Tiga hari lepas, satu tragedi telah meragut nyawa lima sekeluarga di Air Terjun Belukar Bukit, meninggalkan satu-satunya zuriat keluarga tersebut yang berusia 8 tahun.
Dan pendedahan oleh media pun menunjukkan bagaimana pihak berkuasa, khususnya Majlis Daerah menjaga kawasan rekreasi tersebut dengan bersungguh-sungguh sehinggakan kawasan berkenaan menjadi seperti syurga pembuangan sampah.
Punyalah hebat pihak berkenaan bekerja sehinggakan kawasan rekreasi yang dipilih sebagai antara lokasi pelancongan oleh Kerajaan Negeri sempena Tahun Melawat Terengganu 2017, begitu tidak terurus dan terbiar.
Berita Harian melaporkan, tiga kiosk perniagaan yang dibina di kawasan itu terbiar tanpa dimanfaatkan peniaga. Kemudahan awam seperti tandas, tempat berteduh dan wakaf yang disediakan juga dalam keadaan kotor, selain timbunan sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung tidak dibersihkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi tiga hari lepas, pemilik syarikat kejuruteraan, Mohd Halim Safian, 44, dan isteri, Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, 39, bersama tiga anak perempuan mereka lemas selepas mandi di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Bagaimanapun, seorang anak pasangan itu, Mohd Hasif, 8, yang berada di daratan ketika kejadian terselamat.
Bagaimanapun, semalam keadaan di sekitar kawasan rekreasi tersebut sudah berubah. Berubah bukan kerana kepentingannya sebagai lokasi pelancongan tetapi kerana kehadiran Menteri Besar Terengganu untuk melawat lokasi kejadian bersama-sama rombongannya.
Barangkali kalau Menteri Besar Terengganu tidak melawat, tragedi ngeri itu berlaku, Lata Belukar Bukit tidak ubah sebagai hutan belukar, sama seperti Mimaland yang pernah popular pada sekitar 1970-an di Hulu Gombak, Selangor dahulu.
Kalau setakat Menteri Besar sahaja yang berfungsi, mengapa pula agaknya ada Majlis Daerah Hulu Terengganu dan para petugas di PBT tersebut? Apa sudah berlaku kepada YDP Majlis, Ahli-Ahli Majlis, pegawai-pegawai bertali leher yang boleh mengeluarkan dan membuat arahan atau mereka yang mencadangkan agar Belukar Bukit dijadikan lokasi pelancongan dengan keadaan tidak terurus?
Atau semuanya sekadar bekerja mencari gaji hujung bulan, dan apabila mengetahui Menteri Besar nak melawat, barulah masing-masing sibuk mencari cangkul, parang penebas, pungkis, penyapu dan tukul?
No comments:
Post a Comment