Cadangan penggabungan parti-parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan - PKR, DAP, Cap Bunga dan PAN - dan logo tunggal bagi berhadapan dengan Barisan Nasional yang diketuai oleh UMNO, dibuat oleh Pengerusi Parti Cap Bunga, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pra-syarat kemasukan parti Cap Bunga ke dalam Pakatan Harapan.
Sebelum ini, beberapa pakatan lain, termasuklah sebelum Pakatan Harapan iaitu Pakatan Rakyat telah diuwar-uwarkan. Malahan logo Pakatan Rakyat yang menggabungkan tiga buah parti pembangkang iaitu DAP, PKR dan PAS telah pun dipamerkan kepada awam. Bagaimanapun, pendaftaran Pakatan Rakyat tidak dibuat dan pelbagai alasan diberikan oleh Saifuddin Nasution yang merupakan orang yang bertanggungjawab mendaftarkan Pakatan Rakyat kerana kegagalan itu.
Pihak yang benar-benar teruja dengan penubuhan Pakatan Rakyat dan penggunaan satu logo, sudah tentulah PKR. Rafizi Ramli merupakan orang yang paling ke hadapan yang mengumumkan pembuatan logo Pakatan Harapan yang telah dihantar oleh 'peminat-peminat' Pakatan. Bagaimanapun, Latheefa Koya, salah seorang pemimpin PKR menempelak logo-logo tersebut dan memperlekehkan Rafizi Ramli yang telah mengumpulkan jutaan ringgit tetapi hanya mampu menghasilkan logo-logo yang cuma layak ditertawakan.
Dari luar, Pakatan Harapan dilihat mempunyai kekuatan yang tersendiri, terutama dengan pembabitan aktif Tun Dr. Mahathir dan Cap Bunga dalam Pakatan Harapan. Namun perkembangan tentang penubuhan Pakatan Harapan secara sah dan berdaftar seperti terbantut tanpa sebarang alasan walaupun pada peringkat awalnya, semua pihak kelihatan teruja.
Salah satu sebabnya ialah keinginan dan desakan kuat Tun Dr. Mahathir untuk menjawat jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.
Walaupun Tun Dr. Mahathir mempamerkan sikap permusuhan yang luar biasa terhadap Najib Abdul Razak tetapi ramai yang percaya, permusuhannya hanyalah permusuhan peribadi dengan Perdana Menteri Malaysia. Hati dan perasaan Mahathir masih UMNO.
Para pemimpin Pakatan, terutama sekali dari DAP amat percaya, Mahathir akan buat pusingan U pada bila-bila masa terutama apabila kepentingannya terjejas. Ditambah pula, semenjak kebelakangan ini, perlumbaannya dengan Najib memperlihatkan kekalahan berterusan kepada Mahathir.
Dari isu IPP sehinggalah yang terbaharu, Proton, Mahathir kehilangan penguasaan dan proksi-proksi serta kroni-kroninya kehilangan kepentingan yang telah mereka nikmati sebelum ini menerusi dasar baru Najib yang mengurangkan pergantungan dan penguasaan kelompok tertentu yang diketahui rapat dengan Mahathir sekaligus mengurangkan perbelanjaan dan wang negara untuk membiayai kemewahan kelompok berkenaan.
Bagaimanapun, DAP khususnya Lim Kit Siang yang merupakan musuh abadi Mahathir, berbaik-baik dan menunjukkan sikap toleransi tahap tinggi terhadap bekas Perdana Menteri itu. Semuanya dilakukan demi meraih sokongan daripada masyarakat pengundi Melayu bagi menjamin objektif DAP untuk menjadi parti yang paling dominan di Malaysia.
DAP sudah pun menyatakan mereka akan bertanding di sekurang-kurangnya 80 kerusi Parlimen. Target sebenar DAP adalah 50 kerusi Parlimen yang diyakini mampu diperolehi pada PRU akan datang. Sekaligus meletakkan DAP di belakang UMNO.
DAP akan bertanding di kawasan-kawasan bermajoriti dan campuran Cina di seluruh Malaysia. Calon-calon Melayu dari DAP seperti Aziz Bari, Rara Othman, Dyana Sofya - sekadar menyebut beberapa nama - akan diletakkan di kawasan-kawasan bermajoriti Melayu bagi memecah dominasi Barisan Nasional, khususnya parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan GERAKAN yang sangat bergantung kepada kemenangan di kawasan-kawasan berkenaan.
PKR akan menjadi parti yang mencalonkan paling banyak di kerusi-kerusi Parlimen. Putusnya tahaluf siyasi dengan PAS, membuatkan PKR sedar mereka akan kehilangan hampir separuh daripada kerusi-kerusi yang dikuasai sekarang ini. PKR seperti yang diketahui amat kuat pergantungan kepada PAS.
PAN pula akan bertanding di kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh PAS. Manakala Cap Bunga pula terpaksa mengintai-ngintai kerusi yang akan ditandingi terutama di kawasan-kawasan UMNO.
Pada PRU lalu, UMNO berjaya meningkatkan penguasaan dan memperolehi 88 kerusi Parlimen sekaligus menjadi dominan dalam Parlimen dan Barisan Nasional.
Secara tradisi, kerusi-kerusi yang ditandingi oleh UMNO akan ditandingi oleh PAS. 'Campurtangan' Cap Bunga dan PAN akan menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan tiga penjuru, sekaligus akan melemahkan kesemua parti-parti yang berteraskan orang Melayu dan Bumiputera itu berbanding DAP yang secara solid mampu memperolehi sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen sebagaimana yang disasarkan.
222 kerusi akan menjadi rebutan di kalangan parti-parti berkenaan. Di Sarawak, hanya DAP, PKR dan PAS serta PAN dari Semenanjung. Berbanding DAP dan PKR, PAS dan PAN hampir tiada peluang. Manakala di Sabah pula, Cap Bunga akan menggunakan proksi mereka, Parti Warisan Sabah yang dipimpin oleh Shafie Apdal bagi tujuan berkenaan. Dan sama seperti di Sarawak, PAS dan PAN hampir tiada peluang langsung di negeri itu. DAP dan PKR pula besar kemungkinan akan menambah jumlah kerusi yang dimenangi kesan daripada penggabungan dan kerjasama dengan Parti Warisan serta slogan Sabah For Sabahans yang sedang popular di negeri itu.
Parti Tun Mahathir nampaknya kekal sebagai parti minoriti walaupun kelihatan gah di Kedah dan beberapa bahagian di Johor. Di negeri-negeri lain, terutama di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan, Parti Cap Bunga seperti hidup segan mati tak mahu. Ditambah pula dengan fenomena keluar parti yang sedang berlaku di dalam parti berkenaan.
Sesuatu yang menarik ialah keterdesakan Mahathir untuk mengetuai Pakatan Harapan selaku Pengerusi. Kehendaknya itu ditentang keras oleh Anwar Ibrahim yang mahukan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail sebagai Pengerusi. Kemelut itu turut membingungkan apabila penyertaan Azmin Ali di dalam Pakatan Harapan selaku Naib Presiden walaupun Azmin Ali di dalam inner-circle Pakatan, dikecam teruk kerana enggan menghalau Exco serta lantikan-lantikan politik dari PAS.
Di sebalik nama-nama seperti Mahathir, Wan Azizah, Lim Guan Eng, Azmin Ali, Mukhriz Mahathir dan sebagainya di dalam hierarki tertinggi Pakatan Harapan, sesuatu yang agak mengejutkan ialah, 'penyingkiran' Muhyiddin Yassin walaupun Muhyiddin adalah Presiden Parti Cap Bunga.
Mungkin disebabkan faktor-faktor itulah membuatkan pendaftaran Pakatan Harapan, hanya sekadar cerita, manakala logo tunggal yang akan menyatukan semua parti pembangkang itu pula, sekadar dilukis di atas kertas tisu sebagaimana yang dikatakan oleh Rafizi Ramli.
Perebutan jawatan dan keterujaan Mahathir untuk kembali berkuasa adalah antara punca sebenar. Pembahagian kerusi yang akan menyaksikan Cap Bunga tidak berpuas hati kerana mendapat bahagian yang paling kecil pula akan menjadi titik tolak kepada perpecahan yang lebih besar Pakatan Harapan.
1 comment:
Nujum pak belalang semua ni....good try bro
Post a Comment