Putrajaya akan mula 'memburu' The Edge kerana menerbitkan apa yang disifatkan sebagai berita palsu berkenaan 1MDB dan usahama antara 1MDB dengan PetroSaudi International, kata Menteri KDN, Zahid Hamidi.
Menurut Zahid, pihak berkuasa akan mula menyiasat akhbar tersebut ekoran penangkapan bekas eksekutif PetroSaudi yang menjadi sumber kepada pembocoran dokumen tentang usahasama 1MDB-PetroSaudi bernilai USD1.2 bilion (RM4.5 bilion) yang telah digantung ekoran wujudnya penyelewenganwang berjumlah ratusan juta ringgit.
Zahid
berkata demikian selepas menerima laporan tentang penangkapan Xavier Justo dari pihak berkuasa Thailand dan analisa forensik ke atas data-data 'yang telah dibocorkan'. Pihak berkuasa Malaysia membuat kesimpulan bahawa dokumen-dokumen tersebut telah ditokok tambah dan dipindah dengan motif untuk membatalkan atau mewujudkan imej buruk usahasama antara 1MDB dengan PetroSaudi.
"Kami mendapati, dari aspek forensik, data-data tersebut telah dimuat turun oleh bekas eksekutif itu dengan niat jahat iaitu memesongkan fakta tentang transaksi antara 1MDB dan PetroSaudi. Data-data
berkenaan kemudiannya disiarkan oleh Sarawak Report
dan The Edge.
"Dan memandangkan kami bertanggungjawab untuk memantau sebarang penerbitan yang memperolehi permit (dari KDN), jadi kami rasakan, mereka perlu memikul sepenuhnya tanggungjawab untuk berhadapan dengan sebarang tindakan sekiranya mereka didapati dengan sengaja menerbitkan artikel-artikel yang fakta-faktanya telah diselewengkan dengan niat jahat," kata Zahid dalam sebuah sidang media.
Zahid turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat dan bertindak ke atas Sarawak Report, sebuah laman sesawang whistelblower yang telah menerbitkan koresponden e-mel yang didakwa antara 1MDB dan PetroSaudi.
Xavier Justo, seorang warganegara Switzerland telah ditangkap leh Polis Thailand pada Isnin.
Laporan oleh New Straits Times semalam menyatakan Justo telah didakwa cuba memeras dan mengugut 2.5 juta Swiss Franc (lebih kurang RM10 juta) daripada PetroSaudi berhubung penyebaran beberapa dokumen yang disifatkan sebagai sulit.
Akhbar harian itu turut melaporkan, dokumen-dokumen tersebut telah dipinda dan ditokok tambah. Kebanyakan daripada dokumen-dokumen yang dibocorkan telah diterbitkan oleh Sarawak Report. Namun pada 7 Jun, sebuah blog annonymous menerbitkan semula dokumen-dokumen berkenaan untuk menunjukkan yang urusniaga bernilai USD1.2 bilion antara 1MDB dan PetroSaudi adalah sah dan mengikut undang-undang.
Semalam juga, Zahid memberitahu Putrajaya akan membenarkan ekstradisi mana-mana rakyat Malaysia yang didapati menggunakan data yang telah dipinda dan ditokok tambah itu seandainya diminta oleh pihak berkuasa Thailand.
"Seandaiya mereka mahukan ekstradisi, kami akan memberikan kerjasama dalam usaha membantu pihak berkuasa Thailand melengkapkan siasatan."
Menteri Dalam Negeri itu juga mendedahkan bahawa polis Malaysia telah pun memulakan siasatan mereka berhubung perkara berkenaan.
Di dalam Bangkok Post semalam, pegawai polis Thailand dipetik sebagai berkata, PetroSaudi telah membayar wang berjumlah lebih kurang RM15.5 juta untuk Justo meninggalkan syarikat tersebut selepas dia didapati 'berkelakuan menentang peraturan dan undang-undang syarikat'.
Ekoran penangkapannya, PetroSaudi mengeluarkan satu kenyataan semalam menyatakan kelegaan dan mendakwa mereka adalah mangsa jenayah yang telah dipolitikkan di Malaysia.