Sudah menjadi rahsia umum Selangor mempunyai Menteri Besar yang kaki taichi terutama yang melibatkan isu integriti dan dakwaan salah laku.
Kenyataan YB Shuhaimi, SU Politik MB langsung tidak menjawab isu pokok yakni mengapa kerajaan negeri berusaha menyelamatkan-bailout pemaju yang curang kepada peneroka, pembeli rumah dan kerajaan negeri?
Sebaliknya beliau lebih kepada membuat serangan peribadi terhadap YB TS Khalid ( TSKI ) malah terhadap saya sendiri. Di sambut pula oleh sekawan kartel yang kini turut merasai bahang dan kepanasan dengan isu yang dibangkitkan.
Nampaknya dengan pendedahan oleh TSKI, ramai pemimpin Pakatan terutamanya PKR telah mula mengulangi tohmahan fitnah yang mereka guna pada Langkah Kajang 2014 dahulu. Justeru, adalah perlu bagi saya mengeluarkan kenyataan ini demi memberi penerangan kepada mereka yang kurang mengetahui apa yang berlaku sebelum, ketika dan selepas Langkah Kajang.
Malah ia juga bagi mengingatkan pemimpin Pakatan khusus PKR jangan ulangi dosa-dosa yang kamu buat dahulu sehinggakan memaksa pemimpin tertinggi kamu melutut di mahkamah memohon kemaafan.
Ketika kempen menjatuhkan TSKI pimpinan PKR telah menjaja setebal 91 mukasurat dokumen fitnah yang kononnya TSKI adalah seorang yang korup, zalim, tidak boleh dipercayaui, tidak bersikat telus, tidak jujur tidak beretika, tidak amanah, tidak berintegriti, telah terlibat melakukan rasuah dan salah laku termasuk dalam kes penyelesaian hutang peribadi dengan Bank Islam dan tidak layak menjadi MB.
Dokumen tersebut disebarluas dan dijaja ke seluruh Selangor dengan ceramah-ceramah perdana, di padang, di Dewan malah di hotel-hotel yang turut dihadiri Pimpinan tertinggi PKR tidak kecuali Presiden mereka yang mahu dijaja sebagai calon Menteri Besar baharu bagi menggantikan TSKI.
Kegiatan fitnah ini mereka lakukan tanpa ada rasa bersalah mahupun menghormati kesucian bulan Ramadhan.
Tindakan kedua yang diambil TSKI ialah membuat tindakan saman fitnah terhadap PKR dan Setiausaha Agung PKR. Pada masa tersebut saya berasa hairan mengapa TSKI tidak turut menamakan Presiden dan Ketua UMum di dalam saman tersebut kerana pastinya mereka juga merestui tindakan fitnah jahat yang dilakukan PKR.
Setahun selepas Langkah Kajang dan Pakatan berjaya menurunkan TSKI secara jahat jijik dan tidak bermoral, TSKI telah memenangi Saman malu terhadap PKR dan SU Agungnya dan menyaksikan SU Agung PKR membacakan permohonan maaf tanpa syarat di mahkamah terbuka dengan mengakui bahawa setiap dakwaan terhadap TSKI adalah tidak benar dan berniat memfitnah bagi menjatuhkan nama baik TSKI.
SU Agung PKR telah membacakan kenyataan berikut;
“Bagi pihak PKR dan secara peribadi kami melahirkan rasa amat kesal dan dengan ikhlas dan sucihati serta TANPA SYARAT memohon maaf kepada TSKI. Bagi pihak PKR dan secara
peribadi, kami juga memberi akujanji kpd TSKI dan mahkamah yang mulia ini bahawa kenyataan tersebut tidak seharusnya dikatakan dan kami akan memberhentikan daripada menyatakan dan tidak akan mengulangi kandungan dan tuduhan dalam dokumen tersebut dan apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan dokumen tersebut.”
TSKI menerima permohonan maaf mereka dengan hati terbuka tulus dan ikhlas. Malah demi menghormati semangat Aidil Fitri dan jalinan silaturrahim maka TSKI bukan sahaja menerima permohonan maaf dan penyataan sumpah untuk “bertaubat” mereka tetapi TSKI turut memohon maaf zahir batin kepada seluruh ahli PKR.
Secara peribadi saya kesal dengan tindakan TSKI menerima permohonan maaf dan taubat mereka kerana saya sedikitpun tidak mempercayai tindakan mereka dilakukan secara ikhlas dan suci hati. Namun apakan daya empunya badan berhati mulia dan mahu “move on” dari isu yang memalukan tersebut.
Seperti dijangka dan tanpa perlu menunggu lama, tidak sampai satu jam selepas meminta maaf, pimpinan tertinggi PKR yang diketuai YB Rafizi Ramli terus sahaja memutarbelit kes mahkamah tersebut kononnya TSKI bukan menang kes saman fitnah tetapi kes telah diselesaikan dengan kedua-dua pihak memohon maaf.
Tiada perkataan yang sesuai bagi menggambarkan tindakan mereka ketika itu; dayus, hina, hipokrit tahap dewa.
Penilaian saya terhadap mereka ternyata sangat tepat apabila hari ini mereka mengulangi fitnah-fitnah tersebut tanpa rasa berdosa semata-mata mahu menutup kecurangan mereka terhadap rakyat Selangor yang kini sangat menjolok mata.
Gagal menjawab isu yang di ketengahkan, mereka dengan tanpa rasa malu mengulangi kata-kata fitnah yang suatu ketika dulu, bukan sahaja SU Agung, bekas SU Agong malah Presiden dan Ketua Umum mereka “merangkak” dari Penjara Sungai Buluh ke mahkamah meminta maaf. Mana maruah kamu?
Bagaimana rakyat mahu memberi kepercayaan kepada kamu dan meletakkan nasib untung kehidupan rakyat jika sifat hipokrit kamu sehebat ini. Kepada PKR, jangan menegak benang yang basah, pengkhianatan pemimpian kamu di Selangor tidak boleh lagi ditutup dengan kain yang koyak.
Faekah Husin,
Pegawai Khas kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,
No comments:
Post a Comment