Social Icons

Pages

BULETIN 247

Friday, August 30, 2019

MAHATHIR KEMBALI BERCAKAP TENTANG PENGHARAMAN UMNO DI TENGAH-TENGAH KEMELUT DAN HURU-HARA PAKATAN HARAPAN YANG TIDAK ADA HARAPAN DI HATI RAKYAT!!!



Tidak dapat dipastikan, adakah UMNO dan Majlis Tertingginya telah membincangkan perihal perkembangan terbaharu ini. Melihat kepada reaksi suam-suam dan sejuk di kalangan kepimpinan tertinggi UMNO, rasa-rasanya kebanyakan daripada mereka tidak langsung peduli dengan amaran dan petunjuk awal yang diberikan oleh Mahathir. 

Malaysiakini melaporkan, Pengerusi PPBM, Dr. Mahathir Mohamad mendesak pihak berkuasa untuk mempertimbangkan mengapa UMNO masih dibenarkan beroperasi, malahan kembali menjadi 'kaya' walaupun dibayangi pelbagai tuduhan penyelewengan dan salahguna. 

Agak menarik ialah apabila masalah tentang UMNO itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM yang langsung tidak ada kena mengena dengan UMNO. 

Mahathir mempersoalkan tentang kegagalan mematikan UMNO walaupun akaun-akaun UMNO dan kepimpinan tertingginya, terutama sekali Najib Abdul Razak dibekukan kerana dituduh terlibat dalam skandal 1MDB. 

The Edge Market sebelum ini melaporkan, UMNO telah berjaya mengumpulkan lebih RM2 bilion menerusi penjualan saham-sahamnya.


Umum mengetahui, sebelum UMNO diharamkan pada tahun 1988 akibat perbuatan Mahathir sendiri yang cuba mempertahankan kedudukannya selepas dicabar hebat oleh Tengku Razaleigh Hamzah, UMNO pada waktu itu mempunyai banyak aset serta tunai. Bagaimanapun, selepas UMNO diharamkan dan UMNO Baru ditubuhkan, semua aset-aset tersebut hilang begitu sahaja walaupun banyak nama didedahkan sebagai proksi dan kemudian muncul kaya secara tiba-tiba. 

Mahathir turut mempersoalkan tentang wang yang dimiliki oleh UMNO. 

"Kalau sekiranya mereka buat duit yang banyak, apa yang mereka buat dengan duit itu? Kita nak tahu," katanya kepada wartawan dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan. 

Dalam sidang media itu juga, dia turut hairan dengan tindakan ROS yang enggan mengambil tindakan terhadap UMNO apatah lagi ketika UMNO akan menandatangani Piagam Perpaduan Ummah dengan PAS pada 14 September nanti. 

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin. ROS berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. 

Mahathir turut merujuk kepada krisis UMNO yang dihadapinya ketika dia jadi Presiden UMNO yang mendorong kepada pengharaman UMNO. 

"Apabila saya menjadi Presiden UMNO, kami mempunyai tiga cawangan yang tidak mengadakan mesyuarat dan kemudian UMNO diharamkan. Kita juga berhadapan dengan situasi yang sama. Tetapi sekarang, kita melihat bagaimana UMNO melakukan banyak kesalahan tetapi masih boleh beroperasi dan pendaftarannya tidak dibatalkan." 

Menurut Mahathir, itu adalah pendapat peribadinya dan dia tidak mengeluarkan sebarang arahan. 

Benarkah UMNO melakukan banyak kesalahan? 


Mahathir juga mempersoalkan pendaftaran UMNO yang masih belum dibatalkan. Benarkah itu hanya cadangannya sahaja memandangkan Mahathir cukup terkenal sebagai seorang penyalahguna kuasa dan menggunakan kuasanya dengan sewenang-wenangnya. Ini dapat dilihat menerusi pengharaman UMNO pada tahun 1988 dan penubuhan UMNO Baru sendiri dua minggu selepas UMNO asal diharamkan.  

Atau adakah ini menandakan Mahathir sedang mengarahkan agar Muhyiddin Yasin mengikut kata-katanya agar mengarahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) melakukan sesuatu ke atas pendaftaran UMNO? 

Mahathir cuba mengaitkan UMNO dengan pembubaran sementara PPBM. Sedangkan kesalahan-kesalahan PPBM begitu jelas dan sememangnya menyalahi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan oleh ROS sendiri. 

Sebagai contoh,

1. Tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

https://www.hmetro.com.my/utama/2018/04/327751/ppbm-diperintah-bubar-sementara

2. Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengaku parti itu tidak dapat memenuhi 2 daripada 9 perkara dituntut ROS, iaitu laporan mesyuarat bahagian dan cawangan kerana ia belum dan tidak dapat dilaksanakan. 



Sesuatu yang menarik ialah, Mahathir kembali bercakap tentang pembubaran dan pembatalan pendaftaran UMNO apabila isu tentang syarikat anaknya memperolehi RM2.1 bilion projek kerajaan. Mahathir mula bercakap tentang menghapuskan UMNO apabila orang dalam partinya sendiri mula bercakap tentang penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan. 

Mahathir mungkin menyangka dengan membubarkan UMNO, maka ahli-ahli UMNO akan melompat masuk PPBM sekaligus mengukuhkan PPBM di dalam Pakatan Harapan. Malangnya, tanggapan tersebut sudah berbeza sama sekali. 

Penolakan terhadap Mahathir dan PPBM memang sangat jelas. Selepas bercakap besar kononnya, PPBM mendapat sambutan hebat di kalangan orang Melayu, sehingga kini PPBM masih gagal melaksanakan mesyuarat agung tahunannya kerana tidak cukup ahli. Malah ahli-ahli UMNO secara terbuka bercakap tentang masa hadapan parti mereka, sekiranya UMNO diharamkan, PAS adalah pilihan utama mereka. 

Dengan kata lain, Mahathir perlu juga mengharamkan PAS kalau berdasarkan kepada teori migrasinya. 


2 comments:

Anonymous said...

Moga Allah terus memelihara UMNO Dan digagalkan segala perancangan gila Dr m..moga bersatu hancur Dan porak peranda kerana kezaliman pemimpin mereka

Damak MWSU said...

UMNO ada Barisan Nasional (BN), Pas pula ada Gagasan Sejahtera (GS). Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO pernah keluarkan kenyataan sebelum ni, jika apa² jadi kepada UMNO,UMNO akan memindahkan seluruh ahlinya ke dalam BN. Buat apa nak lompat dok bertuankan dap?

 
Blogger Templates