Selepas ditegur oleh Perdana Menteri, akhirnya Menteri Komunikasi, Shabery Cheek yang selama ini telah melepaskan 'baton' kepada Ahmad Maslan pun mengeluarkan kenyataan. Tetapi kenyataan yang dikeluarkannya pula, nampaknya bakal menjadi api yang membakar punggung dan telapak kakinya. Kononnya kenyataan itu dibuat berdasarkan kajiselidik.
Free Malaysia Today melaporkan, Shabery Cheek mempertahankan GST pada kad pra-bayar telefon bagi mengelakkan kerajaan kehilangan lebih RM800 juta setahun sekiranya GST tidak dikenakan pada kad pra-bayar telefon. Katanya lagi, dua pertiga daripada pengguna telefon pra-bayar adalah warga asing, kebanyakannya dari Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.
Barangkali Shabery Cheek telah tersalah diberi laporan atau barangkali juga dia tersalah membaca. Hakikat bahawa HAMPIR KESEMUA REMAJA (bawah 21 tahun) di negara ini menggunakan telefon pra-bayar boleh jadi tidak dimasukkan ke dalam kajiselidik tersebut. Boleh jadi juga orang atau pasukan yang membuat kajiselidik itu hanya berkajiselidik di dalam pejabat atau mengambil data-data pasca bayar dari syarikat-syarikat telekomunikasi.
Dengan gelagat agensi serta golongan yang tidak berkredibiliti berlumba-lumba menjadi jurucakap dan media madness, keadaan ini bertambah buruk sehinggakan banyak keputusan kerajaan dilihat sangat FLIP-FLOP sehingga sudah wujud tanggapan bahawa Kerajaan Najib Abdul Razak tidak mampu membuat satu ketetapan dan keputusan tegas dalam menangani pelbagai masalah yang membabitkan kepentingan rakyat.
Nampak sangat Shabery Cheek terburu-buru dalam membuat kesimpulan mudah seperti itu selepas 'ditegur' oleh Perdana Menteri. Kenyataan tersebut langsung tidak mencerminkan hakikat yang sedang berlaku!


