Ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi, 44, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa kem Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tidak putus-putus berusaha untuk memujuk Ahli-Ahli Parlimen Sabah agar berpaling tadah selepas Pilihanraya Umum 2008.
Ini menyebabkan, katanya, beberapa orang Ahli Parlimen membincangkan perkara itu beberapa kali termasuklah sekali di Macau selepas pertemuan mereka di Le Meridien di Kota Kinabalu.
Raime berkata, Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman memberitahunya, tawaran tersebut telah dibuat sewaktu pertemuan di Le Meridein di Kota Kinabalu kepada beberapa orang Ahli Parlimen dari Sabah.
Anifah Aman sering berada di hotel tersebut untuk menghisap curut di lounge hotel berkenaan.
Menjelaskan tentang keperluan ke Macau, Raime memberitahu Mahkamah, ini adalah kerana puak Anwar Ibrahim tidak henti-henti memburu mereka dan lawatan ke bekas koloni Portugal terpaksa dibuat dengan alasan bermain golf walaupun tiada seorang pun daripada mereka membawa set golf masing-masing.
"Di sanalah saya tahu dari Ronald Kiandee (Beluran), yang turut hadir di Le Meridien, yang dia telah ditawarkan RM5 juta untuk berpaling tadah menyokong pembangkang," katanya.
"Bagaimanapun, Anifah memutuskan sebaliknya dan kami tidak sepatutnya menerima tawaran tersebut dan kami semua bersetuju (dengan keputusan tersebut)."
Dia kemudiannya memberitahu Anifah yang dia tidak menerima sebarang tawaran.
Dalam kenyataan saksi awalnya, Raime memberitahu Ronald telah menawarkan RM2 juta untuk berpaling tadah tetapi kemudian dia membetulkannya semula kepada RM5 juta.
Ahli Parlimen Tenom itu juga memberitahu mahkamah yang dia melihat sendiri orang yang menawarkan RM100 juta kepada Anifah di Hotel Hilton KL Sentral.
Anifah yang juga Menteri Luar memberitahu mahkamah pada Khamis bahawa angka tawaran itu datang sendiri daripada Anwar Ibrahim menerusi panggilan telefon selepas kepulangannya dari Macau. Seorang ahli perniagaan Sabah, Tony Vun, mula-mula menelefon Anifah Aman dari Terminal Tambang Murah di Sepang dan kemudian menyerahkan telefon itu kepada Anwar Ibrahim.
Anifah tidak ingat tarikh sebenar ketika tawaran itu dibuat tetapi kemudian berkata ia berlaku antara Mei dan Jun 2008.
Perbicaraan ini dibuat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Sit Khadijah S.Hassan Badjenid.
Pendengaran akan disambung pada 15 dan 16 Disember dengan testimoni dari Ronald, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Puad Zarkashi, Duta Malaysia ke Indonesia Zahrain Md Hashim dan Presiden SAPP Yong Teck Lee.
Anwar Ibrahim menyaman Anifah sebanyak RM100 juta dengan mendakwa Anifah Aman telah menfitnahnya menerusi kenyataan yang dibuat dalam sidang media di Washington DC bersama-sama dengan bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton pada Mei 2009.
Ketua Umum PKR itu mendakwa, Anifah telah membuat tuduhan tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan sembrono, dan kenyataannya itu telah disebarkan secara meluas di media-media tempatan dan luar negara.
No comments:
Post a Comment