Pada 21 Jun, Setiausaha PKR Cabang Miri, Bill Kayong atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah telah ditembak sampai mati di satu persimpangan jalan berlampu isyarat di Lutong.
Beberapa hari kemudian, PDRM telah berjaya memberkas Mohamad Fitri Pauzi, 29, atas dakwaan membunuh Kayong, manakala seorang lagi, Lie Chang Loon, 37, telah didakwa bersubahat untuk membunuh Kayong.
Sehubungan itu, polis turut mendapatkan bantuan daripada Interpol untuk memburu orang yang disyaki sebagai dalang pembunuhan tersebut iaitu Datuk Stephen Lee Chee Siang, 45 yang beralat di Lot 290, Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang, Miri yang telah melarikan diri ke Singapura dari Miri pada 23 Jun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Dev Kumar berkata, hasil siasatan mendapati, dalang pembunuhan tersebut adalah Stephen Lee Chee Kiang.
"Lee kemudiannya berlepas ke Melbourne, Australia pada 13 Julai dari Singapura. Lokasinya sekarang belum lagi diketahui dan pasukan khas yang menyiasat kes ini telah cuba mendapatkan bantuan daripada Interpol untuk mengesannya," katanya kepada para pemberita.
Menurut Dev Kumar lagi, walaupun PDRM belum lagi menerima jawapan balas daripada Interpol, Lee dipercayai masih lagi berada di luar negara tetapi lokasi sebenarnya belum dapat dikenalpasti.
Selain Lee Chee Siang, dua orang rakannya, pemilik KTV Lounge Kong Sien Ming, 35 dan Chin Wui Chung @ Ah Chung, 50 yang juga merupakan pembantu peribadi Lee, juga sedang dijejaki oleh polis.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang ketiga-tiga orang suspek tersebut agar menghubungi polis dengan kadar segera bagi membolehkan mereka dihadapkan ke mahkamah.
Menurut Dev lagi, gambar dan alamat ketiga-tiga orang suspek tersebut turut diserahkan kepada medai untuk memudahkan pengecaman mereka oleh orang ramai.
1 comment:
Kecik kecik ditatang bak krunia dan kawan tapi bila 'besar kepala' bertukar jadi setan yang hilang kemanusiaan.
Post a Comment