Al Quran menetapkan zakat sebagai satu fardhu mutlak. Tiada sesiapa pun di kalangan umat Islam 'bebas' daripada membayar zakat kecuali atas beberapa syarat tertentu. Malah berbanding solat, zakat diterangkan secara terperinci di dalam al Quran, kadar dan hisabnya, jenis serta asnaf yang berhak ke atas zakat.
Malaysia menyelaraskan kutipan zakat di setiap negeri dan diletakkan di bawah badan khusus. Kerajaan Pusat tidak mempunyai akses kepada wang zakat kerana zakat setiap negeri diuruskan oleh negeri masing-masing.
Terdapat pelbagai skim yang memberi peluang kepada umat Islam di negara ini membuat kebajikan dan mencari pahala terutama menerusi potongan gaji yang disalurkan kepada badan-badan tertentu. Langkah yang baik, dan sangat bijak jikalau dipandang dari sudut pengurusan dan pentadbiran.
Namun apabila melibatkan duit, walaupun sesebuah entiti di mana kebajikan adalah kulit luarnya, ia tetap mendatangkan masalah, terutama apabila membabitkan perbelanjaan.
Di sinilah masalah bermula dan tercetus. Pada ketika masih ramai umat Islam terutama di bandar-bandar yang hidup di bawah paras kemiskinan meskipun kemiskinan dan hutang mereka bukanlah disebabkan kereta, rumah atau barangan mewah mahupun kad kredit, namun kegagalan dan kelambatan bantuan yang diberikan daripada derma yang dikumpulkan, menimbulkan banyak persoalan.
Bukan cerita baru apabila ada kes melibatkan umat Islam yang ditangkap kerana mencuri barang makanan dan dihukum penjara. Bukan juga cerita baru apabila ada anak-anak Islam yang terpaksa menamatkan persekolahan setelah ibu bapa meninggal dunia akibat kemalangan untuk meneruskan hidup.
Anehnya, di Malaysia ada banyak badan-badan kebajikan atas nama Islam. Ada potongan gaji juga yang dibuat untuk tujuan kebajikan katanya. Ada perniagaan berasaskan modal daripada dana Islam tetapi perniagaan tersebut akhirnya bertukar menjadi korporat dan sangat-sangat berasaskan keuntungan dengan kebajikan pula terpilih-pilih.
Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada umat Islam?
Dana ratusan bilion daripada derma dan zakat umat Islam, mengapa tidak dipulangkan kembali kepada umat Islam di negara ini?
Islam dan ajarannya kini telah dijadikan sebagai komoditi untuk menjana keuntungan yang amat lumayan. Dalam segala sektor, terutama sekali politik, Islam dan ajarannya yang mulia telah bertukar menjadi barang dagangan yang amat murah dan mudah. Bahkan jauh lebih mudah untuk ditemui dalam segala bentuk, termasuklah 'bentuk-bentuk syurga' bagi memperolehi keuntungan dalam segala segi, termasuklah kemasyhuran dan kemewahan.
Kalau individu yang berkuasa sendiri telah menggunakan kemudahan-kemudahan dalam Islam untuk kepentingan diri, menjadikan umat Islam sebagai modal besar percuma mereka, jangan dihairankan mengapa sekarang ini, bukan Islam sedang memandang serong apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Islam.
ISLAM PERNAH BERJAYA bahkan pernah menjadi KUASA UTAMA DUNIA dengan pelbagai sistem pengurusan kehidupan harian yang diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabat r.a dan dinasti-dinasti pemerintah selepas itu, bahkan memberikan sumbangan besar kepada sains dan teknologi dunia, selain mengeluarkan Eropah dari kegelapan, kesesatan dan kekarutan yang bercampur agama...
Tetapi nampaknya ia kian menjadi kenangan dan tulisan di dalam dokumen-dokumen sejarah sahaja apabila sistem munakahat, muamalat, jinayat dan ibadat telah dijadikan sebagai kuda tunggangan untuk kemasyhuran, kemewahan dan kedudukan!
5 comments:
Sbb tu x boleh pcaya sangat dgn badan2 yg uruskan zakat..perolehan berbilion lebur ke arah lain..elok berzakat terus pd asnaf..
Biarlah apa pun tuduhan orang kpd pihak berkuasa agama yg menguruskan zakat ini..aku akan tetap membayar zakat spt sebelum2 ini. Bukan semua tuduhan yh dilemparkan ini benar2 belaka tetapi lebih kepda untuk mencari salah dan mengaibkan individu.
Biarlah apa pun tuduhan orang kpd pihak berkuasa agama yg menguruskan zakat ini..aku akan tetap membayar zakat spt sebelum2 ini. Bukan semua tuduhan yh dilemparkan ini benar2 belaka tetapi lebih kepda untuk mencari salah dan mengaibkan individu.
Betul la tu islam akn jd amat asing dn terading di akhir zaman sama spt terasingnya ia dizamam awal keujudannya...
Inilh akhir zaman... terang lg bersuluh
biar allah yang menghukum mereka yang tidak amanah.. kita sbg ummat islam wajib bzakat dan teruslah bzakat dengan niat mbantu ummat islam..
Post a Comment