Saya menegaskan bahawa semua yang didakwa di dalam mesej tersebut adalah tidak benar dan semata-mata fitnah ke atas diri saya sebagai ADUN di kawasan berkenaan. Projek Barisan Nasional yang sememangnya dinanti-nantikan rakyat di Hulu Bernam terutama penduduk Kg Hassan ini, pastinya memberikan tekanan kepada pihak Pakatan Harapan dan kini jelas mereka goyah serta cuba untuk mengelirukan rakyat dengan menyebarkan mesej fitnah ini ke atas saya.
Projek Perumahan PPR Taman Danau diuruskan secara keseluruhan oleh pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan permohonan bagi rumah mampu milik ini dilakukan mengikut prosedur dan peraturan yang lengkap melalui Pejabat Daerah / Tanah Hulu Selangor. Di sini, saya menjelaskan bahawa saya sama sekali tidak terbabit di dalam pembuat keputusan dan tidak menganggotai Jawatankuasa Pemilih dalam menentukan kelulusan permohonan bagi rumah mampu milik ini.
Senarai pemohon yang diluluskan dan layak menerima rumah ini telah dipamerkan di Pejabat Daerah / Tanah Hulu Selangor dan dakwaan bahawa saya menyembunyikan status 40 buah rumah ternyata hanya fitnah dan dakwaan palsu semata-mata.
Jelas bahawa kerajaan Barisan Nasional telah menunaikan janji dan tidak memilih sebarang latar belakang politik penerima namun di atas keterdesakan pihak Pakatan Harapan untuk menimbulkan keraguan di hati pengundi maka saya difitnah demi menjayakan cita-cita politik individu atau pihak-pihak tertentu.
Oleh yang demikian, saya mendesak kepada penyebar fitnah ini untuk memohon maaf secara terbuka atau saya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) demi menjelaskan kedudukan saya sebagai wakil rakyat kepada penduduk-penduduk di Hulu Bernam. Kepentingan rakyat menjadi keutamaan saya dan saya tidak akan benarkan kredibiliti saya dan parti yang saya wakili iaitu Barisan Nasional tercalar dek fitnah murahan seperti ini.
YB DATUK ROSNI SOHAR
ADUN Hulu Bernam, Selangor Darul Ehsan
1 comment:
Betul tu YB. Saman fitnah je mereka ni. Mohon maaf pun tak guna, nanti buat lagi.
Post a Comment