Social Icons

Pages

BULETIN 247

Showing posts with label kemelut pkr. Show all posts
Showing posts with label kemelut pkr. Show all posts

Monday, December 9, 2019

ZURAIDAH KATA, PECATLAH DIA DAN AZMIN KALAU BERANI... AZMIN PULA KATA, KEPALA BAPAK KAU KEPADA SETPOL ANWAR!!!



Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Malam yang penuh bersejarah sekaligus membuka lembaran baru dalam politik negara. Persekongkolan, penyekutuan, kerjasama, konspirasi, malahan hubungan romantik... namakan apa sahaja, kini sudah bertukar menjadi kecaman antara satu sama lain. Hubungan yang dahulunya dilihat akrab, rapat dan padu depan belakang, kini sudah bertukar menjadi masam, kelat, malahan sudah dilihat jijik antara satu sama lain.

Dan berdasarkan seperti cerita Zuraidah Kamaruddin yang mula menjadi konco rapat Azmin Ali selepas dia menjadi Menteri Besar Selangor dahulu, modal yang digunakan sebagai alasan adalah kes liwat membabitkan Azmin Ali yang klip videonya tular di media sosial sebelum ini. Secara panjang lebar, Zuraidah Kamaruddin yang sebelum ini kuat menyokong Anwar Ibrahim, mula menghunuskan muncung senjata kepada Anwar Ibrahim kembali.


Zuraidah menceritakan bagaimana empat pucuk surat telah ditulis kepada Anwar untuk meminta agar diberikan ruang kerana mereka mewakili 60% pengundi yang memilih PKR. Bagaimanapun, keempat-empat kalinya ditolak dan tidak dipedulikan oleh Anwar. 

Namun yang menarik dalam cerita Zuraidah itu ialah bagaimana Anwar cuba memujuknya supaya meninggalkan Azmin Ali dengan cerita kononnya Mahathir menyuruh Anwar memecat Azmin Ali. Anwar dalam cubaannya untuk memujuk Zuraidah itu telah menggunakan klip video semburit dan mengesahkan yang pelaku di dalam klip video tersebut adalah Azmin Ali. (RUJUK SINI)


Malahan Zuraidah Kamaruddin secara sinis menyindir Akmal Nasir, Ketua AMK yang pada 13 November 2019 mengeluarkan kenyataan keras tentang ketidakhadiran Azmin Ali sebagai punca mengapa namanya digugurkan daripada merasmikan Kongres AMK. (RUJUK SINI)

Kata Zuraidah, dia dan Azmin langsung tidak hairan dengan amaran 'budak Pampers dan Gangsters', sebaliknya bersedia untuk dipecat dari parti kerana hendak bawa PKR ke landasan yang betul.

"Pernahkah kita (PKR) guna gengster, baju hitam? Siapa jadi petugas-petugas itu?
"Sokong satu tahun tak datang mesyuarat, ada bising? Presiden tak datang mesyuarat, ada bising? Kenapa nak pertikaikan kami tidak datang mesyuarat?

"Saya berani cakap di sini, tanya kawan semua. Saya orang taat datang mesyuarat paling punctual. Sebelum Anwar Ibrahim jadi Presiden dahulu saya dah mesyuarat. Tidak payah hendak ajar saya mesyuarat. Saya nak dengar cakap engkau ke yang hingus ini?

"Ini semua 'budak Pampers', jangan nak berlagak nak tegur kita. Kami yang buat deklarasi jadi jangan nak ajar kami kalau tidak ada sebab nak melakukan perkara itu," tegas Zuraida dalam ucapannya. (RUJUK SINI)

Secara tidak langsung, pekung di dada telah pun dibuka untuk tatapan umum. 


Azmin Ali dalam majlis yang sama turut meneruskan kecaman dengan berkata, PKR bukannya dibina oleh satu keluarga, sebaliknya dibina oleh rakyat seluruh Malaysia. Secara tidak langsung, pertempuran kali ini lebih tepat dikatakan sebagai KARTEL VS KELUARGA. 

Dan yang menariknya, Azmin Ali sendiri merupakan 'keluarga' Mahathir. Dan kepastian tersebut terserlah menerusi kehadiran Khairuddin Abu Hassan yang menandakan sokongan Mahathir kepada Azmin Ali.



Kenyataan keras Azmin Ali tentang kecaman Farhash Wafa Salvador yang beberapa hari lepas mengecamnya disudahi dengan perkataan 'KEPALA BAPAK KAU'. 

“Sebab itu saya amat kesal ada dua tiga kerat, nama pun bukan macam nama orang Malaysia. Akulah reformasi, akulah perjuangan, kamu pengkhianat. Kepala bapak kamu!" kata Menteri Ekonomi, Azmin Ali, dalam ucapan Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 semalam. 



Azmin Ali seperti tidak dapat menahan marah apabila digelarkan pengkhianat oleh Farhash Wafa Salvador dengan membuka 'rahsia' Anwar Ibrahim sendiri dan mengungkit kisah pengorbanan yang dilakukannya sepanjang bersama-sama PKR berbanding golongan seperti Farhash Wafa Salvador yang merupakan Pengerusi PKR Perak yang baru menyertai parti tersebut tetapi berlagak lebih lajak dari laju. (RUJUK SINI)

Malah Azmin Ali juga berterus-terang menyatakan kemarahannya apabila Anwar Ibrahim dalam ucapannya, menggelarkannya sebagai pengkhianat dan menceritakan tentang bagaimana Si Kitul meruntukan Kerajaan Melayu Melaka abad ke-16 lalu. Dan semua orang tahu, Si Kitul yang dimaksudkan oleh Anwar Ibrahim dalam ucapannya itu adalah merujuk kepada Azmin Ali walaupun Anwar Ibrahim kemudiannya berkata, Si Kitul adalah watak dalam Sulalatus Salatin, kitab sejarah yang dikarang oleh Tun Seri Lanang. (RUJUK SINI)



Baik Anwar Ibrahim mahupun Azmin Ali, kedua-duanya seringkali menanggapi dan mahu seluruh manusia percaya bahawa perbuatan liwat yang dirakamkan menerusi klip video dan tersebar ke seluruh dunia yang dikaitkan dengan mereka berdua hanyalah konspirasi politik dan fitnah semata-mata.

Namun pada masa yang sama, ketika ini, klip-klip video itulah juga yang digunakan untuk menyerang antara satu sama lain walaupun turut digunakan alasan PRINSIP PERJUANGAN. Pada masa yang sama, polis telah mengesahkan menerima Akuan Bersumpah dan laporan polis yang dibuat oleh Muhammed Yusoff Rawther, orang yang mendakwa Anwar Ibrahim telah cuba meliwatnya beberapa hari lepas. (RUJUK SINI)


Muhammad Yusoff Rawther juga merupakan orang yang terlibat dalam pergaduhan dengan Farhash Wafa Salvador di Ibu Pejabat PKR pada Jun lalu. Muhammed Yusof Rawther yang merupakan penyelidik sukarela telah dituduh telah memecah masuk ke premis tersebut dan menyalahgunakan dadah. Farhash Wafa Salvador sebelum itu didakwa telah membelasahnya sehingga mengalami kecederaan pada bulan Mei. (RUJUK SINI)


Saturday, December 7, 2019

ANWAR KATA ORANG YANG SABOTAJ KONGRES PKR AKAN DIPECAT... AZMIN ALI TUNJUKKAN DIA ANAK JANTAN DENGAN RATUSAN KELUAR DARI DEWAN SEMASA PERBAHASAN BERLANGSUNG!!!



Dalam Kongres Nasional PKR yang sedang berlangsung, Azmin Ali dan Anwar Ibrahim cuba berlakon konon-kononnya mereka tidak mempunyai sebarang masalah atau percanggahan apatah lagi perselisihan faham. Azmin Ali sendiri cuba menggambarkan yang dia akan menjadi orang yang paling hadapan untuk mempertahankan Anwar Ibrahim, walaupun dalam sejarah PKR, Azmin Ali sentiasa menjadi orang di belakang tetapi hanya ke hadapan apabila berjaya menebang tebas semua orang yang telah bersusah dari awal untuk PKR dan Anwar Ibrahim.



Sejarah PKR dan Azmin Ali sudah cukup menceritakan, bagaimana ketika kebanyakan pembangun-pembangun dan pencetus-pencetus penubuhan PKR, sama ada dari zaman Ikatan, Adil, mahupun Keadilan, Azmin Ali hanya terkenal dengan nama sahaja. Manakala semua kerja membangunkan parti dilakukan oleh orang lain yang kebanyakan daripada mereka kini sudah keluar dari PKR dan meninggalkan Anwar Ibrahim.


Dengan kata lain, dalam sejarah Reformasi, Azmin Ali tidak ada nama dan tidak ada peranan. Dia hanya disebut sebab dia bergantung pada ketiak Anwar Ibrahim sahaja!

Namun untung bagi Azmin Ali ialah, apa sahaja laba dari perjuangan Anwar dan PKR, dialah orang yang paling menikmatinya walaupun dia tidak layak. Samalah macam dalam kes perebutan jawatan Menteri Besar Selangor antara Khalid Ibrahim dan Anwar Ibrahim. Bersungguh-sungguh para jentera propaganda dan pemikir PKR mencari jalan untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim, alih-alih Azmin Ali yang sebelum itu sekadar mendiamkan diri mendapat jawatan lumayan tersebut.



Orang pertama yang mahukan Mahathir mengetuai Pakatan adalah Azmin Ali sendiri yang berselindung di belakang Kelab Akar Umbi PKR. (RUJUK SINI) Padahal dalam usahanya memburu kedudukan, jawatan dan kemewahan bersama-sama PKR, Mahathir adalah orang yang paling diratibnya dengan pelbagai kata keji dan nista. Tak cukup caci maki Mahathir, ibu bapa Mahathir yang sudah meninggal dunia pun turut menjadi sasaran Azmin Ali.


Apabila Anwar Ibrahim menggunakan semua kekuatannya untuk mempercepatkan Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepadanya, sekaligus menghilangkan peluang Azmin Ali sebagai bakal Perdana Menteri Ke-8 yang menggantikan Mahathir, Azmin Ali muncul dengan 'jalan belakangnya' sekali lagi.


Namun kali ini sebahagian daripada pemimpin akar umbi PKR sudah bosan dengan politik yang dimainkan oleh Azmin Ali. Apatah lagi Azmin Ali yang berasa sudah cukup kuat dengan sokongan beberapa orang Ahli-Ahli Parlimen PKR termasuklah daripada Zuraidah Kamaruddin, cukup yakin dia dapat menjatuhkan Anwar Ibrahim sekaligus membuatkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Tepi paling lama di dunia.


Kongres Nasional Keadilan sudah dimulakan lebih awal dengan provokasi apabila ada mulut-mulut yang bercakap tentang usul undi tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim yang merupakan Presiden parti. Dari kumpulan Anwar Ibrahim pula, muncul soksek-soksek tentang pemecatan Azmin Ali dan konco-konconya dari PKR sekaligus memudahkan mereka menunjukkan belang yang sebenar dengan menyertai PPBM atau DAP. (RUJUK SINI)

Amaran Anwar Ibrahim bahawa pihak yang menimbulkan provokasi dan mensabotaj PKR akan dipecat, nampaknya tidak dihiraukan oleh Azmin Ali. (RUJUK SINI) Pergaduhan melibatkan kumpulan baju hitam yang dikatakan oleh Ketua AMK sebagai sabotaj UMNO-PAS, kemudiannya dibalas oleh Timbalan AMK Hilman Idham sebagai pembohongan nyata Akmal Nasir. 


Hari ini Azmin Ali menyahut cabaran Anwar Ibrahim. Ratusan ahli PKR yang dipercayai penyokong Azmin Ali, bertindak melangkah keluar dari kongres parti itu atas alasan kononnya mereka tidak senang terhadap ucapan yang dibuat oleh perwakilan parti yang menyindir dan mengecam Azmin Ali. (RUJUK SINI) 

Tindakan meninggalkan dewan secara beramai-ramai itu berlaku kira-kira jam 2:50 petang selepas perwakilan dari Pulau Pinang Gooi Hsiao-Leung berucap dengan ada yang menjerit, "Balik! Keluar!"



Sebelum itu, beberapa perwakilan yang berucap, mengambil kesempatan untuk mengutuk dan mengecam Azmin Ali termasuklah perwakilan PKR Kedah, Mohammed Firdaus Johari yang mengingatkan Azmin agar menumpukan kepada tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi selain mengurangkan keseronokannya menjadi 'menteri pengiring'. 

Perwakilan Melaka, Mohd Rafee Ibrahim dan perwakilan Johor Mohd Shahrum Radzi Salehuddin pula menyeru supaya tindakan tegas diambil terhadap pengkhianat di dalam PKR. Pengkhianat yang dimaksudkan adalah Azmin Ali.

Ketika kecam dan kutuk tersebut, Azmin tidak berada di dalam dewan ketika sesi perbahasan petang sedang berlangsung. Sebelum itu, Anwar Ibrahim dan Azmin Ali telah bersetuju untuk berdamai. 


Shamsul Iskandar Mohd Akin yang merupakan Ketua Penerangan PKR yang namanya tidak tersenarai dalam kenyataan media mengutuk perbuatan mengecam dan memperlekehkan Azmin Ali cuba mengambil jalan tengah dengan berkata, perbahasan tersebut bukanlah menyasarkan Azmin dan penyokongnya. Sebaliknya teguran terhadap Azmin dan penyokongnya dalam kongres tersebut sebagai lumrah. 

"Takkanlah kita dah jadi kerajaan, yang kita nak dengar cuma pujian dan sanjungan perweakilan. Kita mesti realistik," katanya. 

Walau apa pun alasan yang diberikan ialah, PKR tidak dapat menafikan, pergaduhan di kalangan penyokong-penyokong akar umbi PKR sendiri adalah akibat perebutan jawatan Perdana Menteri antara Azmin Ali dan Anwar Ibrahim. 

Lebih-lebih lagi setelah Azmin menuduh perwakilan keluar dari dewan akibat Presiden PKR, Anwar Ibrahim gagal menunaikan janjinya. 


Saturday, November 16, 2019

FRAKSI AZMIN ALI DAN ANWAR IBRAHIM MULA BERBALAS-BALAS KENYATAAN... PKR MAKIN PANAS!



PRK Parlimen Tanjung Piai sudah hampir melabuhkan tirainya. Kempennya sudah berakhir malam tadi. Menjelang senja nanti, keputusan pembuangan undi 52,471 orang pengundi akan diketahui dan dihebahkan.

Yang kalah akan tunduk merenung telur sendiri. Yang menang pula akan mengangkat tangan dan melonjak. Untuk beberapa hari, kisah PRK Tanjung Piai akan terus diperkatakan.

Perkembangan politik di negara ini tidak habis begitu sahaja. Di Sabah dan Sarawak, cerita politiknya semakin membesar. Sarawak dengan GPS yang kelihatan bersendirian dan terpaksa bekerja keras menjaga rakyat tanpa Kerajaan Persekutuan. Manakala Sabah pula, berhadapan dengan kemelut kemarahan rakyat tempatan dan Orang Asal kerana sikap Kerajaan Negeri Sabah yang dikuasai oleh WARISAN yang terlalu mesra dengan PTI.

Di Semenanjung, kemelut perebutan jawatan Perdana Menteri Ke-8 antara Azmin Ali dan Anwar Ibrahim terus memuncak walaupun cuba diselindungi dan dikalihkan kepada isu Najib, 1MDB, FGV, FELDA dan sebagainya.


Umum mengetahui, orang yang paling meroyan dan berkehendakkan sangat jawatan Perdana Menteri Malaysia seolah-olah jawatan Perdana Menteri Malaysia adalah hak miliknya, adalah Anwar Ibrahim. Dari awal kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018 lagi, Anwar Ibrahim telah mengatakan, dia adalah Perdana Menteri Malaysia yang sepatutnya. Bukan Mahathir. Mahathir hanya menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-7 atas belas ehsannya. Mahathir dianggap sudah lapuk dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia dan melonjakkan status hidup rakyat Malaysia.

Selama lebih 500 hari selepas kemenangan 9 Mei 2018, hampir setiap hari jugalah Anwar Ibrahim meratibkan jawatan Perdana Menteri yang akan diserahkan kepadanya. Janji Mahathir kononnya, dia hanya akan menjadi Perdana Menteri interim selama dua tahun, cuba dituntut oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya.

Malangnya, Mahathir tetap Mahathir.

Di sebalik janji Mahathir bahawa dia akan serahkan jawatan yang sangat diidam-idamkan oleh Anwar Ibrahim itu kepada Presiden PKR itu, Mahathir mengeluarkan banyak kenyataan yang sama sekali menunjukkan kecenderungannya untuk mungkir janji atas alasan, Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Perdana Menteri.



Ramai yang melihat, Azmin Ali sebenarnya yang menjadi pilihan Dr. Mahathir. Disebabkan itulah, Azmin Ali yang baru sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor, telah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, kementerian yang baru diwujudkan semata-mata untuk Azmin Ali oleh Dr. Mahathir.

Dan sudah tentulah sebagai orang yang mengidamkan sangat jawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tahu dan dapat melihat apa yang cuba dilakukan oleh Mahathir.


Terbaharu, Kongres Pemuda PKR pada 6 Disember depan, sudah sah tidak menjemput dan memulaukan Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden PKR. Sebaliknya perasmian kongres akan dilakukan oleh Penasihat PKR yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Secara tradisinya, Timbalan Presiden PKRlah yang akan merasmikan Kongres Pemuda atau AMK. Namun keputusan kali ini diambil ekoran sikap Azmin yang sudah tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti, malah tidak pernah hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR semenjak setahun yang lalu.

"AMK bertanggungjawab memberikan mesej yang jelas kepada seluruh anggota PKR bahawa AMK akan kekal teguh mendokong kepimpinan parti yang sekaligus memelihara tradisi perjuangan PKR," kata Ketua AMK, Akmal Nasir yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru ketika mempertahankan keputusan menggugurkan Azmin. (RUJUK SINI)

Azmin Ali menyifatkan pembatalan jemputan ke atasnya itu adalah disebabkan 'tangan ghaib'. Menurutnya dia telah menerima surat jemputan dan telah menjawab akan hadir tetapi mendapat tahu, jemputan tersebut telah dibatalkan. Menurutnya lagi, dia yakin Ketua AMK tidak berani melakukan sesuatu tanpa ada tangan-tangan ghaib di belakangnya. (RUJUK SINI)

Anwar Ibrahim pada masa yang sama, secara sinis menyangkal dakwaan Azmin Ali tentang 'tangan ghaib' di sebalik keputusan membatalkan jemputannya untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR (AMK).


"Mungkin dia tengok dari langit, bulan," kata Anwar. 

Menurut Anwar, apa-apa pun mesyuarat biro politik diadakan dua kali sebulan atau secara mingguan, manakala mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) pula diadakan setiap bulan. Semua boleh beri pandangan, semua boleh bantah dan tolak. Semua keputusan dibuat oleh MPP, katanya. 

"Apa-apa perubahan bukan (dibuat melalui) ugutan oleh mana-mana tokoh tetapi mesti dibuat oleh mesyuarat," kata Anwar lagi. (RUJUK SINI) 

Akmal Nasir dalam jawapan kepada tuduhan Azmin Ali berkata, tindakan pembatalan jemputan ke atas Azmin adalah disebabkan kegagalan Azmin sendiri untuk memberikan jawapan selepas enam minggu surat jemputan dikirimkan. 

"Saya cuba sebaiknya menguruskan isu ini dengan mengekalkan perbincangan secara dalaman dan tidak mengheret media, ternyata dia tidak lagi ada rasa hormat kepada parti dan perjuangan. 

"Keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK pada 20 Oktober 2019 untuk membatalkan jemputan kepadanya adalah disebabkan kelemahan Azmin sendiri untuk memberikan jawapan selepas diberi tempoh selama 6 minggu (surat jemputan bertarikh 11 September 2019) untuk berbuat demikian," kata Akmal dalam kenyataan medianya.


Menurut Akmal lagi, Azmin juga gagal hadir ke mesyuarat parti Majlis Pimpinan Pusat (MPP) atau Biro Politik selama setahun dan seringkali mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan disiplin parti serta semangat Pakatan Harapan seperti dalam isu 'tangan ghaib' dalam KEADILAN. (RUJUK SINI)

Tindakan membatalkan jemputan kepada Azmin Ali, mendapat reaksi panas daripada para penyokong Azmin dalam PKR. 

21 daripada 25 Kepimpinan Pusat AMK yang menang dalam pemilihan lalu, diketuai oleh Hilman Idham, orang kuat Azmin Ali, telah mengeluarkan kenyataan rasmi membantah keputusan tersebut. 

Kepimpinan pusat AMK mengandungi 43 anggota. Dua puluh lima daripada mereka dipilih dalam pengundian manakala 18 lagi jawatan lantikan.

Dalam pemilihan parti itu sebelum ini Akmal terlibat dalam kumpulan Naib Presiden Rafizi Ramli manakala Hilman pula dalam pasukan Azmin. Sebahagian besar kepimpinan utamanya dikuasai pasukan Azmin.

Manakala Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, telah memberikan kata dua untuk membatalkan konvensyen PKR Negeri itu yang dijadualkan berlangsung di Miri pada 23 November sekiranya isu pembatalan jemputan Azmin tidak diselesaikan. 


Pengarah Konvensyen PKR Nik Nazmi Nik Ahmad membidas keputusan PKR Sarawak membatalkan konvensyen PKR negeri itu yang dijadualkan berlangsung di Miri pada 23 Nov ini.

Nik Nazmi berkata, PKR Sarawak tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan konvensyen negeri yang sudah dibincangkan dan diputuskan secara bersama memandangkan perbincangan terakhir sudah dibuat pada 14 Nov lalu. (RUJUK SINI)

HEBAT BETUL PEREBUTAN JAWATAN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-8 NI. Kita tengok sajalah, siapa yang akan memenangi perebutan ini. Adakah Azmin Ali yang terpalit dengan video semburit dan kegagalan membayar hutang keluarganya melancong atau Anwar Ibrahim yang semakin kehilangan sokongan akar umbi sebaliknya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada DAP?


Friday, December 29, 2017

MAHATHIR SEBAGAI PERDANA MENTERI SEMENTARA, WAN AZIZAH SEBAGAI TPM... KONSENSUS CACA MARBA YANG SUPREMONYA ADALAH DAP!!!



Beberapa portal berita seperti Malaysiakini melaporkan Biro Politik PKR dalam mesyuarat mereka bersetuju untuk mengangkat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara dengan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri menerusi beberapa syarat sekiranya Pakatan memenangi PRU-14.

Antara syarat-syaratnya ialah, Mahathir mesti berjanji jawatan Perdana Menteri yang disandangnya hanyalah jawatan sementara. Dia wajib membebaskan Anwar Ibrahim dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh 6 sehingga 12 bulan selepas pembebasannya.

Anwar Ibrahim sedang menjalani hukuman penjara selama 5 tahun atas jenayah liwat. Ketua Umum PKR itu dijangka dibebaskan pada penghujung 2018.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 48 Fasal 6, seseorang yang melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat, hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen selama 5 tahun.

Dalam kes Anwar Ibrahim, dia tertakluk kepada Perkara 48 Fasal 1 (e) yang menyebabkan dia terpaksa melepaskan keahliannya di Dewan Rakyat dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana telah disabitkan dengan jenayah oleh mahkamah dan telah dihukum penjara lebih setahun.

Tidak dapat dinafikan, PKR sebenarnya sedang dalam keadaan yang sangat terdesak untuk sekurang-kurangnya mengekalkan penguasaan mereka ke atas kerusi-kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-13 lalu. Berbanding PRU-13, PKR pada PRU kali ini kelihatan tidak mempunyai arah tujuan. Ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan dan kebergantungan PKR kepada DAP adalah antara punca utamanya.

Walaupun PKR ditubuhkan kerana kebencian terhadap Mahathir tetapi untuk berhadapan dengan Najib Abdul Razak dan bagi merealisasikan cita-cita mereka untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, PKR terpaksa melupakan asas kewujudan dan prinsip mereka sendiri.

Sama ada benar atau tidak keputusan Biro Politik PKR bersetuju untuk mengangkat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri atas restu Anwar Ibrahim, itu tidak penting lagi. Ia tidak mengubah apa-apa pun kerana selepas dibebaskan, Anwar Ibrahim tetap tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri atau Menteri mahupun sebagai Ahli Parlimen kerana 'perintah berkurung' lima tahunnya.

Tempoh 6 sehingga 12 bulan yang diberikan kepada Mahathir adalah tempoh mimpi PKR yang menunjukkan kecenderungan mereka untuk menyalahgunakan undang-undang di negara ini bagi kepentingan peribadi walaupun pada masa yang sama, mereka seringkali bercakap tentang sistem perundangan dan mahkamah Malaysia yang kononnya telah dicemari dengan rasuah serta penyelewengan.


Persoalan yang menarik kini ialah sikap para penyokong Mahathir sendiri. Adakah mereka sanggup melihat tokoh pujaan mereka diperbudak-budakkan oleh PKR sedangkan hakikatnya, Mahathir yang telah melantik Anwar Ibrahim bahkan membawa masuk Anwar Ibrahim, mempermudahkan Ketua Umum PKR itu memperolehi pelbagai jawatan penting dan tinggi dalam Kabinet dan kerajaan tanpa memiliki latar belakang akademik dan pengalaman, bahkan mempercepatkan kedudukan Anwar Ibrahim berbanding pemimpin-pemimpin lain yang lebih kanan.

Apatah lagi, tidak ada istilah PERDANA MENTERI SEMENTARA dalam politik Malaysia meskipun ketika negara ditadbir dan diuruskan oleh MAGERAN pada tahun 1969 dahulu. Jawatan Perdana Menteri adalah konsensus daripada parti-parti atau ahli-ahli Parlimen yang membentuk pakatan atau kelompok majoriti di Dewan Rakyat.

Ada benarnya seperti yang dikatakan oleh page Penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Dah jadi Perdana Menteri, bermakna Perdana Menterilah, tidak ada istilah sementara-sementara lagi. Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah lama tidak relevan selepas REFORMASI dan LANGKAH KAJANG menemui ajalnya. Untuk Anwar Ibrahim kembali meraih cita-cita sebagai Perdana Menteri, hanyalah menerusi apa yang dilakukannya sebelum itu iaitu berjuang memenangi kerusi majoriti di Parlimen.

Masalahnya, PKR tanpa PAS hanyalah sebuah parti kecil. PKR tanpa DAP, hanyalah sebuah parti picisan sehinggakan Setiausaha Agung PKR sendiri pun terpaksa makan gaji dan menerima arahan daripada Lim Guan Eng!!!


Thursday, September 7, 2017

DENGAN SELAMBA SAHAJA, MAHATHIR RAMPAS PKR DARI AZMIN, WAN AZIZAH DAN ANWAR IBRAHIM!!!



Mahathir sudah menawan PKR. Parti yang ditubuhkan kerana membenci Mahathir oleh Wan Azizah, isteri Anwar itu kini sudah berjaya ditawan sepenuhnya oleh Mahathir. Dendam Mahathir terhadap mereka yang menggelarkannya dulu sebagai Mahafiraun dulu, kini sudah terbalas.

Semalam, dalam satu kenyataan, Mahathir yang bercakap atas kapasitinya selaku Pengerusi Pakatan Harapan telah meletakkan titik noktah atas segala apa yang diusahakan oleh Azmin Ali dan juga Anwar Ibrahim.

"Kami akan letakkan tanda noktah untuk (rundingan) itu. Saya harap kita boleh buat begitu," kata Mahathir di program anjuran Pro-Waris, di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 6 September 2017.

Penat penat Azmin berjumpa dengan Hadi Awang dan sanggup bergaduh dengan Rafizi mengenai PAS, tiba tiba Mahathir datang sahaja, terus letak titik noktah atas semua usaha itu. Mahathir gunakan cara diktatornya untuk memerintah pakatan pembangkang sekarang atas nama Pengerusi Pakatan Harapan.

Bukan sahaja Azmin, yang masih dianggap budak sahaja oleh Mahathir, Anwar juga terus diketepikan oleh Mahathir sebegitu sahaja. Mahathir anggap surat dari penjara yang ditulis oleh Anwar sebagai mengundang masalah.

Mahathir dilihat berpihak kepada Rafizi Ramli dan parti PAN. Mahathir cuba yakinkan bahawa pembangkang lebih untung menerima dua ahli baru iaitu PAN dan PPBM berbanding dulu hanya satu iaitu PAS.

Krisis dalaman dan perpecahan dua puak antara “Kartel Azmin” dan “Kartel Ponorogo” kini sudah campai ke puncaknya. Segalanya bermula bila Azmin membuat hubungan sulit dengan “janda” Pakatan Harapan iaitu PAS pada 12 Ogos 2017.

Enam hari kemudian, Azmin buat pula perjumpaan dengan “isteri baru” Pakatan Harapan iaitu parti PAN. Kedua duanya mahu berbincang mengenai agihan kerusi dalam pilihanraya. PAS sudah maklum mahu tanding 60 kerusi dalam PRU14.

Sebab itulah Mahathir kata, kalau PAS masuk, PAN dan PPBM hendak tanding kerusi yang mana? Hanya di Pagoh sahajalah boleh tanding, kata Mahathir. Ini punca besar mereka gaduh. Gila hendak jadi calon.

Tindakan Azmin jumpa Hadi itu membuatkan Rafizi, yang berjawatan Naib Presiden PKR telah menulis “apakah strategi untuk mendampingi PAS secara pragmatis itu wajar tatkala PAS mahu bertanding di semua kerusi pada PRU14”, kata Rafizi dalam satu kenyataan media pada 27 Ogos 2017.

Rafizi dalam kenyataan media itu mengakui bahawa PKR telah berpecah. Di bawah tajuk “Parti Terbahagi Dua” ini secara tidak langsung merujuk kepada tindakan Azmin Ali yang berdamping dengan Hadi Awang dan kemudian berdamping pula dengan Mat Sabu.

Selepas keluarkan kenyataan media ini, kartel Azmin terutamanya Latheefa Koya telah menyerang Rafizi habis habisan. Namun Rafizi dibela oleh Saifuddin Nasuiton dan parti PAN yang dibiayai oleh DAP. Bergaduh berterusan hingga memaksa Anwar menulis surat dari penjara untuk berpihak kepada Azmin.

Bila Anwar dililhat cuba campur tangan dari tirai besi penjara, Mahathir pun mulalah masuk gelanggang. Mahathir berpihak kepada Rafizi, dan anggap surat dari Anwar itu hanyalah mengundang masalah. Tindakan Mahathir ini khabarnya telah membuatkan Anwar begitu bengang sekali semalam.

Hari ini Anwar ke Istana Kehakiman, Putrajaya untuk memberi keterangan mengenai Skandal Forex, kehilangan RM32 billion di zaman Mahathir. Takut Mahathir, bila dapat tahu Anwar sudah bengang. Mahathir pun bergegaslah ke Putrajaya, untuk dengar sendiri apa yang Anwar cakap mengenai RCI Forex.

Azmin juga sudah bengang dengan Mahathir. Azmin sudah “sound” Mahathir bahawa Anwar juga adalah Ketua Umum dalam PKR dan juga dalam Pakatan Harapan. “Saya nak ingatkan Tun Dr Mahathir (Mohamad), Anwar Ibrahim adalah ketua umum kepada Pakatan Harapan. Beliau bukan sekadar ketua umum PKR.” kata Azmin Ali. Apakah Azmin sudah anggap Mahathir sudah nyanyuk dan lupa?

Kenyataan Azmin ini sebenarnya membidas campurtangan Mahathir dalam PKR. Azmin juga tidak mampu lagi mengawal kejadian baling kerusi di tempat depan rumah PKR antara Rafizi dan Latheefa Koya. Namun campur tangan Mahathir dalam menentukan titik noktah mengenai hubungan dengan PAS sudah pasti disokong kuat oleh Rafizi Ramli, Saifuddin Nasuiton dan geng Ponorogo.

Nampaknya geng Ponorogo sudah menang dalam PKR. Mereka sekarang sudah menjajah PKR sepenuhnya bersama dengan Mahathir. Harus diingat, jika masuk dalam mesyuarat Pakatan Harapan pun, geng Ponorogo ini akan menang juga. Ini kerana dalam mesyuarat itu nanti ada abang yang lebih besar iaitu DAP.

DAP sudah tentu akan berpihak kepada geng Ponorogo dan Mahathir. Apa yang kartel Azmin boleh buat? Sebab itulah Azmin tidak berani hadir ke mesyuarat Pakatan Harapan biarpun dirinya dilantik sebagai Naib Presiden Pakatan Harapan. Disebabkan berebut kerusi hendak bertanding PRU14 mereka bergaduh sakan.

Belum apa apa lagi perangai hodoh Pakatan Harapan sudah terpancul. Mereka sedang “baling kerusi” antara satu sama lain kerana berebut hendak jadi calon. Apa pun yang sudah menang dalam perebutan ini sudah pastilah kumpulan yang disokong kuat oleh abang besar dalam pembangkang iaitu DAP.

Jadi, akhirnya Mahathir dengan bantuan Rafizi dan geng Ponorogo sudah menawan PKR sepenuhnya. PKR kini bukan lagi berkiblat Anwar. PKR sudah di bawah telapak kaki Mahathir sepenuhnya hari ini.

Tulisan:
Beruang Biru
BB569, Khamis
7 September 2017


Tuesday, August 29, 2017

PERTELINGKAHAN DALAMAN PKR, ZAHID HAMIDI PULA DISERET SEBAGAI 'PEMBELA' RAFIZI RAMLI!!!



Rafizi Ramli mengakui, individu yang diserang oleh Latheefa Koya secara aktif menerusi media sosial adalah dirinya. Dan lebih menarik lagi ialah apabila Rafizi Ramli mengakui, dia cuba dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Pemangku Timbalan Presiden UMNO, Zahid Hamidi. 

The Star Online melaporkan, Rafizi berkata, tuduhan dan dakwaan kononnya dia telah dibeli oleh Datuk Seri Zahid Hamidi telah dibuat oleh sekumpulan orang di dalam PKR dalam kempen senyap mereka menentangnya. Kononnya, Zahid telah membelinya dan Rafizi bersetuju untuk menjual diri sebagai pertukaran agar tidak dipenjarakan.


Rafizi bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan berkata dia tidak akan menjawab segala tuduhan Latheefa memandangkan "satu dunia telah tahu yang tuduhan-tuduhan tersebut tidak benar."

Latheefa membuat beberapa tuduhan serius yang mendakwa Rafizi berterusan menipu menggunakan angka-angka palsu dan telah menyelewengkan wang derma, membuat janji-janji palsu dan terlibat dalam politik wang untuk membeli sokongan.


Sementara itu, Rafizi telah menamakan Azmin, Tian Chua, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Xavier Jeyakumar, Dr. Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin, R. Sivarasa, Saifuddin Abdullah, Kamaruddin Jaafar dan Fahmi Fadzil antara mereka yang kuat menyokong kerjasama dengan PAS.

Manakala William Leong, Saifuddin Nasution, Nik Nazmi Nik Ahmad, Tan Yew Kew, Syed Ibrahim Syed Noh, Johari Abdul, Sim Tze Tzin dan Fariz Musa adalah mereka yang menentang cadangan untuk menjalinkan kerjasama semula dengan PAS.

Rafizi Ramli yang kerapkali berjaya menenggelamkan PKR dengan sensasi dirinya, dikatakan mengetuai kumpulan kedua PKR yang digelar sebagai 'Geng Ponorogo' iaitu sebuah kumpulan yang cuba mewujudkan pertelingkahan dan masalah dalam PKR. 


Tidak cukup dengan serangan Latheefa Koya, Siti Aishah Shaik Ismail yang merupakan Ketua Srikandi PKR juga menyerang 'Geng Ponorogo' dengan mengkhususkan Rafizi Ramli. Rafizi disifatkan Siti Aishah sebagai pemimpin yang perasan bagus tetapi gagal mengeja namanya dan nama bapanya dengan betul. 

Menerusi tulisan Siti Aishah, 'Geng Ponorogo' telah menfitnahnya sebelum ini. Dia sendiri mahu menuntut isu fitnah tersebut sehingga ke akhirat!

"Kau eja nama aku dengan bapak aku pun salah ada hati nak mengaku kau pemimpin yang bagus. Ingat kau fitnah aku sebab tak pernah tanya terus pada aku atas segala rumusan yang kau buat. Ini kali kedua kau berhutang maruah dengan aku dan keluarga, semoga akhirat kau cari aku."

Pertelingkahan antara fraksi-fraksi dalam PKR, bukanlah satu perkara yang asing. Ironinya, dalam setiap pertelingkahan dan perbalahan mereka, UMNO dan beberapa orang pemimpin utama UMNO akan ditarik sekali. 

Kali ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pula yang dikaitkan dengan Rafizi Ramli. Hujahnya cukup mudah, Rafizi sedang berhadapan dengan masalah undang-undang dan dia sedang berhadapan dengan hukuman penjara. Sebelum ini, Rafizi telah dipersalahkan kerana akibat daripada Langkah Kajangnya telah mempercepatkan hukuman penjara Anwar Ibrahim, sebagaimana yang didakwa oleh Latheefa Koya. 


Justeru, Rafizi menjadi sasaran mudah dan budak jahat yang perlu dihapuskan. Lebih-lebih lagi, Rafizi sebenarnya mempunyai pengikutnya sendiri yang jauh lebih ramai berbanding peminat-peminat dan penyokong-penyokong PKR. Rafizi juga telah menenggelamkan banyak nama-nama lain yang dianggap lebih besar dan lebih berwibawa, bahkan lebih kanan dan lebih senior di bahu Anwar Ibrahim.

'Kehebatan' Rafizi Ramli itu dilihat berlaku kerana adanya bantuan dari pihak lawan. Tumpuan yang diberikan kepada Rafizi dilihat amat keterlaluan sehingga dia dilihat lebih besar daripada PKR apatah lagi pemimpin-pemimpin utama PKR. Rafizi mungkin bukan Setiausaha Agung PKR lagi tetapi perhatian dan kepercayaan para pengikut kepada Rafizi, jauh lebih besar berbanding yang diterima oleh PKR dan saf kepimpinan utama PKR.

Siapa lagi pihak lawan yang lebih besar dan lebih berpengaruh selain daripada pemimpin UMNO. Dan lebih mudah untuk mencetuskan kebencian terhadap pemimpin dalam parti seperti PKR dengan mengaitkan individu tertentu dengan pemimpin-pemimpin besar dari UMNO.

Rafizi mungkin sudah terkena ulah itu setelah sekian lama dia juga sebahagian daripada sistem 'SEMUA SALAH UMNO.'


Tuesday, May 24, 2016

PRK SUNGAI BESAR SEBAGAI DATELINE UNTUK PKR BERPECAH KECUALI TUN DR. MAHATHIR DILANTIK SEBAGAI MURSYIDUL AM PKR!!!!



Satu-satunya alasan, sebab dan punca PKR ditubuhkan di negara ini sebagai sebuah parti politik adalah untuk melawan Tun Dr. Mahathir. Kebencian terhadap Tun Dr. Mahathir sama ada sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO mahupun setelah bergelar mantan, tidak pernah susut dan surut. Dalam apa keadaan sekalipun, nama Tun Dr. Mahathir dan  perbuatannya ke atas Anwar Ibrahim yang hampir menjadi Perdana Menteri dan mengukuhkan empayarnya sendiri menyaingi empayar kroni Mahathir di atas wang rakyat, terus diungkit ulang.

Dan untuk 'menyedapkan' cerita, alasan yang seringkali digunakan adalah untuk memerangi RASUAH dan PENYELEWENGAN KUASA. Alasan yang sama digunakan oleh Tun Dr. Mahathir dalam penentangannya terhadap Najib Abdul Razak sekarang.

Namun di dalam PKR sendiri, bekas-bekas penyokong atau mereka yang pernah bekerja di bawah Mahathir, masih wujud. Golongan tersebut terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai peluang dan ruang di dalam UMNO tetapi sangat laparkan kuasa. Mereka kekal berada di dalam PKR dan mencipta lingkungan kuasa sendiri

Kini, Tun Dr. Mahathir bukan sahaja tidak lagi berkuasa dan tidak berpengaruh selain kekurangan sokongan selepas bukan lagi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, tetapi juga telah mengisytiharkan diri keluar dari parti yang ditubuhkannya di atas puing-puing UMNO Lama yang diharamkan oleh mahkamah pada tahun 1987 dan melancarkan gerakan menggulingkan Najib serta menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional.

Golongan pro-Mahathir di dalam PKR melihat peluang dan ruang buat mereka untuk mendaki kuasa menggunakan Tun Dr. Mahathir biarpun pengaruh bekas Perdana Menteri itu hanya membabitkan para pengkagum serta pentaksubnya sahaja.

Deklarasi Rakyat yang diinisiatifkan oleh Tun Dr. Mahathir dan Lim Kit Siang, telah dijadikan sebagai alasan. Walaupun Lim Kit Siang telah menjauhkan diri daripada Tun Dr. Mahathir kesan daripada penentangan dalaman DAP sendiri, tetapi individu seperti Azmin Ali, terus bergayut di badan Tun Dr. Mahathir.


Azmin Ali bukan calang-calang orang. Dia merupakan antara anggota asal PKR yang bermula dari zaman PKR hanyalah sebuah NGO sebelum diangkat oleh PAS menerusi bekas Presidennya, Allahyarham Fadhil Nor sebagai sebuah parti atas dasar belas kasihan dan simpati kepada keluarga Anwar Ibrahim.

Dengan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ada pengaruh besar. Zaid Ibrahim dan Khalid Ibrahim adalah mangsa kepada kuasa dan pengaruh Azmin Ali. Azmin Ali mempunyai orang-orangnya di dalam semua sektor dalam PKR sekaligus PKR dilihat lebih Azmin Ali berbanding Wan Azizah biarpun isteri Anwar Ibrahim itu adalah Presiden PKR.

Rafizi Ramli adalah si pelahap kuasa dan laparkan perhatian. Kedudukan Azmin Ali di sebelah Tun Dr. Mahathir telah dilihatnya sebagai peluang untuk mengukuhkan kedudukannya walaupun pada masa yang sama, dia beralasankan untuk menyelamatkan pengaruh serta kedudukan Wan Azizah dan Nurul Izzah serta Nurul Nuha dalam PKR.

Seperti yang dituduh oleh Latheefa Koya, Rafizi Ramli dengan sengaja telah mendedahkan surat peribadi lapan muka surat Anwar Ibrahim kepada umum bagi menimbulkan persepsi dan penentangan ke atas Azmin Ali. Tuduhannya tentang amalan rasuah wang serta wanita di dalam PKR,, merupakan salah satu elemen 'Langkah Kajang' yang dikitar semula bagi menimbulkan sentimen dan desakan agar Azmin Ali ditendang dari puncak kuasa.

Berjawatan Setiausaha Agung serta Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebenarnya bermain api apabila dia cuba mengusik kedudukan Azmin Ali. Pro-Azmin Ali kini mulai muncul dan mempertahankan Azmin Ali walaupun mereka tidak berkata apa-apa tentang Tun Dr. Mahathir.

Secara awam, pertentangan antara Kem Azizah dan Kem Azmin Ali kurang publisiti tetapi orang-orang PKR sedar, retak mereka hanya menanti belah. PRK Sungai Besar adalah medannya. Selepas PRK Sungai Besar dan PKR Kuala Kangsar, perpecahan PKR akan menjadi bertambah lebar dan Wan Azizah dilihat tidak berupaya lagi untuk menyelamatkan parti nyamuk itu daripada berpecah.

Kecuali semua pemimpin PKR sepakat untuk menjadikan Tun Dr. Mahathir sebagai pemimpin utama mereka berjawatan Mursyidul Am!!!


Monday, May 16, 2016

KEMBALINYA AZMIN ALI KE PANGKUAN TUN DR. MAHATHIR... PARTI POLITIK BARU?



Semua orang tahu, Azmin Ali memulakan 'dunianya' dengan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah. Dan semua orang pun tahu, Azmin Ali adalah anak angkat Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah yang dididik dari sekolah menengah sehingga ke pejabat Perdana Menteri, sebelum akhirnya dirampas atas alasan dipinjam oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada waktu itu yang disandang oleh Anwar Ibrahim. 

Pada ketika konflik antara Mahathir dan Anwar Ibrahim, Azmin Ali menyebelahi Anwar dan menjadi orang kuat serta kepercayaan utama Anwar Ibrahim. Pada era Reformasi, Azmin Ali kekal menjadi orang kepercayaan Anwar Ibrahim yang menguruskan pelbagai tugasan yang diberikan. 

Akhirnya Azmin Ali berjaya menempatkan dirinya sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, parti yang ditubuhkan apabila Mahathir memenjarakan Anwar Ibrahim atas kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Anwar dan tidak dilindungi oleh Mahathir setelah Anwar berkomplot untuk menggulingkannya pada tahun 1998.

Masa terus berlalu. Meskipun Azmin Ali mempamerkan ketulenannya sebagai pejuang Anwar Ibrahim dan PKR, namun beberapa pihak di dalam PKR sendiri meragui keikhlasan Azmin Ali. Azmin Ali dituduh menjadi perisik atau trojan horse Mahathir untuk menghancurkan sekaligus mengawal para penentang Mahathir.

Seperti tidak masuk akal tetapi sekarang ini, ia menjelma sebagai satu kenyataan. 

Azmin Ali semakin rapat dengan Mahathir. Malah Azmin Ali merupakan antara tenaga penting Deklarasi Rakyat dan gerakan menumbangkan Najib yang kini sudah bertukar menjadi gerakan menumbangkan UMNO-BN.

Sekali imbas, ia seperti satu kemenangan kepada PKR yang telah berjuang bertahun-tahun lamanya untuk membuktikan kekejaman Mahathir dan betapa salahnya, Mahathir memenjarakan Anwar Ibrahim. 

Namun, ternyata ramai pemimpin PKR yang tidak senang dengan pengubahan kiblat Azmin Ali. Azmin Ali dilihat sebagai pengancam utama kewujudan dan perjuangan PKR. 


Anwar Ibrahim dikatakan telah mengeluarkan arahan agar para pemimpin PKR yang lain tidak menyertai Azmin Ali. Wan Azizah dan Nurul Izzah sehingga kini tidak pernah menyertai sebarang perjumpaan atau program bersama-sama dengan Tun Dr. Mahathir. Manakala Rafizi Ramli pula dilihat cuba mengambil kesempatan untuk menghakis pengaruh dan kuasa Azmin Ali apabila tiba-tiba sahaja membuat pusingan U.

Azmin Ali sehingga kini tidak langsung memperlihatkan tanda-tanda untuk meminggirkan diri daripada Tun Dr. Mahathir. Malahan ucapan Tun Dr. Mahathir dalam malam Selamatkan Malaysia yang diadakan di sebuah stadium di Shah Alam, sebaliknya menyokong penuh saranan dan usul Mahathir. 

Apakah PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar bakal menyaksikan sebuah lagi parti politik baru muncul yang kononnya untuk menggabungkan semua penentang Najib Abdul Razak dan menggulingkan UMNO-BN daripada pentadbiran Malaysia?


Thursday, February 12, 2015

PUAK PKR TERLUPA YANG DR.MAHATHIR ADALAH MUSUH UTAMA ANWAR, WAN AZIZAH,NURUL IZZAH DAN KELUARGA MEREKA!!!



Entah idea siapa, entah petunjuk atau laduni mana, atau barangkali terpedaya dengan beberapa kenyataan keras Tun Dr. Mahathir yang mahukan Najib mengikut kaedahnya mentadbir dan menyelesaikan segera persepsi tentang kewangan dan ekonomi negara, puak-puak PKR buat tunjuk perasaan di hadapan Ibu Pejabat PKR Tropicana dengan kain rentang yang mendesak pucuk pimpinan PKR melantik Tun Dr. Mahathir sebagai KETUA UMUM (KETUM) menggantikan TUAN ANWAR IBRAHIM KETUM (TAIK).


Dalam masa yang sama, satu kenyataan menyeru agar ahli-ahli PKR yang anti dengan Azmin Ali, berkumpul di hadapan Ibu Pejabat PKR Tropicana esok untuk penyerahan memorandum kepada pucuk pimpinan.

Mungkin setelah melihat keagresifan Tun Mahathir memarahi dan menegur anak didiknya, PKR berasakan Mahathir akan menyerang dan menjatuhkan Najib Abdul Razak sebagaimana yang dilakukannya pada zaman pentadbiran Abdullah Badawi yang akhirnya menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga buat kali pertama dalam sejarah pilihanraya umum negara pada tahun 2008. Justeru sebahagian daripada penyokong PKR beranggapan, Tun Mahathir akan menyertai PKR dan menggulingkan Barisan Nasional sama seperti tanggapan yang mereka buat pada ketika Tun Mahathir keluar UMNO dan melakukan serangan ke atas Abdullah Badawi yang dasar-dasarnya telah meruntuhkan ekonomi dan kewangan negara.


Najib telah mengambilalih pentadbiran negara pada tahap yang amat 'menyedihkan' dan terpaksa bekerja keras memulihkan semula kerosakan yang telah berlaku dari tahun 2003 sehingga 2009. Beberapa dasar pemulihan yang dibuat oleh Najib, barangkali terlalu berhati-hati dan dilihat mendedahkan negara kepada hutang besar yang akan menjejaskan ekonomi dan kewangan negara.

Ditokok pula dengan tohmahan, fitnah dan hasutan daripada DAP dan PKR sendiri, membuatkan para penyokong PKR tenggelam dalam dunia fantasi mereka sendiri. Justeru apabila Tun Mahathir dilihat senada dengan mereka, mereka segera cuba mengambil kesempatan.

Atau barangkali juga sebenarnya ada WAYANG TINGGI yang sedang dimainkan dalam usaha untuk merosakkan imej Najib Abdul Razak menerusi 'perbalahan' dengan Tun Mahathir. Apatah lagi, Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, seringkali dilabelkan sebagai BUDAK MAHATHIR yang dijadikan TROJAN HORSE untuk merosakkan PKR dari dalam.


Namun berbeza dengan Abdullah Badawi, Najib Abdul Razak tidak menjawab atau memberikan sebarang reaksi langsung negatif kepada sebarang kenyataan Tun Mahathir. Sebaliknya dia cuba melaksanakan tugasannya berdasarkan kemaslahatan rakyat Malaysia pada masa kini, bukan lagi berdasarkan pembangunan dan perintisan pada awal-awal tahun 80-an yang menyaksikan pergelutannya lebih parah. Apatah lagi pada ketika Malaysia sudah berada tinggi, tiba-tiba sahaja strukturnya diruntuhkan menyebabkan kaedah perlaksanaannya berubah sama sekali.

Yang pasti, kaum PKR mahupun yang menyokong Anwar tetapi berada dalam kem pro-Najib, akan cuba menjadikan Mahathir sebagai satu ancaman kepada Najib Abdul Razak.

Cuma yang mereka tidak tahu ialah, Mahathir dan Najib sebenarnya jauh lebih akrab berbanding Azmin-Anwar Ibrahim!!!!




Friday, October 24, 2014

HABISLAH PKR, AZMIN SUDAH RANCANG UNTUK GULINGKAN WAN AZIZAH DAN SAPU BERSIH SEMUA KUMPULAN PRO-ANWAR DALAM PKR!!!


CheguBard dakwa ada bukti ‘permainan kotor’ Azmin Ali melobi diri sendiri untuk menjadi Menteri Besar (MB) Selangor.

Terbaru, ahli PKR yang digantung itu berkata, dia ada bukti akuan bersumpah (SD) lima ADUN Selangor yang menarik balik sokongan kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kelima-lima ADUN tersebut tetapi meminta siapa yang makan cili itu sendiri membuat penjelasan.

“Terbaru saya telah dimaklumkan mengenai lima ADUN (2 DAP, 3 PKR) selepas mengikrarkan sokongan kepada Wan Azizah telah membuat satu SD berbeza.

“Masing-masing menarik sokongan ke atas Wan Azizah dam kononnya taat setia dengan pilihan siapa sahaja oleh Sultan Selangor. Maka muncul persoalan, siapa yang berusaha menyediakan SD yang dilihat seragam format dan ayatnya? Adakah ini termasuk dalam usaha lobi Azmin untuk menjadi MB?,” ujarnya dalam sidang media di sini petang tadi.

CheguBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin mendakwa kenyataannya sebelum ini jelas membuktikan Azmin telah melanggar disiplin parti dengan tidak mematuhi arahan parti yang menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal sebagai MB Selangor.

“Kerana usaha lobinya beliau tidak peduli memalukan Presiden parti sendiri sehingga Datuk Seria Anwar Ibrahim sendiri digelar pengkhianat dan penderhaka.

“Jelas Pas menghantar tiga nama tidak ada nama Azmin dan DAP serta PKR hantar satu nama jelas bukan Azmin. Siapa yang hantar nama Azmin kalau bukan dia melobi diri sendiri?

“Ini bukan pelik kerana selepas PRU 2008 ketika PR setuju satu nama sebagai calon MB, dia (Azmin) menghantar nama sendiri ke Istana melalui Badan Perhubungan PKR Selangor.

“Itulah yang dimaksudkan oleh bekas MB, Tan Sri Khalid Ibrahim, semasa PRU 2008 ada dua nama diberi kepada Sultan Selangor,” katanya.

Jika benar, katanya, istana tidak boleh dipersalahkan kerana yang bersalah ialah PKR kerana mempunyai seorang timbalan presiden yang tidak berdisiplin, tidak mampu bergerak mengikut organisasi dengan mempertahankan keputusan bersama hanya kerana rakus dan tamak dalam mengejar cita-cita peribadi.

Dalam pada itu, CheguBard juga mempersoalkan tindakan Jawatankuasa Disiplin PKR yang didakwa ada dua pertimbangan berbeza melibatkan tindakan kepada ahli.

“Jika PKR mampu deal dengan pemimpin tidak berdisiplin dan tidak ikut arahan parti, mengapa PKR perlu memecat Khalid Ibrahim atas alasan tidak mengikut arahan parti? Adakah PKR ada dua set undang-undang berbeza, satu untuk ahli biasa dan satu untuk mereka yang istimewa?,” soalnya.

Orang kuat NGO, Solidariti Anak Anak Muda Malaysia itu juga mahu ADUN Sri Andalas, Dr. Xavier yang dahulunya menafikan dia menandatangani SD tidak sokong sokong Wan Azizah sehingga mahu keluar parti supaya tampil dengan bukti sokongan.

“Dia (Xavier) menafikannya. Jika ya, buktikan. Balai polis mana? Nombor aduan berapa? Kalau betul SD itu palsu, dia sebagai Naib Presiden PKR sudah tentu perlu tampil menafikannya,” tegasnya.

 
Blogger Templates