Namun saranan CUEPACS kepada kerajaan agar menaikkan had umur persaraan wajib dari 60 tahun kepada 65 tahun, bukan sahaja dicemuh dan diperlekehkan bahkan dianggap sebagai satu perkara lucu yang bukan sahaja tidak membantu perkhidmatan awam, malah mewujudkan lompang tenaga kerja yang sangat besar.
Pada ketika demografi penduduk mula berubah kepada bentuk piramid, CUEPACS dilihat seperti tidak memahami aspirasi dan suasana dunia khususnya di Malaysia pada hari ini.
Peningkatan usia tersebut akan menyebabkan peluang anak-anak muda untuk berkhidmat di dalam perkhidmatan awam dna membawa idea-idea yang lebih segar akan terhalang. Golongan yang sepatutnya sudah bersara dan bermain dengan anak cucu itu juga akan menyekat kenaikan pangkat di kalangan pegawai-pegawai muda sekaligus akan menyebabkan ketidakseimbangan apabila jumlah pesara setiap tahun akan berkurangan, manakala jumlah graduan dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi akan meningkat.
Seandainya cadangan CUEPACS itu diterima oleh kerajaan, negara ini akan kerugian tenaga muda sedangkan sebuah negara yang sedang cuba untuk menjadi progresif maju, memerlukan sebuah perkhidmatan awam yang mempunyai tenaga-tenaga kerja baru dengan idea-idea yang lebih segar, bukannya tenaga-tenaga kerja yang semakin layu!
Antara keluhan yang kerap didengar, berapa ramai lagi anak muda yang masih mengganggur menunggu untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Perkhidmatan awam di Malaysia dilihat sebagai lesen besar untuk hidup terjamin apatah lagi pada zaman Najib Abdul Razak selaku Perdana Menteri, kakitangan awam tidak sahaja menikmati gaji yang lebih tinggi, bahkan manfaat yang mereka perolehi juga, jauh lebih besar berbanding pada zaman Mahathir.
Malah apabila diperkatakan tentang 'PELUANG PEKERJAAN' yang seringkali dimaksudkan adalah peluang pekerjaan di sektor awam!
Seringkali masalah yang melanda golongan muda apabila memohon pekerjaan adalah pertanyaan tentang pengalaman kerja. Dengan hutang yang perlu dibayar, akhirnya graduan-graduan berkenaan terpaksa bekerja 'biasa-biasa' sahaja untuk mendapatkan pengalaman sambil mengintai-ngintai peluang bekerja di sektor awam menunggu kekosongan. Maka wujudlah persepsi bahawa Kerajaan tidak memerlukan golongan muda. Rasa tidak puas hati, akan menukarkan persepsi kepada penentangan.
Dengan penggunaan media sosial yang tidak terbatas dan maklumat di hujung jari, senario pada hari ini yang kita dapat lihat dengan mata sendiri itulah yang terhasil. Dan parti-parti politik berlumba-lumba mahukan perhatian daripada golongan muda yang berasakan mereka terpinggir dan dianaktirikan oleh kerajaan sendiri dengan memainkan isu peluang pekerjaan dan pelbagai isu salah laku lain yang sebahagian besarnya sengaja diada-adakan untuk sensasi politik, sepertimana yang sering dilakukan oleh Rafizi Ramli.
Dari usia 50 tahun, kemudian naik 55 tahun. Kemudian naik lagi ke-60 tahun, dan sekarang saranannya adalah 65 tahun, mengapa CUEPACS tidak minta terus usia persaraan wajib adalah 100 tahun bagi setiap seorang kakitangan awam?
Mungkin ada benarnya seperti cadangan Ketua Briged Kesatria Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga merupakan salah seorang Exco Pemuda, Armand Azha Hj Abu Hanifah, CUEPACS sendiri perlulah berubah dengan meletakkan orang muda di dalam CUEPACS untuk idea-idea baru dan penambahbaikan bagi warga kerja di seluruh negara, bukannya golongan tua yang sudah semakin 'burn out' iaitu pekerja yang mencecah usia 50 tahun ke atas, tidak ramai lagi yang masih ada passion tetapi bekerja hanya untuk gaji!
Sebabnya mudah, CUEPACS tidak pernah memperlihatkan idea-idea baru selain daripada idea-idea orang tua yang tidak habis-habis menuntut bonus, kenaikan gaji serta kenaikan had umur persaraan!!!