Restoran mamak kekal kebal dan tersangat kebal sehinggakan langsung tidak boleh disentuh!
Presiden KIMMA, Senator Syed Ibrahim Kader telah memuatnaikkan rasa tidak puas hatinya dengan kenyataan Ku Nan itu menerusi Facebook rasmi KIMMA. Ibrahim Abdul Kader menafikan bahawa restoran-restoran mamak menaikkan harga atau 'profiteering' secara berleluasa kesan daripada penarikan kembali subsidi oleh kerajaan. Sebaliknya Ibrahim Abdul Kader tersinggung apabila Ku Nan menyatakan, dia rasa seperti mahu menghempuk gelas itu kepada mamak kedai.
Menghalusi video ucapan Ku Nan, tiada salahnya untuk dia menegur dengan keras tentang pengusaha-pengusaha restoran mamak yang berkali-kali menyatakan mereka tidak akan menaikkan harga walaupun sebenarnya, harga telah lama ditinggikan oleh mereka.
Justeru, apabila contoh diberikan, iaitu apabila kerajaan menarik balik subsidi gula RM0.20 sekilo, tidak munasabah pengusaha restoran mamak menaikkan harga teh tarik atau apa juga bentuk minuman sehingga RM0.20 segelas. Bukankah dengan kenaikan kos RM0.20 bagi setiap gelas, memberikan keuntungan berpuluh kali ganda kepada pengusaha-pengusaha restoran mamak?
Seharusnya KIMMA dan PRESMA melihat dan menerima teguran Ku Nan secara positif dan mencari kaedah menang-menang dalam usaha membendung kenaikan harga barang. Rakyat bukannya bodoh. Rakyat juga memerhatikan dan walaupun kedai mamak mungkin ramai pengunjung, tetapi pada masa yang sama, rakyat juga sentiasa memerhatikan harga yang dicaj kepada mereka.








