Social Icons

Pages

BULETIN 247

Tuesday, June 6, 2017

KENAPA DR. MAHATHIR SIBUK NAK JADI PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMULA?!!!



(KOMENTAR MUKA SURAT 11 BERITA HARIAN, SELASA, 6 JUN 2017)

Setelah berulangkali menafikan beliau mahu berkuasa kembali, 1 Jun lalu Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyebut beliau bersedia menimbang untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya ia dicadangkan dan dipersetujui oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Kesediaan beliau menimbang untuk menjadi Perdana Menteri semula ini kemungkinan besar berpunca daripada empat faktor.

Faktor pertama adalah kerana beliau sejak awal lagi tidak dapat menerima Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai calon Perdana Menteri.

Paling tinggi Mahathir boleh menerima Anwar adalah setakat berusaha membebaskan beliau seperti dengan memakai lencana “Free Anwar Now” (Bebaskan Anwar Sekarang) atau menandatangani petisyen pembebasan Anwar sahaja.

Untuk Mahathir menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri adalah sesuatu yang tidak mungkin, dan ini terpahat di dalam penegasan pada memoir beliau yang tidak pernah ditarik kembali, iaitu bahawa memecat Anwar pada 1998 adalah tindakan tepat dan bukan satu kesilapan.

Sebab itulah bila pemimpin dan penyokong PKR mengangkat Plakad ‘Anwar PM Ke-7’ di Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 pada 21 Mei, Mahathir tidak mengangkatnya.

Sebab itulah juga bila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengumumkan, pada 24 Mei, dapatan kaji selidik Invoke Malaysia bahawa 23.5% daripada respondennya bersetuju agar Anwar menjadi Perdana Menteri jika PH menang, Mahathir menyifatkannya sebagai "syok sendiri".

Bersekali dengan penolakan Mahathir terhadap Anwar ini adalah penolakan beliau terhadap isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang terbukti di dalam tindakan beliau mempersoalkan cadangan awal Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, untuk melantik Wan Azizah ke jawatan itu.

Faktor kedua adalah kerana kegagalan beliau mencari seorang calon Perdana Menteri yang sedia dikawal dan boleh mengikut telunjuk beliau bagi memastikan kepentingan beliau terjaga, termasuk bagi mengelakkan mengelakkan kemungkinan beliau berhadapan dengan masalah ekoran tindakan lampau beliau, jika PH memerintah.

Kemungkinan beliau berhadapan dengan masalah ini adalah nyata jika dilihat kepada sikap negatif sekumpulan pemimpin dan penyokong PKR terhadap Mahathir, termasuk tindakan merujukkan beliau sebagai ‘maha firaun’ dan ‘maha zalim’ di dalam Himpunan Anti-GST pada 2 April 2016 serta tindakan mengherdik dan menolak gesaan untuk melupakan sengketa lama di dalam Konvensyen Reformis Malaysia pada 25 Februari.

Perlu diingat, Mahathir sendiri pernah, pada 21 September 2016, menyatakan, jika PH menang, calon Perdana Menteri ialah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bila Mahathir bersedia menimbang untuk menjadi Perdana Menteri semula, ini bermakna Muhyiddin sama ada sudah tidak lagi diyakini untuk menjaga kepentingan beliau atau sudah tidak lagi diyakini untuk diterima oleh pemimpin PH lain.

Dakwaan kewujudan perpuakan yang sengit dalam PPBM, yang membawa kepada tindakan keluar parti secara beramai-ramai oleh sebilangan pemimpin dan ahli PPBM, menjadi indikasi ketidakyakinan Mahathir terhadap Muhyiddin ini.

Faktor ketiga adalah kemungkinan Mahathir dapat membaca arus perubahan di dalam parti paling berkuasa di dalam PH, iaitu DAP, sehubungan dengan isu calon Perdana Menteri ini.

Tidak seperti sebelum ini, bila isu calon Perdana Menteri timbul semula, pemimpin DAP tidak lagi kelihatan komited menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi terhadap Anwar.

Ahli baru DAP yang rapat dengan Lim Kit Siang, iaitu Datuk Zaid Ibrahim, mula-mula menyatakan sokongan terhadap Mahathir, dan beliau disokong oleh Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran.

Portal berita Malaysiakini, yang diketahui pro DAP, pula mengeluarkan, pada 25 Mei, hasil kaji selidiknya bahawa 69.9% daripada respondennya bersetuju agar Mahathir menjadi Perdana Menteri jika PH menang.

Selepas Mahathir menyatakan kesediaan menimbang untuk menjadi Perdana Menteri semula pun, Lim Kit Siang, pada 3 Jun, sekadar menyebut ini akan diserahkan kepada pimpinan PH untuk diputuskan, selain memuji pemerintahan Mahathir pada hari sama.

Ini sekali gus menjadikan kebenaran penegasan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, pada 2 Jun mengenai kewujudan konsensus sejak dari awal pembentukan PH bahawa Anwar adalah calon Perdana Menteri boleh dipersoalkan.

Faktor keempat ada hubungan dengan sifat superiority complex Mahathir yang memandang rendah orang lain dan melihat hanya beliau yang mempunyai kecerdikan, kepakaran dan pengalaman untuk membuat yang terbaik bagi Malaysia.

Sifat superiority complex Mahathir ini, yang menampakkan hasrat beliau mahupun parti beliau untuk mendominasi PH, boleh menimbulkan masalah besar kepada PH yang proses pembuatan keputusannya didasarkan kepada prinsip konsensus.

Telah digariskan di dalam Perjanjian PH bahawa perjalanan kerajaan atau pentadbiran PH di setiap peringkat adalah tertakluk kepada Dasar Bersama PH dan pentadbiran Kerajaan PH akan diketuai oleh seorang ketua yang dipilih berasaskan prinsip konsensus.

Bila PKR berkeras mahukan Anwar dan PPBM berkeras mahukan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, sudah tentulah yang akan berkuasa untuk memberikan kata pemutus mengenainya nanti adalah DAP, di samping pengikut setianya, AMANAH.

Di sinilah kebijaksanaan pemimpin DAP berpolitik, seperti yang diakui sendiri oleh Lim Kit Siang di dalam wawancara beliau dengan seorang penuntut sarjana, iaitu menggunakan satu parti rakan untuk memastikan satu lagi parti rakan lain dapat dikawal.

Tepat tulisan Pengarang Bersekutu Berita Harian, Kadir Dikoh, 4 Jun lalu, "DAP dengan jangkaan jumlah kerusi terbanyak dalam PH mungkin penentu siapa dan jawatan apa dalam Kabinet PH", itu pun hanya jika Kabinet PH berjaya dibentuk.

Apa yang jelas ialah PH hanya indah khabar dari rupa. Buktinya, Perjanjian PH pada 9 Januari 2016 menceritakan mengenai “keputusan bersama”, “pembinaan kesatuan politik” dan “penyelesaian pertikaian” tetapi hingga kini pertikaian terbuka terus berpanjangan.

Dr Kamarul Zaman Yusoff


1 comment:

Anonymous said...

Madey tak boleh jdi pm semula sbb banyak rekod buruk yg dibuat semasa berkuasa dulu.

 
Blogger Templates