Barangkali Muhyiddin baru sedar dari tidur dan baru tahu tentang kewujudan PAS.
Sesuatu yang Muhyiddin terlupa tentang PAS ialah, zaman pentadbiran Mahathir merupakan zaman kemuncak PAS membuat pelbagai pendedahan tentang penipuan, penjarahan, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa membabitkan pentadbiran Mahathir.
Dasar Penswastaan Negara merupakan buah yang seringkali digunakan oleh para pemimpin PAS untuk menerangkan kepada orang Melayu khususnya di kampung-kampung bagaimana pentadbiran Mahathir pada masa panjang akan menyusahkan rakyat. Begitu juga dengan pelbagai projek mega yang tidak selayaknya untuk rakyat tetapi hanya bertujuan untuk mengembongkan tembolok taukeh-taukeh korporat yang diwujudkan oleh Mahathir.
Antara yang paling menarik ialah pada tahun 1985 apabila para pemimpin PAS mengecam pembinaan Lebuhraya Utara Selatan. Media-media yang dikuasai oleh Kerajaan Mahathir pada waktu itu memberikan gambaran kononnya PAS menentang kemajuan dan kebaikan yang diperolehi daripada pembinaan lebuhraya tersebut. Hakikatnya, PAS yang dipimpin oleh Almarhum Fadzhil Nor pada waktu itu menentang pemberian konsesi dan kontrak lumayan kepada syarikat kroni walaupun sebahagian besar lebuhraya tersebut telah dibina oleh JKR dengan persetujuan Parlimen dengan menggunakan wang rakyat.
Tahun-tahun 80-an menyaksikan PAS berjaya menarik sejumlah besar golongan teknorat dan profesional yang tidak mampu melihat sahaja kegelojohan Mahathir, kaum keluarga serta kroni-kroninya membalun serta melahap harta negara termasuklah melupuskan tanah-tanah rezab Melayu atas nama pembangunan dan kemajuan.
Mujurlah pada waktu itu, Mahathir menguasai segala cabang media manakala undang-undang membabitkan penerbitan dan media dikawal sepenuhnya dan tiada sebarang tolak ansur. PAS yang hanya menggunakan ceramah, kaset rakaman, pita video dan Harakah selain buku-buku serta majalah yang tertakluk di bawah undang-undang kuku besi KDN, tidak mampu menyaingi kawalan media Mahathir. Apatah lagi, dalam beberapa episod menyaksikan kaset-kaset dan pita-pita video ceramah turut disekat dan 'diharamkan' atas alasan keselamatan.
Disebabkan itulah, PAS sangat keras terhadap Mahathir. Dan kerana Mahathir adalah Presiden UMNO, maka UMNO jugalah terpalit keras. Namun apabila Najib mengambilalih kepimpinan negara, sikap Najib yang jauh lebih lembut dan lebih terbuka kepada PAS, membuatkan PAS lebih lunak dan tidak lagi menunjukkan penentangan sepertimana yang berlaku pada tahun-tahun 1980-an.
Kenyataan terbaharu Mahathir bahawa Muhyiddin hanya berkeupayaan sebagai Presiden Cap Bunga tetapi tidak berkeupayaan sebagai Perdana Menteri sekiranya Gabungan Cap Bunga-DAP-PKR-PAN menang pada PRU-14 nanti, sudah menunjukkan jalan kepada Muhyiddin ke pangkuan siapa seharusnya dia mendarat.
Walaupun dia mungkin seorang pengikut Mahathir yang setia selepas Mahathir 'menyelamatkan' Muhyiddin apabila Johor tidak dapat menerimanya sebagai Menteri Besar lagi, tetapi yang pasti, Muhyiddin bukanlah anak lelaki Mahathir. Muhyiddin tidak ada talam atau dulang emas untuk dia berdiri. Dia tidak ditatang bersama-sama tepak sirih atau sirih junjung. Dia hanyalah seorang pembawa bunga emas.
Dan tidak lebih dari itu.
Kesilapan besar Muhyiddin ialah apabila dia memilih untuk mempercayai Mahathir dan terlalu fobia dengan PAS. Seharusnya, dari awal lagi, setelah Muhyiddin memilih untuk menentang Najib, dan yakin segala pengetahuannya boleh menumbangkan Najib, Muhyiddin cepat-cepat ke kem PAS dan berbaiah dengan Abdul Hadi Awang serta Majlis Syura PAS.
Dan kalaulah itu yang dilakukan oleh Muhyiddin dari awal, Mahathir tidak akan flip-flop seperti yang dilihat sekarang hanya semata-mata 'segan' nak cakap, anaknya lebih layak menerajui Parti Cap Bunga.
Besar sangat masalah Nika Gee sampaikan Muhyiddin gagal mentafsir langkah politiknya sendiri.
No comments:
Post a Comment