Terbaru, ahli PKR yang digantung itu berkata, dia ada bukti akuan bersumpah (SD) lima ADUN Selangor yang menarik balik sokongan kepada Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kelima-lima ADUN tersebut tetapi meminta siapa yang makan cili itu sendiri membuat penjelasan.
“Terbaru saya telah dimaklumkan mengenai lima ADUN (2 DAP, 3 PKR) selepas mengikrarkan sokongan kepada Wan Azizah telah membuat satu SD berbeza.
“Masing-masing menarik sokongan ke atas Wan Azizah dam kononnya taat setia dengan pilihan siapa sahaja oleh Sultan Selangor. Maka muncul persoalan, siapa yang berusaha menyediakan SD yang dilihat seragam format dan ayatnya? Adakah ini termasuk dalam usaha lobi Azmin untuk menjadi MB?,” ujarnya dalam sidang media di sini petang tadi.
CheguBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin mendakwa kenyataannya sebelum ini jelas membuktikan Azmin telah melanggar disiplin parti dengan tidak mematuhi arahan parti yang menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal sebagai MB Selangor.
“Kerana usaha lobinya beliau tidak peduli memalukan Presiden parti sendiri sehingga Datuk Seria Anwar Ibrahim sendiri digelar pengkhianat dan penderhaka.
“Jelas Pas menghantar tiga nama tidak ada nama Azmin dan DAP serta PKR hantar satu nama jelas bukan Azmin. Siapa yang hantar nama Azmin kalau bukan dia melobi diri sendiri?
“Ini bukan pelik kerana selepas PRU 2008 ketika PR setuju satu nama sebagai calon MB, dia (Azmin) menghantar nama sendiri ke Istana melalui Badan Perhubungan PKR Selangor.
“Itulah yang dimaksudkan oleh bekas MB, Tan Sri Khalid Ibrahim, semasa PRU 2008 ada dua nama diberi kepada Sultan Selangor,” katanya.
Jika benar, katanya, istana tidak boleh dipersalahkan kerana yang bersalah ialah PKR kerana mempunyai seorang timbalan presiden yang tidak berdisiplin, tidak mampu bergerak mengikut organisasi dengan mempertahankan keputusan bersama hanya kerana rakus dan tamak dalam mengejar cita-cita peribadi.
Dalam pada itu, CheguBard juga mempersoalkan tindakan Jawatankuasa Disiplin PKR yang didakwa ada dua pertimbangan berbeza melibatkan tindakan kepada ahli.
“Jika PKR mampu deal dengan pemimpin tidak berdisiplin dan tidak ikut arahan parti, mengapa PKR perlu memecat Khalid Ibrahim atas alasan tidak mengikut arahan parti? Adakah PKR ada dua set undang-undang berbeza, satu untuk ahli biasa dan satu untuk mereka yang istimewa?,” soalnya.
Orang kuat NGO, Solidariti Anak Anak Muda Malaysia itu juga mahu ADUN Sri Andalas, Dr. Xavier yang dahulunya menafikan dia menandatangani SD tidak sokong sokong Wan Azizah sehingga mahu keluar parti supaya tampil dengan bukti sokongan.
“Dia (Xavier) menafikannya. Jika ya, buktikan. Balai polis mana? Nombor aduan berapa? Kalau betul SD itu palsu, dia sebagai Naib Presiden PKR sudah tentu perlu tampil menafikannya,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment