Seperti biasalah, setiap kali timbul isu peniaga menipu pengguna yang dihebahkan oleh media, maka muncullah cerita-cerita puji diri sendiri bagi mengelakkan mereka dimalukan kerana pincang, gagal memikul amanah dan gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
Kenyataan seperti 'KPDNKK BERJAYA SELESAIKAN 70 ADUAN' (
RUJUK SINI) sebenarnya tidak memberikan sebarang impak kepada orang ramai. Bahkan ramai pula yang mencebik bibir memandangkan lebih banyak kes tidak diambil peduli atau diabaikan berbanding yang telah diselesaikan.
Kes melibatkan penipuan di Kompleks Kota Raya, membabitkan pengurungan, pemerasan dan pemerdayaan serta pencatutan, bukan sahaja telah mengecohkan seluruh Malaysia pada ketika insiden di Low Yat Plaza masih lagi hangat, bahkan mendedahkan bagaimana lemahnya penguatkuasaan.
Malah lebih memalukan ialah apabila perlaksanaan undang-undang pula menjadikan, mangsa sebagai sasaran, manakala yang melakukan penipuan, pemerasan, pengurungan secara haram dan pemerdayaan, dilihat bebas dan tidak tertakluk kepada undang-undang.
Sudah ada yang tidak berpuas hati, mengambil jalan singkat dengan menjadikannya sebagai satu isu perkauman yang amat sensitif dengan pihak berkuasa menjadi sasaran kemarahan kerana kegagalan keadilan.
Berbanding dengan berita tentang penangkapan mangsa yang telah ditipu oleh peniaga di Kota Raya oleh pihak polis, malah ada yang dilokapkan atas tuduhan melakukan ugutan, termasuklah penangkapan dan perlokapan seorang ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang bersemuka dengan peniaga penipu untuk mendapatkan semula wang yang telah ditipu daripada pengguna, berita tentang tindakan undang-undang ke atas peniaga penipu, nampaknya langsung tidak ada.
Mana peniaga-peniaga penipu tersebut? Di mana mereka dilokapkan? Di mana mereka ditahan? Apakah perbuatan mereka berjaya dihilangkan kerana mereka terlebih dahulu membuat laporan polis berbanding mangsa-mangsa mereka?
Malah, mereka 'hilang' tanpa dapat dikesan dengan premis mereka telah pun bertukar milik kepada syarikat baru.
Netizen menyuarakan ketidakpuasan berhubung penguatkuasaan undang-undang yang diamalkan apabila membabitkan pengguna.
Apakah undang-undang di negara ini memberikan kebebasan kepada satu pihak semata-mata walaupun yang menjadi punca adalah mereka? Mengapa dalam hal ini, mereka tidak dikenakan tindakan yang serupa walaupun mereka yang membuat laporan polis terlebih dahulu?
PPIM seharusnya dipuji kerana telah berani menggalas tanggungjawab dan amanah yang gagal dipikul oleh KPDNKK apabila bertindak membela pengguna. Walaupun terdapat retorik kononnya PPIM seharusnya bekerjasama dengan KPDNKK tetapi dalam beberapa kes termasuklah dalam isu Kota Raya, KPDNKK yang seharusnya bekerjasama dengan PPIM.
Ini adalah kerana KPDNKK terlalu lemah, terlalu lambat dan terlalu lembik untuk bertindak. Penguatkuasaan KPDNKK langsung tidak berbaloi, tidak berkesan dan langsung tidak ampuh berbanding PPIM yang berjaya membela pengguna dalam tempoh yang singkat.
Apatah lagi dalam banyak keadaan, yang menjadi mangsa adalah pengguna, manakala pemangsa pula adalah peniaga. Pemangsa pula sentiasa terlepas dan kalaupun terkena, penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka pula, kelihatan tidak ubah seperti melepaskan batok di tangga. Sedangkan pada masa yang sama, para pengguna terus kekal dimangsai dan terpaksa menanggung secara paksa keuntungan para pemangsa.
Justeru, tidak hairanlah mengapa semakin hari semakin banyak pula rakyat awam mempersoalkan fungsi sebenar KPDNKK dipertikaikan... adalah KPDKK juga sama seperti SPAD yang fungsi mereka hanyalah untuk memastikan dan melindungi kepentingan pemangsa terjaga?