu telah melakukan kesalahan kerana melakukan serbuan ke atas premis yang disyaki menjalankan operasi judi haram tanpa sedikit pun menyentuh tentang Kanun Prosedur Jenayah (CPC) 27-1 yang membolehkan orang awam melakukan penangkapan.
Namun gerakannya menyerbu pusat-pusat judi di Sekinchan dan Ampang, membuatkan penulis memujinya. Malah penulis juga sebenarnya kagum dengan keberaniannya walaupun pada masa yang sama, Jamal sebenarnya bukan sahaja melanggar undang-undang kerana menyerbu kawasan persendirian tanpa waran dan lesen sebagaimana kenyataan Ketua Polis Selangor, tetapi juga kerana keberaniannya berhadapan dengan kongsi-kongsi gelap dan kumpulan-kumpulan samseng yang diketahui mengendalikan dan mengoperasikan pusat-pusat judi tersebut.
Sekaligus pada masa yang sama menunjukkan bagaimana pihak berkuasa Selangor, bahkan di negeri-negeri lain hanya menutup mata apabila dia melakukan penyerbuan sendirian, dan mengesahkan bahawa kewujudan pusat-pusat judi haram, sememangnya adalah satu hakikat tetapi kurang diberikan perhatian di sebalik pelbagai kenyataan-kenyataan retorik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan Kerajaan Negeri.
Walaupun sukar untuk menuduh pihak berkuasa tidak menjalankan tugas atau memejamkan mata dengan kewujudan pusat-pusat judi serta maksiat tersebut, namun apa yang dilakukan oleh Jamal Mohd Yunos sedikit sebanyak telah mendedahkan kepincangan di dalam pihak berkuasa itu sendiri.
Sepatutnya apa yang dilakukan oleh Jamal itu, sedikit sebanyak memudahkan pihak berkuasa khususnya PBT yang mengeluarkan permit untuk bertindak.
Jamal bertindak membahayakan diri dan keluarganya sendiri di sebuah negeri yang sepatutnya menjadi Utophia. Pakatan yang mengandungi DAP-PKR-PAS telah menjanjikan kepada para pengundi untuk menghapuskan segala kilang arak, judi dan yang berkaitan dengan maksiat dalam kempen pilihanraya mereka. Namun setelah dua penggal memegang kuasa, pusat-pusat yang berkaitan maksiat itu tidak berkurangan, bahkan bertambah berkali-kali ganda di seluruh negeri.
Adakah sebenarnya ini yang diidamkan oleh para penyokong Pakatan sebenarnya bagi memenuhi impian mereka melihat Selangor sebagai sebuah negeri Utophia?