Di kalangan orang UMNO, terutama sekali di Kedah dan Langkawi nama Cikgu Man Pen (Allahyarham) bukanlah nama yang sangat asing. Lebih dikenali sebagai seorang pujangga berbanding orang politik, Allahyarham sebenarnya banyak menurunkan ilmu kepada ramai penulis dengan caranya yang bersahaja dan penuh jenaka.
Penulis sendiri masih ingat dalam satu pertemuan antara Allahyarham CIkgu Man Pen dan Allahyarham Ustaz Azizi Hj. Abdullah di pejabat penulis di Bangsar. Kedua-duanya dari Kedah. Cikgu Man dari Langkawi dan Ustaz Azizi dari Bukit Meriam. Seorang UMNO dan seorang lagi PAS. Mereka bertekak dalam jenaka. Mereka bergurau dalam sengketa ideologi. Tetapi mereka bersahabat dan sama-sama menghadap kerja masing-masing secara satu hati.
Mula naik ke pentas utama Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1986, Allahyarham menjadi perhatian kerana ucapannya yang penuh seloka dan bergurindam tetapi pedas menusuk. Mungkin bait-bait madahnya kedengaran lawak dan menghiburkan, tetapi dia memperkatakan perkara sebenar. Perkara yang menjadi buah mulut akar umbi, rakyat jelata.
Namun sejauh manakah para pemimpin dan menteri-menteri Malaysia mengambil kira denyut nadi rakyat berbanding kehendak dan tekanan daripada taukeh-taukeh besar yang membantu mereka dengan dana politik?
Walaupun Cikgu Man sudah meninggal dunia, tetapi ingatan yang diberikannya kepada menteri dan para pemimpin UMNO, kekal sebagai bahan jenaka bagi puak-puak berkenaan.
Tengok sahajalah reaksi mereka... mereka ketawa terbahak-bahak sedangkan sepatutnya mereka tunduk menekurkan muka ke lantai kerana telah dimalukan. Mereka tidak mempunyai perasaan malu kerana bagi mereka, akar umbi dan rakyat tidak lebih tahu berbanding mereka.
No comments:
Post a Comment