Pihak yang ingin mengenakan Najib Abdul Razak dengan pembunuhan Altantuya Shiiribu dengan sengaja telah memutarbelitkan dan memberikan interpretasi bertentangan daripada kenyataan sebenar Musa Hasan. Mereka menyatakan yang Musa Hasan telah meminta keizinan dan kebenaran daripada Najib yang pada ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri untuk menangkap Abdul Razak Baginda, orang yang mempunyai hubungan asmara dengan model dari Mongolia tersebut.
Menurut Musa Hasan, dia telah diminta oleh Perdana Menteri pada waktu itu, Abdullah Badawi untuk menyampaikan kepada Najib tentang penangkapan tersebut, bukannya bertanya sama ada Abdul Razak boleh ditangkap atau sebaliknya.
Selepas dimaklumkan, Najib berkata kepada Musa, Musa perlu menjalankan tugasnya. Bukannya dia diberikan 'lampu hijau' oleh Najib untuk penangkapan tersebut.
Ketua Polis Negara tidak memerlukan sebarang 'lampu hijau' daripada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri!
Musa Hasan sekadar memaklumkan kepada Najib memandangkan Razak Baginda adalah rakan Najib.
Sudah bertahun-tahun Musa Hasan menegaskan bahawa PDRM tidak mempunyai dan menemui sebarang bukti kaitan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya. Malahan Abdullah Badawi juga telah mengesahkan hasil siasatan PDRM.
Bagaimanapun, golongan yang sudah sebati dengan fitnah Tian Chua dan Anwar Ibrahim, bahkan sekarang ini, kumpulan yang digelarkan sebagai Pro-Tun terus mengulangi fitnah tersebut, bertujuan untuk memaksa rakyat percaya kepada fitnah mereka.
Bekas Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels berkata, penipuan yang berulang-ulang, akhirnya akan dianggap sebagai satu kebenaran.
Lebih menarik lagi, Tun Dr. Mahathir menggesa Najib agar menyaman Al-Jazeera sekiranya laporan keterkaitan Najib dengan pembunuhan Altantuya, adalah fitnah semata-mata. Pengaruh besar Mahathir yang masih ada, telah digunakan untuk tujuan berkenaan.
Sebab itulah, Tun Mahathir yang suatu ketika dahulu, cukup terkenal dengan 'permusuhannya' dengan media-media Barat, sekarang ini sudah berubah sikap. Apa-apa sahaja yang dilontarkan oleh media-media Barat berkenaan keburukan dan kelemahan Najib, akan digunakan sebagai hujah terbaharunya untuk menyingkirkan Najib Abdul Razak.