Social Icons

Pages

BULETIN 247

Showing posts with label nik abduh. Show all posts
Showing posts with label nik abduh. Show all posts

Thursday, April 13, 2017

NIK ABDUH KATA GEMPAK RAFIZI RAMLI MACAM TAHI AYAM DIKATAKAN TAHI TUAN AYAM!!!



Selepas beberapa jam Rafizi Ramli membuat pendedahan yang konon-kononnya terlampau gempak tetapi akhirnya ternyata  menunjukkan keterdesakannya, dia mula diselar dan digelak-gelakkan. 

Ini adalah kerana Nasharuddin Mat Isa yang didedahkan kononnya sebagai penerima wang anak syarikat 1MDB, SRC International dari akaun peribadi Najib Abdul Razak, bukannya pemimpin PAS. Kononnya Nasharuddin sebagai bekas pemimpin PAS dan rapat dengan kepimpinan PAS, maka Rafizi cuba menimbulkan persepsi kononnya PAS turut menerima sebahagian dairpada dana berkenaan. 

Nampak sangat Rafizi Ramli terdesak untuk mendapatkan pujian daripada DAP dan COMANGO. Kesungguhannya untuk meruntuhkan dan meranapkan PAS kerana RUU355, ternyata menyerlahkan kedangkalannya sendiri. 

Kalaupun Nasharuddin benar menerima dana tersebut seperti yang cuba dibuktikan oleh Rafizi, apa pula kena mengena dengan PAS kerana Nasharuddin hanyalah ahli biasa dan tidak memegang sebarang jawatan dalam PAS semenjak 2011.

Kononnya, sebagai mengukuhkan dakwaannya bagi mengaitkannya dengan PAS, Rafizi kata, sumbernya telah bertemu dengan Dr. Khairuddin At Takiri, salah seorang pimpinan PAS dan mendedahkan perkara itu kepada Khairuddin. 

Malangnya Khairuddin tidak meloncat sebagaimana yang diharapkan oleh Rafizi. Sebaliknya, yang tidak dinyatakan dan tidak Rafizi katakan ialah, rombongan PAS telah bertemu dengan Nasharuddin dan bertanyakan perkara itu berbulan-bulan sebelum Rafizi membuat pendedahan. PAS telah menggunakan kaedah menilai dan mengesahkan maklumat tanpa percaya sepenuhnya kepada apa yang diberitahu kepada mereka. 

Apatah lagi Rafizi sendiri banyak terlibat dengan fitnah. Salah satu fitnah besarnya adalah ke atas Khalid Ibrahim sehingga hilang jawatan Menteri Besar Selangor dan dipecat dari PKR. Begitu juga tuduhan kononnya ada habuan wanita untuk projek yang dikatakan berlaku di Selangor demi mencemarkan nama baik MB Selangor. Belum lagi kes-kes mahkamah di mana Rafizi kalah 5 kali berturut-turut kerana terbukti dia hanya menfitnah. 


Justeru, kata-kata Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Rafizi hanyalah orang yang suka menyelongkar sehingga menjadikan amalan itu sebagai hobi, adalah tepat.

"Betullah kata presiden PAS bahawa (anggota parlimen) Pandan ni tak tahu dosa dan pahala. Suka sangat menyelongkar sampai jadi hobi.

"Tahi ayam pun digempaknya jadi tahi tuan ayam. Memang riuhlah...," katanya melalui kemas kini status di Facebook petang ini.

Untuk rekod, selain pernah menjadi timbalan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasharudin pernah menjadi anggota parlimen Yan tetapi tewas dalam persaingan mengekalkan jawatannya sebagai orang nombor dua PAS kepada Mohamad Sabu pada 2011.

Nik Abduh turut menitipkan nasihat kepada Rafizi.

"Nasihat saya, pandu cermat, jiwa selamat. Tekan minyak, tekan juga brek.." katanya.

Status calon naib presiden PAS pada muktamar parti itu di Alor Setar akhir bulan ini juga membayangkan parti terbabit turut mempunyai banyak maklumat.

Namun, dalam keadaan begitu, kata Nik Abduh, pemimpin PAS berusaha mempraktikkan akhlak mulia bahawa sesuatu yang belum kukuh adalah lebih baik berdiam diri.

"Maka diam adalah senjata disarung dan biarkan ia terlihat.

"Usah gegak mengejar mentari. Sabarkan diri, fajar (akan) menyinsing..." katanya berkias.

Sunday, March 19, 2017

NIK ABDUH KALAH DI PENGKALAN CHEPA SEBAB AKAR UMBI PAS TAK SUKA ATAU SEBENARNYA ISYARAT SUPAYA 'BUKA KAWASAN BARU'?!!!



Kekalahan teruk Nik Abduh dalam perebutan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Pangkalan Chepa di tangan Dr. Izani Husin yang juga merupakan penyandang jawatan tersebut, masih terus diperkatakan. Puak yang paling kuat bertepuk tangan sudah tentulah puak PAN dan Cap Bunga.

Dalam pertandingan tersebut, Nik Abduh hanya memperolehi 37 undi berbanding Dr. Izani Husin yang memperolehi 209 undi.

Nik Abduh adalah Ahli Parlimen Pasir Mas. Pengkalan Chepa merupakan kubu kuat Allahyarham bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan salah satu kubu terkuat PAS Kelantan. Pengkalan Chepa pernah diwakili oleh dua tokoh kanan PAS iaitu Allahyarham Nik Aziz Nik Mat dan Nik Abdullah Arshad yang juga merupakan bapa kepada Nik Amar.

Dr. Izani Hussein pula adalah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Ramai yang melihat pertembungan dalaman PAS sebagai punca penolakan PAS Pangkalan Chepa terhadap Nik Abduh. Dikatakan akar umbi di Pangkalan Chepa menunjukkan sikap bertentangan dengan sikap mesra pucuk pimpinan PAS terhadap UMNO dan Najib Abdul Razak.

Dengan kata lain, orang PAS Pangkalan Chepa tidak berminat untuk 'bermesra' dengan UMNO tetapi masih mahu kekal dengan sikap lama, iaitu bermusuh dengan UMNO dan sentiasa mesra dengan sesiapa sahaja menentang UMNO-BN termasuklah dari kalangan mereka yang pernah dimusuhi oleh PAS seperti Dr. Mahathir.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut agak meleset kerana Yang Dipertua PAS Pangkalan Chepa kekal di tangan Nik Amar Abdullah yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan. Sikap Nik Amar terhadap 'kerjasama' antara PAS-UMNO, telah diketahui, bahkan seringkali dijadikan sebagai bahan oleh Husam Musa dan PAN untuk membuktikan bahawa PAS sedang makan di tangan UMNO.

Kalau tanya kepada orang PAN dan Cap Bunga, kata mereka Nik Abduh telah ditolak. Tetapi kalau ditanya kepada orang PAS, mereka lebih melihat Nik Abduh sebagai tokoh pemimpin muda yang tidak seharusnya bertapak di legasi bapanya sepertimana yang berlaku kepada anak-anak Mahathir, Anwar Ibrahim mahupun anak-anak Lim Kit Siang. Sebaliknya Nik Abduh perlu keluar dari Pengkalan Chepa dan membina legasinya sendiri di kawasan 'baru'.

Tuesday, November 29, 2016

PAN-DAP, CAP BUNGA DAN PKR BERSATU TENAGA, MENFITNAH DAN MENCACI MAKI NIK ABDUH!!!



Nik Abduh yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas, juga Ketua Pemuda PAS Malaysia sememangnya sekarang ini menjadi figur yang amat tidak disenangi oleh puak-puak PAN. Kalau puak PAN tidak suka, bermakna yang bencikan Nik Abduh sebenarnya adalah DAP.

Buka sahaja FB Nik Mohamad Abduh, anda boleh membaca komen-komen kurang ajar yang dibuat ke atas anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu. Ada juga yang membanding-bandingkannya dengan seorang lagi saudara lelakinya yang kata mereka, lebih mirip kepada almarhum ayahanda mereka.

Printscreen twitter di atas dipercayai telah dimodifikasi dan diedit oleh orang tertentu yang bertujuan untuk membangkitkan kemarahan ahli-ahli PAS kepada Nik Abduh. Printscreen tersebut sedang berlegar-legar di WhatsApp dan Telegram pada ketika artikel ini ditulis.


Semuanya kerana Nik Abduh tidak agresif dan melampau sepertimana yang mereka inginkan dan sepertimana yang seringkali dipamerkan oleh pemimpin-pemimpin muda PAS kepada UMNO bermula dari zaman Mahfuz Omar.

Pendekatan Nik Abduh yang lebih menyerupai pendekatan politik Almarhum Prof Dr. Zulkifli Ahmad yang merupakan salah seorang pemimpin Melayu-Islam paling dihormati, bukan sahaja kerana kepetahan ucapan dan syarahannya tetapi kerana buah-buah fikirannya, termasuklah tuntutan agar Kerajaan mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperkasakan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan selain mempertegaskan pengambilan dan pemberian kewarganegaraan kepada masyarakat imigran.

PAS yang kini mengambil pendekatan POLITIK MATANG, menjadi sasaran puak-puak PAN yang masih ada di dalam PAS. Para pemimpin seperti Nik Amar, Ahmad Yaakob, Abdul Hadi Awang, bahkan Nik Abduh sendiri menjadi sasaran serangan dan caci keji.


Nik Abduh bukan sahaja dicaci kerana dia dilihat lebih 'mesra' dengan kepimpinan UMNO, tetapi juga difitnah cuba memesongkan umat Islam dengan menghalalkan 'rasuah 1MDB'. Walaupun penjelasan dan penerangan tentang masalah-masalah yang berkaitan dan diperkatakan tentang 1MDB telah dibuat berkali-kali, tetapi nampaknya golongan yang dilihat lebih kuat menyokong DAP itu, masih tetap percaya, ada rasuah dan penyelewengan yang berlaku, manakala Nik Abduh pula dikatakan tidak memerangi rasuah tersebut.

Sekaligus menjadikan Nik Abduh sama sahaja seperti golongan yang mengagungkan rasuah.

PAN-DAP dan para penyokong mereka, apatah Cap Bunga dan PKR nampaknya semakin mempergiatkan serangan ke atas Nik Abduh apabila mereka menyedari, pengaruh Nik Abduh bukan sahaja bertambah kuat, bahkan dia dilihat menjadi lebih penting dalam arus politik negara.

Nampak jelas bagaimana ketakutan dan kebimbangan mereka, PAS serta UMNO akan bekerjasama, walaupun bukan dalam Barisan Nasional menerusi reaksi dan fitnah yang ditunjukkan.

Tuesday, November 15, 2016

ADA KE PATUT NIK ABDUH KATA, SERAHKAN KAT BNM DAN SC, PADAHAL ORANG NAK SALAHKAN NAJIB ABDUL RAZAK!!!



Satu lagi kenyataan Nik Abduh yang akan menyebabkan dia dihina, dicemuh, bahkan dituduh telah termakan dedak Najib.

Ketika kebanyakan orang yang hanya membaca tajuk berita menyalahkan Najib dan kepimpinan negara ekoran kejatuhan pasaran serta matawang selepas kemenangan Donald Trump sebagai Presiden baru Amerika Syarikat, Nik Abduh pula meminta agar rakyat Malaysia tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Sebaliknya, Ketua Pemuda PAS itu berkata, keyakinan dan kepercayaan penuh perlu diberikan kepada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam menguruskan ketidaktentuan pasaran kewangan. (RUJUK SINI)

Kenyataan Nik Abduh itu sudah tentu tidak disenangi oleh kebanyakan individu yang sentiasa menyalahkan kepimpinan dan pengurusan Najib Abdul Razak termasuklah pasaran tukaran wang dunia selain pasaran saham.

Gabenor Bank Negara telah mengarahkan bank-bank dalam negara untuk mengambil 'langkah-langkah sementara bagi menenangkan pasaran.'

"Situasi ini terhasil daripada keadaan spekulatif... Bank Negara bertanggungjawab untuk campurtangan," kata Muhammad Ibrahim dalam satu sidang media. (RUJUK SINI)

Menggambarkan keadaan matawang Malaysia dalam keadaan tidak stabil selain pasaran saham yang menjunam kerana ketidakpercayaan terhadap Kerajaan Najib Abdul Razak, merupakan intipati yang cuba dilakukan oleh pembangkang di Malaysia.

Ironinya, rakyat Malaysia yang suka menyibuk dan menunjuk pandai dalam serba-serbi keadaan, kurang membaca dan membuat rujukan, melainkan hanya percaya dengan apa yang diperdengarkan kepada mereka dari mulut pemimpin-pemimpin kesayangan mereka, terutama sekali Dr. Mahathir.

Justeru, tidak mustahil, kalau nasihat yang diberikan oleh Nik Abduh kepada Mahathir agar bekas Perdana Menteri itu lebih menumpukan kepada ibadah, membuatkan para pengikutnya kepanasan dan menuduh Nik Abduh muflis ilmu berbanding Mahathir, kenyataannya ini pula sudah pasti akan membuatkan mereka mencari alasan untuk menghina Ketua Pemuda PAS itu.



Monday, November 14, 2016

NASIHAT NIK ABDUH KEPADA MAHATHIR SUPAYA LEBIH DEKAT DENGAN AMAL IBADAH BERBANDING POLITIK, BOLEH BUAT TELINGA BESAR MAHATHIR BERDARAH BERNANAH!!!



Nasihat yang baik tetapi sudah tentu akan membuatkan telinga Mahathir jatuh ke lantai!

Nasihat tersebut diberikan oleh anak lelaki kepada orang yang dianggap musuh Mahathir nombor wahid, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Nik Abduh, Mahathir sepatutnya bertaubat dan meninggalkan bidang politik terus. Bahkan sebaliknya perlu berada di tikar sejadah bukannya masuk politik kembali dan memburu kuasa walaupun kuasa itu untuk dipusakai anak lelakinya, Mukhriz Mahathir. (RUJUK SINI)

"Saya sudah katakan sebelum ini, lebih baik baginya kembali ke tikar sejadah. Adalah lebih baik untuk dia berdoa berbanding terlibat dalam politik," kata Nik Abduh.

Tambahnya lagi, Dr. Mahathir kini menentang perkara-perkara yang dilakukannya semasa menjadi Perdana Menteri. Dia yang menyekat hak royalti kepada Kelantan dan sekarang, Mahathir cuba berlagak sebagai wira yang memperjuangkan hak-hak itu. Dia yang memenjarakan Anwar Ibrahim tetapi sekarang berjuang untuk membebaskan Anwar.

Apa yang dinasihati oleh Nik Abduh itu memang tepat dan betul memandangkan Mahathir kini berubah sepenuhnya dan sudah melupakan apa yang dilakukannya dahulu. Malah lebih pelik lagi ialah apabila dia menyalahkan pengganti-penggantinya bagi setiap kesalahan dan ulah yang dilakukannya termasuklah kehilangan wang negara dalam projek-projek lumayan, selain pembebanan kepada rakyat yang perlu membayar untuk setiap aspek kehidupan kepada kaum kroni dan ahli keluarganya yang memperolehi kontrak-kontrak tersebut.

Seharusnya, para penasihat Mahathir tidak menggunakan orang tua itu untuk terus membuatkan dia dibenci, sebaliknya meletakkan Mahathir sebagai seorang negarawan yang dihormati tanpa dia perlu campurtangan lagi dalam bidang politik dan pentadbiran.

Apatah lagi gaya pentadbiran kini, jauh lebih berbeza berbanding gaya pentadbirannya. Pentadbiran Mahathir hanya untuk kroni manakala rakyat pula diajar untuk berbangga dengan apa yang dilihat, manakala pentadbiran terkini untuk marhein yang memastikan marhein menikmati pembangunan negara sepertimana wujudnya RTC, UTC, Lebuhraya Pan-Borneo tanpa tol dan sebagainya.


Wednesday, October 19, 2016

ORANG MUDA SEPERTI NIK ABDUH PUN TAHU, DEDAK 'ROYALTI MINYAK KELANTAN' MAHATHIR ADALAH SATU PEMBODOHAN!!!


Kelantan hanya akan menikmati royalti minyak selepas Pembangkang mampu menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN)? 

Suatu kenyataan 'jijik' daripada Tun Dr Mahathir Mohamed yang secara tiba-tiba menyentuh soal isu yang telah bermain sejak sekian lama itu. Terbukti Dr Mahathir selaku Pengerusi PPBM telah mula terdesak untuk mengaut sokongan daripada masyarakat majoriti Melayu di negeri 'Che Siti Wan Kembang'. 

Sedarkah Dr Mahathir bahawa di dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan jelas menyebut : "Istilah yang diguna pakai bagi maksud pembayaran tersebut adalah "bayaran tunai" sebanyak 5% dan perkataan "royalti" tidak digunakan dalam mana-mana istilah Akta berkenaan.

Apakah kelayakan kerajaan-kerajaan negeri untuk mendapatkan bayaran tunai 5% seperti yang disebut dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan Negeri tahun 1975/1976? Telaga minyak atau gas mesti berada dalam sempadan negeri iaitu bumi negeri berkenaan serta perairan wilayah negeri iaitu sejauh 3 batu nautika yang diukur dari paras air surut (ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) No.7 Tahun 1969).

Dr Mahathir sebenarnya telah lama akui bahawa negeri Kelantan tidak layak terima royalti minyak berikutan kesemua pelantar minyak dan gas berkenaan berada di luar persisir pantai negeri iaitu pada 5.56 kilometer (3 batu nautika). 

Malah, Dr Mahathir sendiri tidak menyokong usaha berkenaan semasa dia bersama UMNO suatu ketika dahulu kerana dia sedar hal sebenar. Dia sendiri juga turut didakwa terlibat dalam pengstrukturan royalti dan pendaratan minyak semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, sebaliknya beliau hanya buat-buat lupa kerana menyangka orang lain sudah nyanyok dan mudah alpa. 

Juga Dr Mahathir cerdik bermain emosi rakyat negeri berkenaan. Dia tahu, dengan memainkan persepsi royalti ini, ia mampu dengan mudah untuk mengemis simpati rakyat negeri Kelantan. Adakah rakyat Kelantan sudah lupa atau saja buat-buat lupa pekara yang pernah dibawa oleh Anwar Ibrahim ke Parlimen tetapi tidak sempat dibincangkan berikutan kesuntukan masa? 

Anwar Ibrahim pernah membawa usul bagi meminda Akta Kemajuan Petroleum 1974 di Dewan Rakyat dengan tujuan agar royalti diberi kepada negeri Kelantan. Ini bermakna pembangkang sendiri tahu jika Akta Kemajuan Petroleum 1974 tidak dipinda, sampai bila-bila negeri Kelantan tidak berhak mendapat royalti tersebut. 

Pekara utama perlu diketahui oleh rakyat Kelantan adalah, jika layak menerima royalti, Dr Mahathir tidak akan menanam harapan royalti akan diperolehi setelah pembangkang menguasi persekutuan, dia pastinya akan berucap dengan nada lain. 


Tujuan usul itu ke Dewan Rakyat adalah semata-mata mahukan Akta Petronas 1974 dipinda supaya membolehkan royalti dibayar bagi mana-mana penggalian minyak atau gas dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE). 

Siapa yang meminda dan bertanggungjawab mengubal dan meminda Akta Kemajuan Petroleum 1974 hingga menyebabkan negeri Kelantan tidak layak menerima royalti minyak? Siapa lagi jika tidak lain tidak bukan Perdana Menteri yang memegang kuasa selama 22 tahun. 

Dalam isu ini juga rakyat harus baca kembali kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang yang menjelaskan bahawa sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri. 

Takkan sudah lupa, suatu ketika dahulu Tengku Razaleigh Hamzah pernah menjelaskan bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedududkan Wang Ehsan kerana wang berkenaan disalurkan selama ini walaupun atas nama royaliti minyak, bukanlah hak negeri. 

Beliau juga menyatakan semasa Petronas ditubuhkan telah dinyatakan bahawa tiada sebuah negeri pun di Semenanjung berhak ke atas hasil minyak yang dijumpai di kawasan yang berada di luar "wilayah" mereka (rujuk Bernama - 1November, 2000). 

Walaupun rentak dan senario para ahli politik yang memperjuangkan atau terlibat dalam isu royalti minyak ini telah berubah, tetapi kedudukan undang-undang masih tidak berubah. Rakyat dan negara wajib menghormati undang-undang negara. 

Hakikatnya, Dr Mahathir cuba menggaburi mata rakyat negeri Kelantan dengan isu royalti minyak ini kerana dia amat trauma dan takut untuk berbicara soal hukum Hudud di hadapan rakyat negeri berkenaan. Walhal, isu yang lebih aula bagi Kelantan sekarang adalah Hudud dan pemerkasaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang kini dalam proses pindaan.




Tuesday, October 18, 2016

JAWAPAN NIK ABDUH KEPADA HUSAM MUSA, KENAPA SURUHAN AGAR ISTIQOMAH TIDAK DIPATUHI, TAPI BERSIH SURUHAN DAP, DIIMANI!!!



Husam Musa telah cuba menipu dan memperdayakan ahli-ahli PAS agar meramaikan demonstrasi BERSIH 5.0 yang akan berlangsung pada November ini. Ini adalah kerana DAP dan 'agensi-agensi'nya bukan sahaja gagal bahkan menyekat peserta-peserta dari golongan muda Cina untuk menyertai demonstrasi tersebut dengan pelbagai alasan termasuklah keselamatan dan kehadiran Baju Merah.

Kata Husam Musa, Almarhum Nik Abdul Aziz telah menyeru ahli-ahli PAS agar menyertai BERSIH. Dia pula adalah orang yang paling rapat dengan Nik Abdul Aziz walaupun dua tahun sebelum meninggal dunia, Husam Musa sukar untuk menemui bekas Mursyidul Am PAS itu.

Bermodalkan dia adalah 'orang paling rapat' dengan Almarhum Nik Abdul Aziz, Husam Musa cuba memperdayakan ahli-ahli PAS.

Hari ini, salah seorang anak lelaki Almarhum, Nik Mohamad Abduh yang juga Ketua Pemuda PAS menjawab pembohongan Husam Musa.

"Itu arahan parti masa itu. Bukan arahan peribadi Allahyarham. Dia Mursyidul Am yang memutuskan sesuatu atas sifatnya sebagai ketua Majlis Syura Ulamak.
“Kalau nak pakai arahan yang boleh berubah-ubah sifatnya itu daripada orang yang sudah mati, itu perangai penyembah kubur namanya,” jelas Nik Abduh lagi. (BACA DI SINI)

Nik Abduh turut mempersoalkan Husam Musa, mengapa arahan yang bersifat peribadi dan jamaie (parti) yang tidak berubah daripada Almarhum bapanya iaitu agar ahli-ahli PAS istiqomah dengan perjuangan Islam dan tidak menentangnya, tidak dipatuhi oleh Husam Musa. Bahkan Husam Musa pula melebihkan DAP yang jelas menentang Islam dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Islam, termasuklah umat dan undang-undangnya. 

Sebenarnya, Husam Musa juga tidak boleh dipersalahkan. Malah, air liur DAP yang menitik-nitik bagaikan anjing kepanasan dengan lidah terjelir-jelir juga tidak boleh dipersalahkan. 



Perhatikan apa yang berlaku di Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia di Pernu, Telok Mas, Melaka selama 3 hari berturut-turut. Puluhan ribu anak muda tidak berganjak daripada kuliah tafsir Surah Al-Kahfi yang dimulakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Tidakkah jumlah yang hadir itu, sudah cukup untuk menggiurkan. Dan bayangkanlah kalau mereka digerakkan oleh kepimpinan PAS untuk menyertai BERSIH 5.0.

Itulah sebabnya Husam Musa bersungguh-sungguh benar cuba memperdayakan mereka dengan menggunakan nama Almarhum Nik Abdul Aziz. Apatah lagi Nik Abdul Aziz sudah tidak mampu menjawab dari kuburnya!


Monday, September 5, 2016

HUSAM MUSA DIMALUKAN NIK ABDUH APABILA HUSAM MUSA CUBA MALUKAN ALLAHYARHAM NIK ABDUL AZIZ!!!



Husam Musa seperti yang dijangka telah masuk PAN, parti Mat Sabu yang dibiayai dan ditaja oleh DAP setelah semua calon-calon tajaan DAP semasa pemilihan agung parti tersebut, kalah dan tidak terpilih menduduki jawatan-jawatan utama, termasuklah Mat Sabu sendiri. DAP yang memerlukan pengaruh dari kalangan orang Melayu beragama Islam, mencipta PAN setelah PAS mula tidak peduli dengan arahan dan tekanan DAP dalam banyak isu termasuklah isu undang-undang syariah yang difitnah DAP dan para penyokong mereka sebagai Hukum Hudud.

Tidak mengejutkan langsung sebenarnya dengan tindakan Husam Musa, terutama selepas pada penggal terakhir Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar, Husam Musa telah disingkirkan daripada jawatan Exco Kanan dan selepas jawatan Menteri Besar Kelantan diambilalih oleh Ahmad Yaakob, Husam Musa hilang kesemua sekali kecuali sebagai ADUN Salor.

Segala projek-projek meganya, sama ada yang telah dibuat, tetapi kantoi di tengah jalan seperti dinar dan dirham Kelantan, kambing jamnapari, depu dan sebagainya, langsung tidak mendatangkan pendapatan dan keuntungan kepada negeri Kelantan, bahkan menyebabkan hutang Kelantan semakin bertambah tetapi pada masa yang sama, Husam Musa pula semakin kaya.

Manakala projek meganya yang paling terkenal iaitu Lebuhraya Rakyat dan Keretapi Laju KB-KL, tidak lebih sebagai satu angan-angan sahaja dalam usahanya untuk meyakinkan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pada waktu itu adalah Menteri Besar Kelantan agar terus 'menyimpannya' dalam kabinet Kelantan.


Penghujung hayat Allahyarham Nik Abdul Aziz, Husam Musa yang dikatakan anak murid paling kanannya, telah hilang kepercayaan. Nik Abdul Aziz tidak lagi mempedulikan Husam Musa. Husam Musa terus tidak dipedulikan oleh Ahmad Yaakob yang mengambilalih jawatan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bekas YDP PAS Kota Bharu, yang kini merupakan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bercakap besar kononnya, jikalau Husam Musa dipecat dari PAS, hampir separuh ADUN PAS Kelantan akan turut menyeberang parti.

Bagaimanapun, selepas empat bulan Husam Musa dipecat dari PAS, tiada seorang pun ADUN PAS Kelantan yang mengikut jejak Husam Musa. Malah, pengaruh PAN di Kelantan tidak juga berkembang sebagaimana cakap-cakap para pemimpin PAN. PAS tetap tidak ranap dan PAN tidak juga berkembang, sekalipun pada masa yang sama, PAN memperkenalkan seorang lagi sekutu iaitu bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.


Jadi, apabila Husam Musa bercakap besar, kononnya jikalau Allahyarham Nik Abdul Aziz masih lagi hidup, sudah pasti bekas Mursyidul Am PAS itu akan meninggalkan PAS dan bersama-samanya menyertai PAN, ianya satu kenyataan yang amat melucukan, tetapi pada masa yang sama, merupakan satu penghinaan kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz. Sekaligus menggambarkan dendam Husam Musa kepada Nik Abdul Aziz masih lagi tidak terpadam walaupun Nik Abdul Aziz sudah lama meninggal dunia.

Perkara itulah yang disentuh oleh Nik Mohamad Abduh yang tidak senang dengan gelagat Husam Musa yang dilihat menghina Allahyarham bapanya.

Ternyata, kekecewaan dan rasa sakit hati selain dengki, membuatkan orang seperti Husam Musa menggunakan orang yang sudah mati sebagai bahan hujah sama seperti Mahathir menyalahkan Allahyarham Megat Junid dalam usahanya untuk mengelak dia daripada dipersalahkan kerana menyalahgunakan ISA dalam usaha menyelamatkan kedudukan dan jawatannya.


Wednesday, May 25, 2016

NIK ABDUH KATA, TIADA LAGI RUNDINGAN DENGAN PKR, SAM KETOT PULA TETAP BERTEGAS, RUNDINGAN MASIH BERLANGSUNG... MANA SATU YANG BETUL?!!!



Betullah seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Amar yang parti-parti pembangkang sebenarnya hanya mahu mengalahkan PAS agar PAS terus berada di bawah telapak kaki dan menjilat ludah Lim Guan Eng, berbanding mahu mengalahkan Barisan Nasional. 

PAS telah memutuskan bahawa calon-calon dari parti itu akan diletakkan di PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar. Jumaat ini, nama-nama calon akan diumumkan. 

Pada masa yang sama, PKR terus bercakap tentang rundingan dengan PAS untuk kedua-dua PRK tersebut.

Hari ini, dua orang Ahli Parlimen dari PAS dan PKR membuat kenyataan yang berbeza tentang rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi.

Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyatakan PAS telah memutuskan untuk bertanding di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Menurutnya, tiada lagi sebarang perbincangan dengan PKR berhubung perkara tersebut yang mana 'telah berakhir beberapa hari lepas'.

"Pakatan Harapan yang belum lagi membuat sebarang keputusan. Itu urusan mereka," kata Nik Abduh kepada wartawan di luar Dewan Rakyat hari ini. 

Pakatan Harapan mengandungi PKR, Amanah dan DAP. PKR masih mengekalkan kerjasama politik dengan PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor. 

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin atau lebih dikenali sebagai Sam Ketot tetap menegaskan bahawa perbincangan tentang kerusi-kerusi tersebut masih berlangsung, sambil menyebut tentang kenyataan Presiden PKR, Dr. Wan Azizah semalam bahawa perbincangan dengan PAS masih bertersuan. 

"Kami tidak akan mendedahkan hasil daripada rundingan tersebut. Tunggu mesyuaratnya dahulu," kata Ahli Parlimen Bukit Katil itu kepada para wartawan. 

Sebelum ini dilaporkan, Amanah sudah bersedia untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen di bawah jenama Pakatan Harapan, sekalipun PKR juga dikatakan turut mengintai kedua-dua kerusi berkenaan untuk ditandingi. 

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong selepas penyandangnya, Noriah Kasnon dan Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam tragedi helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. 


Wednesday, August 5, 2015

NIK ABDUH KATA, TUN MAHATHIR BUKANNYA BERSIH, TAPI LICIK!!!



Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang ‘licik’ kerana menafikan tuduhan bahawa beliau pernah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya untuk kegunaan pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Dr Mahathir tidak boleh membersihkan nama beliau dengan membuat penafian kerana ketika pentadbiranya politik wang bermula.

“Tun Mahathir tak boleh bersihkan dirinya bahawa beliau tidak pernah guna akaun peribadi untuk wang biaya politik. Itu licik, bukan bersih namanya.

“Pada zamannyalah politik wang bermula dan begitu berleluasa,” tulisnya di akaun Facebooknya.

Tambah Ahli Parlimen Pasir Mas itu, politik wang yang dilakukan Najib ketika ini hanyalah budaya yang dibawa ketika pemerintahan Dr Mahathir, malah perkara tersebut dilihat sukar diubah kecuali kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Najib hanya mewarisi budaya lama yang tak boleh dibaiki lagi kecuali ganti BN. Sebelum BN bungkus, ‘bungkus’ dulu untuk peribadi masing-masing,” katanya. (SUMBER)


Tuesday, May 26, 2015

NIK ABDUH KATA, DIA AKAN JADI ORANG PERTAMA TENTANG PERLAKSANAAN HUDUD KALAU NAJIB NAK LAKSANAKANNYA SEKARANG!!!

Sekiranya kerajaan mahu melaksanakan hudud di Malaysia dalam masa terdekat, Nik Abduh Nik Aziz menjadi orang pertama tidak bersetuju.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu memberitahu, sekiranya secara tiba-tiba Perdana Menteri mahu berbuat demikian, ia bukan masa sesuai.

"Jika di Parlimen, YAB Pekan kata mahu laksanakan hudud di Malaysia pada tahun 2016, saya orang pertama bangun menentang," ujarnya pada Forum Israk Mikraj Menyingkap Keadilan Perundangan Islam di Masjid Al Azim, Pandan Indah malam tadi.

Menurut anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu, PM tidak wajar melaksanakan hudud kerana masih banyak soal maqasid syariah, masalah sosial dan ekonomi umat Islam yang perlu diselesaikan.

"Bagaimanapun, kalau nak laksanakan hudud di Kelantan, iya saya setuju kerana sudah 25 tahun bersedia ke arah perlaksanaan hukum hudud. Sepanjang pentadbiran Tok Guru (Nik Aziz) Kelantan sudah buat banyak persediaan dan beri Kelantan peluang melaksanakannya kerana ia amanah daripada rakyat kepada Kelantan walaupun ketika demokrasi cacat sekali pun," ujarnya.

Menurutnya, Kelantan sudah banyak kali mencuba membentangkan enakmen syariah tetapi gagal tetapi kali ini Dewan Undangan Negeri meluluskannya.

Jadi, katanya, beri peluang kepada Kelantan melaksanakannya.

"Ini tidak, kecoh macam Malaysia hendak melaksanakan hudud. Hudud ni di Kelantan sahaja kerana kami sudah bersedia," katanya sambil menekankan selain kefahaman tentang agama perlaksanaan hukum Allah juga memerlukan kuasa pemerintahan untuk berbuat demikian.

Menurut Nik Abduh, sekiranya alasan Kelantan negeri miskin, masalah kemiskinan tidak akan selesai sepenuhnya hanya kerana mahu melaksanakan hudud. Sepanjang pentadbiran Kelantan, negeri itu telah banyak membuat perubahan bersesuaian dengan Islam seperti menggunakan bank Islam bagi urusan kewangan negeri dan ia akhirnya ditiru oleh Putrajaya.

"Kelantan laksana cuti dua hari seminggu, dulu kata orang Kelantan malas sekarang tiru malah Malaysia sekarang paling banyak cuti," ujarnya lagi.--MalaysiaGazette

Sumber:


 
Blogger Templates