Social Icons

Pages

BULETIN 247

Sunday, May 10, 2015

UMNO PERLU TAMPIL MEMBERIKAN JAWAPAN SEGERA KEPADA SEMUA PERMASALAHAN YANG DITIMBULKAN - MUHYIDDIN YASSIN!!!



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

UMNO menyambut ulangtahun yang ke-69 pada tahun ini. Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana amanah kepimpinan yang dianugerahkan kepada UMNO telah dapat kita laksanakan dengan sebaik mungkin sehinggakan kita berjaya membela bangsa, memartabatkan agama dan memajukan negara Malaysia yang tercinta. Kita juga telah berjaya mewujudkan keharmonian kaum dan memelihara kestabilan negara dengan bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan rakan-rakan parti komponen di dalam Barisan Nasional.

Namun, sebagaimana yang kita tahu, kedudukan UMNO pada hari ini tidaklah sekukuh dahulu. Selain gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum ke-12 dan ke-13, UMNO juga sedang menghadapi masalah persepsi yang kian gawat.

Tidak dinafikan orang Melayu masih meletakkan harapan yang tinggi terhadap UMNO untuk membela nasib mereka. Namun saya bimbang jika isu-isu yang melingkari parti kita tidak dapat dijawab dengan baik untuk terus meyakinkan rakyat tentang keikhlasan perjuangan UMNO, maka rakyat akan menolak UMNO dalam pilihanraya dan kita terpaksa melepaskan amanah kepimpinan yang digalas selama ini. Na'uzubillahi min zalik.

Sesungguhnya, survival UMNO bergantung kepada sejauhmana rakyat melihat UMNO sebagai parti yang boleh dipercayai. Maka, adalah menjadi kewajipan kita sebagai ahli UMNO untuk kembali membangkitkan dhamir UMNO sebagai sebuah parti yang dipercayai oleh rakyat. Kita perlu sentiasa bermuhasabah, memperbaiki segala kelemahan dan bertindak memperbetulkan keadaan sebelum terlambat.

Rakyat sedang memerhati tindakan dan pendirian UMNO dalam beberapa isu utama. Dalam isu hubungan kaum dan perpaduan nasional misalnya, rakyat sedang melihat ke mana arah tuju UMNO? Adakah UMNO akan terus menjadi sebuah parti Melayu dan Islam yang moderat, sederhana dan progresif atau berubah menjadi sebuah parti perkauman yang rasis dan ektstrem?

Saya ingin menegaskan bahawa UMNO tidak boleh terjebak di dalam polemik perkauman dan agama yang ekstrem sehingga meruntuhkan asas-asas negara Malaysia yang telah dibina oleh pemimpin kita yang terdahulu dan termaktub di dalam Perlembagaan.

Saya akui memang wujud pelbagai asakan dan provokasi yang ingin melihat UMNO terjerumus ke dalam jerangkap rasisme dan ekstremisme. Tetapi kita perlu istiqamah. Pendirian UMNO selama ini yang seimbang, moderat dan sederhana dalam mengurus hubungan kaum dan agama perlu dipertahankan. Kita bukan sebuah parti Melayu yang rasis. Kita juga bukan sebuah parti Islam yang jumud dan ekstrem.

Sebaliknya, UMNO adalah sebuah parti rahmatan lil’alamin. Sebuah parti Melayu dan Islam yang membawa rahmat dan manfaat untuk semua. UMNO membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam, tetapi pada masa yang sama memelihara kepentingan yang sah bagi kaum-kaum lain dan menghormati kebebasan mereka untuk mengamalkan agama masing-masing. Saya percaya selagimana kita berada di atas landasan perjuangan yang seimbang ini, maka kita akan berjaya mengekalkan perpaduan nasional dan parti kita UMNO akan terus dihormati dan dipercayai oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

UMNO juga perlu menampilkan jawapan yang segera kepada segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Antaranya ialah tekanan kos sara hidup yang kian meningkat. Kita akui bahawa kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang sebahagian besarnya berada di luar kawalan kerajaan. Namun, sebagai kerajaan yang prihatin pelbagai dasar dan program dilaksanakan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat. Saya percaya masih banyak yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah beban kos sara hidup dan UMNO perlu menjuarai isu ini.

Rakyat juga semakin mementingkan soal ketelusan dan tadbirurus yang baik. Kewujudan sebuah kerajaan yang telus dengan tadbirurus yang baik menjadi keutamaan rakyat dalam membuat pilihan politik. Maka, sebarang isu yang melibatkan soal ketelusan dan tadbirurus perlu dipandang berat dan jika terdapat masalah ianya perlu diselesaikan dengan segera. Ini termasuk isu 1MDB yang tidak boleh dibiarkan berlarutan. Setiap dakwaan mengenai penyelewengan dalam urusan 1MDB perlu segera disiasat secara bebas, telus dan adil dan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. Imej UMNO tidak boleh terpalit dengan isu 1MDB.

Amanah menjadi satu nilai penting yang menjadi teras kepercayaan rakyat kepada parti dan kerajaan. Jika pemimpin UMNO dilihat amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepimpinan, bersih daripada sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan, maka saya yakin rakyat akan memberi sokongan padu kepada UMNO. Sebaliknya, jika pemimpin dilihat tidak amanah, maka rakyat akan menolak parti kita.

Sebagai ahli UMNO yang sayangkan parti, kita perlu sentiasa mengutamakan perjuangan parti. Perkukuhkan perpaduan, elakkan perpecahan dan hindari sebarang tindakan yang boleh melemahkan parti kita. Teruskan beristiqamah dalam menjulang panji-panji perjuangan parti. Kewajipan kita yang paling utama ialah memperkukuhkan kedudukan UMNO untuk menghadapi pilihanraya umum ke-14 yang pastinya lebih mencabar.

Akhirnya, saya mendoakan semoga UMNO terus diberikan kekuatan dan inayah oleh Allah s.w.t. untuk meneruskan perjuangan suci membela agama, bangsa dan negara. Kepada seluruh ahli UMNO, saya mengucapkan selamat menyambut ulangtahun UMNO ke-69.

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO


TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden Umno

10 Mei 2015


5 comments:

Anonymous said...

Mulakan dgn para pemimpin Umno dulu, baru dikuti oleh yang lain.Lagi satu jangan menangguk diair keruh dan amalkan perumpamaan 'hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah"

Anonymous said...

Isu besar yg juga harus dikaji ialah percaturan PAS di P.Pauh. umno telah masuki jerangkap samar pas yg dilihat lebih berkesan. Pas sebenarnya buaya dalam kolam ikan..
Sambil menyelam sambil minum.umno mudah tertipu dengan strategi PR..

Anonymous said...

Tapi Najib lebih kemaruk jawatan, kemaruk kepada kuasa berbanding nak menyelamatkan parti, Najib lebih sibuk mengejar nak mengekalkan kuasa dan pangkat, hal parti boleh tolak ke tepi.

Sebab itulah Najib sanggup kata tak kisah kapal dah patah layar pun, dia tetap nak nak belayar juga, akhirnya kapal pun karam, semua dalam kapal pun boleh mati lemas atau hanyut ke tengah lautan, ada rezeki, selamat nyawa, nasib kurang baik, mungkin mati lemas tengah laut, kerana nakhoda tamak dan gila kuasa.

Anonymous said...

setiap pm ada perancangannya sendiri,dan cara pentadbirannya sendiri .disini tak timbul soal Najib tamak kuasa atau tidak

dulu dia dilantik Mahathir dan dapat jawatan pm atas usaha bersama mahathir dan sebahagian besar pimpinan Umno tapi selepas pru 13,Najib dapat jadi pm atas batang tubuh nya sendiri dan bukan lagi atas ehsan Mahathir.

sapapun tak suka dipaksa-paksakan?..sama juga dgn anom 10:32.

Lagipun apa yang kalut sangat akan BN kalah...masih ada masa dan berilah ruang dan masa untuk Najib selesaikan tugas sama macam kami beri ruang dan peluang tuk mahathir jadi pm 22 tahun .Tak gitu!!

janganlah beri peluru kepada musuh kalau takut kalah...addioss!!!!

Anonymous said...

Jangan merepeklah. Tak nampakkah lagi masaalah yng melanda dalam Negara sekarang. Gaji pekerja macam dapat duit kupang tembaga. Ibarat kais pagi makan pagi......
Pihak atasan masih nak tidur lagi ke. GST punya pasal harga barang naik mendadak. Sudah barang harga tinggi...tambah pila dengan GST 6 %.
Tak payah dok bodek kerajaan lagi lol ooi.....Rakyat dah nyawa ikan dah ni.

 
Blogger Templates