Pertemuan antara Syed Saddiq dengan Hamizura Osman telah berlangsung semalam di Cafe Hotel Hilton. Matlamatnya adalah untuk mendamaikan antara Datuk Hamidah Osman, bekas Naib Presiden PPBM yang telah mengisytiharkan diri keluar parti dengan Ketua ARMADA PPBM, Syed Saddiq.
Hamidah bagaimanapun, enggan bertemu Saddiq memandangkan Ketua ARMADA itu masih enggan memohon maaf, apatah lagi proses untuk menyaman Syed Saddiq masih ingin diteruskan.
Sesuatu yang menarik, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Hamizura Osman, adik Hamidah, dalam pertemuan tersebut, Syed Saddiq telah mengakui, dia sebenarnya telah mendengar maklumat yang salah dari sebelah pihak.
Sekaligus membenarkan cakap-cakap sebelum ini bahawa di dalam parti yang diterajui oleh Mahathir tetapi dipresidenkan oleh Muhyiddin Yassin itu, wujud percanggahan dan perbalahan dalaman yang amat teruk.
Menurut Hamizura, dalam pertemuan tersebut, Syed Saddiq mengakui dia salah faham dan hanya mendengar cerita dari satu pihak ketika berlakunya kemelut PPBM di Perak. Sekaligus tuduhan konon kakaknya adalah parasit UMNO dalam PPBM adalah tuduhan rambang yang dibuat oleh satu pihak yang tidak senang dengan kehadiran Hamidah di dalam parti tersebut.
Kenyataan yang dibuat oleh beberapa portal berita pro-DAP seperti Malaysiakini yang mengatakan Saddiq dan Hamidah telah berdamai, dinafikan oleh Hamizura. Bahkan Datuk Hamidah dalam kenyataannya, menyatakan, cerita antara dia dengan Saddiq masih jauh dari selesai. Malah proses menyaman Saddiq kerana menfitnahnya menerima rasuah dari UMNO juga tetap diteruskan. Apatah lagi, Saddiq sendiri enggan memohon maaf kepada Hamidah dan Hamizura setelah menfitnah dan membuat tohmahan ke atas mereka.
Penafian yang dibuat oleh Hamizura, kemudiannya menarik perhatian para penyokong PPBM. Beberapa pihak secara terang-terangan mendesak agar Saddiq yang mengakui dia hanya mendengar fitnah dan kemudian memanjangkannya agar dipecat dari parti. Manakala beberapa pihak pula mempersoalkan pertemuan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada parti, sebaliknya memberi kredit kepada orang lain memandangkan Hamidah dan Hamizura telah dilabelkan sebagai 'SAMPAH' oleh Dr. Mahathir.
Barangkali sedar, pertemuan yang diatur oleh seorang ahli PKR yang rapat dengan Hamizura-Hamidah serta pernah terlibat dalam pembohongan tandatangan Deklarasi Rakyat suatu ketika dahulu, hanya memalukannya, Syed Saddiq kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan.
Katanya, sepatutnya pertemuan itu hanya melibatkan tiga orang tanpa wakil-wakil media. Perbincangan itu juga sepatutnya diadakan secara tertutup. Dan apabila Hamizura menggunakan rujuan kepada Majlis Presiden/MPT, menurutnya, sukar untuk dia berbincang secara terbuka kerana dia terikat dan tidak boleh mendedahkan apa yang berlaku dalam MPT.
Saddiq kemudiannya menyalahkan pengaturan media di lokasi. Dek kerana kehadiran wakil-wakil media itu, perbincangan mereka tidak berjalan lancar.
Walaupun pada peringkat persetujuan, tiada terma 'tiada wakil media' namun setelah pengaturan pertemuan tersebut nyata sebenarnya bertujuan untuk memperlekehkannya, Syed Saddiq terpaksa menyalahkan media. Alasan klise bagi seorang ahli politik amatur!
Biarpun portal pro-DAP berusaha untuk membuktikan pertemuan tersebut berjaya, hakikatnya portal pro-DAP itu juga mendedahkan sesuatu iaitu, pertembungan, pergaduhan dan perpecahan dalam PPBM antara kem Mahathir dengan kem Mahyuddin kerana politik cas-keting.
1 comment:
Ppbm tak layak nak perintah negara. Belum apa2 dah bercakaran sama sendiri.
Post a Comment