Social Icons

Pages

BULETIN 247

Thursday, November 26, 2015

KERAJAAN PERUNTUKKAN RM600 UNTUK BEKALAN MAKANAN DAN KEPERLUAN DAPUR, KONTRAKTOR SAPU PULA!!!



Penduduk kaum Penan yang terjejas projek mega pembinaan Empangan Hidroelektrik Murum kesal dan tidak berpuas hati dengan tindakan kontraktor dilantik yang disifat tidak amanah kerana menyedia bekalan makanan dan keperluan dapur tidak menepati nilai RM600 diperuntuk kerajaan kepada mereka.

Penduduk kampung memberitahu, selain nilai makanan dan keperluan dapur tidak menyamai jumlah RM600 itu, lebih teruk lagi, bekalan makanan adakalanya hampir buruk dan berbau serta sudah luput tarikhnya.

Bantuan makanan dan keperluan dapur bernilai RM600 itu ditambah wang tunai RM250, menjadikan jumlahnya RM850, merupakan bantuan yang dijanji kerajaan negeri, sebagai pendapatan sokongan sementara Pendapatan Sokongan Sementara selama lima tahun kepada penduduk terjejas, yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Ia diberi secara bulanan sejak mulai berpindah ke kawasan penempatan semula disedia iaitu di Tegulang dan Metalun.

Seramai 335 keluarga Penan dan 18 keluarga Kenyah Badeng terjejas akibat projek pembinaan empangan hidroelektrik dipindahkan ke situ.


“Pada awalnya kami menjangka dan berharap bantuan diberi secara tunai RM850, tetapi selepas kami berpindah sebaliknya duit berjumlah RM600 diberi dalam bentuk barangan makanan dan keperluan dapur termasuk beras, telur, daging ayam beku, makanan dalam tin dan sebagainya, hanya RM250 sahaja diberi tunai,” kata wakil penduduk Gereng Jadung.

Beliau ditemani dua penduduk kampung, Tejok Surek dan Polbu Jadung terpaksa turun ke sini, bagi mewakili penduduk lain untuk bertemu dengan penasihat Penan Murum yang juga seorang peguam, Abun Sui bagi membantu menyelesaikannya selepas beberapa aduan dan suara mereka sebelum ini tidak ‘didengar’ oleh pihak terbabit.

“Hanya pada awal pelaksanaan iaitu beberapa bulan pertama sahaja kami menerima barang makanan dan keperluan dalam keadaan baik dan memuaskan namun lama-kelamaan, barangan semakin kurang dan tidak padan dengan nilai RM600, bawang sudah busuk, ikan bilis pula berbau dan makanan dalam tin ada yang sudah luput tarikh dan sebagainya.

“Apabila kami meminta resit pembelian sebagai bukti atau cuba mengira jumlah nilai barangan dihantar, kami pula ditengking dan dimarahi. Nilai dan wang RM600 itu milik kami bukan pihak kontraktor,” katanya.

Justeru, katanya penduduk kampung dan ketua kaum daripada lima kampung yang dipindahkan ke penempatan semula itu sebulat suara bersetuju agar khidmat kontraktor terbabit dihenti.

Menurutnya, biarlah nilai antuan RM600 itu diberi secara tunai sebagai tambahan kepada RM250.

“Biar kami mengurus sendiri wang kami dan membeli makanan lebih baik untuk keluarga berbanding ia diurus orang lain atau pihak ketiga,” katanya.

Gereng menjelaskan, senarai barangan dihantar kepada penerima tidak sama nilai harga RM600 dan adakala tidak sampai separuh nilai tersebut.

Selain nilai jauh kurang daripada RM600, Gereng berkata semua penduduk tidak tahu siapakah yang dilantik kerajaan untuk memegang wang bantuan tersebut.

“Malah penduduk juga mahu tahu bagaimana kos pengangkutan membawa barangan tersebut kepada kami?

“Adakah ia ditanggung oleh kami dan dipotong daripada bantuan RM600 itu atau ditanggung kerajaan mahupun SEB, jika ia ditolak daripada bantuan tersebut maka lebih baik kami menerimanya dalam bentuk tunai,” jelasnya.

Katanya penduduk sudah bosan dipermainkan dan melihat sahaja bantuan diberi kepada mereka dibelanja sewenang-wenangnya oleh pihak lain.

Sementara itu, pada sidang media semalam, Abun Sui mahu kerajaan menyelesaikan isu itu dengan segera kerana ia boleh menjejaskan masyarakat Penan dan Kenyah yang bergantung sepenuhnya kepada bantuan setelah hilang tanah, tempat berburu dan kampung halaman, ekoran pembinaan Empangan Murum.

“Mereka mengalami banyak kerugian ekoran pihak kontraktor tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab diberikan kerajaan dan jika dibiarkan berlarutan, semakin banyak mereka kerugian pada setiap bulan,” tambahnya.

Mengenai dakwaan Gereng bahawa cop rasmi milik ketua kaum yang mungkin telah disalahgunakan bagi mengesahkan penerimaan bekalan makanan mereka yang diagih oleh kontraktor, Abun berkata beliau akan menyiasat perkara tersebut dan mahu pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan tegas.-Utusan Borneo


No comments:

 
Blogger Templates