Social Icons

Pages

BULETIN 247

Friday, June 12, 2015

SEBELUM INI, DAP CABAR PAS, SEKARANG PAS PULA CABAR DAP PUTUSKAN HUBUNGAN SECARA RASMI!!! ADA BERANI GUAN ENG?!



PAS bersedia mengarahkan anggotanya melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang jika Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan DAP, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Dalam pada itu, beliau turut membidas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya tidak mengajar parti itu, kerana menurutnya, PAS Pulau Pinang bersedia mengundurkan diri daripada pentadbiran apabila tiba masanya.

"PAS Pulau Pinang memang sudah bersedia, dulu pada tahun 1977, berlaku darurat di Kelantan apabila PAS ditendang keluar oleh BN (Barisan Nasional), semua pemimpin PAS melepaskan jawatan, tidak ada masalah... bukan sayang pada jawatan.

"Saya juga ingin nasihat kepada Guan Eng jangan ajar kita, kita (PAS) tahu apa hendak buat. Kalau betul-betul putus, kita akan keluarkan arahan melepaskan jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Koperasi Tengku Muhammad Faris Petra 2015 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan DAP yang meminta anggota PAS supaya meletakkan jawatan yang dipegang dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Mohd Amar sebelum ini menegaskan pemimpin dan anggota PAS tidak takut kehilangan jawatan dalam kerajaan pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang, sekiranya hubungan antara PAS dan DAP terlerai selepas ini.

Lim sebelum itu dipetik sebagai berkata beliau mengharapkan PAS menunjukkan bahawa maruah politik masih wujud dalam kalangan kepimpinan baharu parti itu dengan mengarahkan wakilnya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang meletakkan jawatan.

Mohd Amar berkata pada masa ini, Majlis Syura Ulama belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan hubungan kedua-kedua parti itu dan dijangka majlis tersebut akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat.

"Sekarang orang baru bincang kata hendak cerai, bukan cerai lagi, kalau bercerai selesailah cerita," katanya.

Dewan Ulama PAS sebelum ini sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Dalam pada itu, Mohd Amar turut mengakui anggota Majlis Mesyuarat Negeri di Pulau Pinang dikuasai oleh DAP, namun parti itu perlu sedar kemenangan yang dikecapi mereka adalah sumbangan PAS.

-- BERNAMA


No comments:

 
Blogger Templates