Social Icons

Pages

BULETIN 247

Monday, December 21, 2015

PEMBALAKAN DI KELANTAN BABITKAN RASUAH TERSUSUN DAN MISTERI KEHADIRAN WARGA MYANMAR!!!



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan mendapati, kegiatan rasuah melibatkan pihak terbabit dengan pembalakan haram amat tersusun.

Keadaan itu lebih rumit, kerana ia berlaku di tengah-tengah hutan yang menyukarkan siasatan dijalankan.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Aban menjelaskan, hasil siasatan yang dijalankan, pihaknya percaya pemberian imbuhan dilakukan di kawasan pembalakan dalam hutan, membabitkan pemegang lesen dengan pegawai jabatan terbabit.

Beliau berkata, antara sebab pemberian imbuhan itu, termasuklah pemegang lesen sudah menebang secara haram balak di luar kawasan dilesenkan.

“Sebenarnya, SPRM menerima banyak maklumat mengenai kegiatan rasuah di kalangan pembalak dan kakitangan Jabatan Perhutanan, tetapi mereka enggan tampil atau dedahkan diri kerana pelbagai sebab.

“Setakat yang saya tahu, rasuah di sektor pembalakan sangat tersusun dan secara peribadi, saya percaya SPRM mempunyai keinginan tinggi untuk meneruskan siasatan berkaitan kes pembalakan,” katanya ketika ditemui di pejabat SPRM Kelantan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, daripada pengalaman dalam satu kes di Pahang, seorang tauke balak menawarkan rasuah sebanyak RM30,000 kepada pegawai SPRM yang menyamar di tengah hutan, bagi mengelakkan dikenakan tindakan.

Jelasnya, apa yang merugikan siasatan ialah, mereka yang terbabit atau saksi tidak mahu tampil memberi kerjasama, mungkin kerana mereka sendiri adalah pemegang lesen.

“Mengenai tangkapan berkaitan rasuah, 13 daripada 35 yang ditahan tahun ini adalah kakitangan dan pegawai Jabatan Perhutanan. Kedua paling ramai ialah anggota polis, iaitu 11 orang.

“Untuk makluman semua, 35 orang yang ditahan tahun ini adalah jumlah paling ramai, berbanding purata hanya 11 orang pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu pemerdagangan orang, Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya ada sindiket yang melindungi dan mengatur kemasukan pendatang asing ke negara ini.

Menurutnya, jumlah paling ramai adalah warganegara Myanmar, di mana amat pelik apabila mereka boleh masuk ke Malaysia dengan mudah dan berada di mana-mana lokasi di dalam negara ini.

“Ada kes yang disiasat pendatang asing tanpa izin terbabit memberitahu, mereka membayar RM700 kepada sindiket yang akan menguruskan perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang.

“Sebaik tiba, mereka akan dibawa menggunakan motosikal ke penjualan haram dan terus pulang ke kampung halaman.

“Yang menariknya, mereka sendiri boleh memilih atau mengatur perjalanan pulang mereka sendiri. Di sini kita melihat ada sesuatu yang tidak kena dan memerlukan penyiasatan lanjut,” katanya. (SARAWAK LIVE)


No comments:

 
Blogger Templates