Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Gobind Singh Deo mewakili Lim dan 18 yang lain serta peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili empat anggota DAP.
Gobind Singh memberitahu pemberita bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu berikutan Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih melakukan siasatan dan sekiranya kes itu diteruskan, ia akan menyalahi proses mahkamah.
Pada 23 Feb lalu, empat anggota DAP iaitu Tay Kok Beng, Tan Kim Seng, Law Theng Hooi dan Wong Yu Liuh, selaku plaintif memfailkan saman terhadap Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dan 18 yang lain termasuk Anggota Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, Lim Kit Siang (Gelang Patah, Johor) dan Teresa Kok (Seputeh), yang dipilih semasa pemilihan CEC itu.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, kesemua plaintif mendakwa bahawa pemilihan CEC pada 29 Sept 2013 telah dibuat tanpa mematuhi perlembagaan DAP dan tidak sah.
Mereka mendakwa ia (tidak sah) berikutan terdapat keraguan dan kekeliruan terhadap penambahan 120 cawangan baharu antara tempoh 15 Dis 2012 hingga 29 Sept 2013 kerana ROS tidak pernah meluluskan penambahan itu.
Kesemua plaintif menuntut perintah deklarasi bahawa pemilihan CEC pada tarikh itu (29 Sept 2013) adalah tidak sah, terbatal dan tidak dibentuk secara sempurna melalui undang-undang.
Plaintif juga menuntut perintah bahawa defendan hendaklah memanggil satu kongres parti dan mengadakan pemilihan CEC DAP dalam masa 21 hari dari tarikh penghakiman ini selain menuntut kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment