Social Icons

Pages

BULETIN 247

Tuesday, November 12, 2019

HARAPAN PAKATAN UNTUK MEMAKSIMAKAN ISU PERBICARAAN NAJIB, TAK KESAMPAIAN... HANYA MEREKA YANG TERKEJUT, RAKYAT DAH DUGA DARI AWAL KEPUTUSAN MAHKAMAH!!!



Jentera propaganda Pakatan Harapan nampaknya cuba melipatgandakan usaha untuk menggunakan keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang mengatakan wujud prima facie dalam tujuh pertuduhan Skandal SRC International ke atas Najib, sekaligus mewajibkan Najib membela dirinya.

Media sosial menjadi medium terbaik untuk mencetuskan pembalikan memandangkan media-media arus perdana melibatkan media massa dan media elektronik, bukan lagi medium yang digunakan oleh majoriti rakyat untuk mendapatkan maklumat.


Sememangnya Pakatan Harapan terlalu mengharapkan berita dari mahkamah itu adalah berita baik dan kehambaran yang mereka hadapi dalam kempen PRK Parlimen Tanjung Piai dapat dipulihkan segera dengan pengundi berpusu-pusu untuk mendengar ceramah dan kempen mereka.

Justeru apabila malam tadi, ceramah yang membariskan Anwar Ibrahim, Mat Sabu, Lim Guan Eng dan sebagainya mendapat 'limpahan' hadirin, berkokoklah sekalian jentera propaganda Pakatan Harapan dan membayangkan itulah tandanya Pakatan Harapan sudah kembali kepada kejayaan.



Tidak timbul persoalan sama ada limpahan hadirin tersebut tulen atau sebagainya. Apatah lagi dengan pelbagai pendedahan berhubung rasuah dan pemberian menjelang PRK yang dilakukan secara sewenang-wenang dan sebebas-bebasnya oleh Pakatan Harapan - dari pemberian wang tunai kepada nelayan Tanjung Piai, upacara pecah tanah untuk dewan sekolah sehinggalah kepada pemberian kad SIM kepada para pengundi - kehadiran ramai untuk mendengar ceramah Pakatan Harapan malam tadi, bukanlah sesuatu yang menakjubkan.

Apatah lagi semasa berkuasa dahulu pun, UMNO-BN menggunakan taktik yang sama, iaitu mengimport orang luar seramai-ramainya untuk mendengar ceramah yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin besar mereka.


Cuma sekarang, keadaan terbalik. UMNO-BN tidak mempunyai wang untuk berbuat begitu, manakala Pakatan Harapan yang dikuasai oleh DAP pula, mempunyai sumber kewangan yang sangat tidak terbatas. Justeru, apabila ramai yang hadir untuk mengikuti ceramah dan kempen calon Barisan Nasional pada beberapa malam lepas, memberikan petunjuk yang amat negatif kepada Pakatan Harapan.

Namun sesuatu yang boleh diperkatakan ialah, adalah persepsi yang cuba dimainkan kononnya dengan kehadiran ramai itu, maka imej Pakatan Harapan sudah berubah? Adakah dengan memainkan isu Najib Abdul Razak dan kes-kes mahkamahnya, maka rakyat akan kembali takjub dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat seperti yang dinikmati pada PRU-14 lalu?


Ironinya, berita tentang Najib Razak, langsung tidak memeranjatkan ramai orang. Terlalu ramai yang sudah dapat menduga bahawa memang itulah yang akan dihadapi oleh Najib Razak. Sebabnya dari awal lagi, Mahathir dan Lim Guan Eng sudah memberikan bayangan, 'by hook or by crook' Najib perlu disabitkan dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya sekaligus Najib perlu dipenjarakan.

Justeru apabila Mahathir melahirkan 'rasa terperanjat'nya, lebih ramai yang tergelak dan memperlekeh-lekehkan Perdana Menteri itu kerana masih cuba berlakon. Apabila para penyokong Mahathir dan Pakatan cuba mengatakan, mahkamah pada zaman Pakatan, bebas daripada campurtangan politik, masing-masing terus mengingatkan semula tentang pelbagai kes-kes mahkamah melibatkan para pemimpin Pakatan terutama sekali Lim Guan Eng yang digugurkan tanpa sebarang alasan walaupun sedang dibicarakan dan para saksi sedang memberi keterangan.


Dan lebih menarik, netizen juga tidak menunjukkan trek berbalik seperti yang diharapkan oleh jentera propaganda Pakatan. Isu Najib Abdul Razak tidak menunjukkan sebarang signifikan yang besar dan rakyat masih terus menyerang Pakatan Harapan menerusi media sosial walaupun pada masa yang sama, jentera BN kelihatan sedikit gugup selepas mahkamah memutuskan Najib perlu membela diri.

Empat hari lagi menjelang pembuangan undi PRK Parlimen Tanjung Piai memperlihatkan Pakatan Harapan masih teraba-raba dan masih cuba menghilangkan stigma kemarahan rakyat kerana gangguan demi gangguan berterusan ke atas perut, kocek dan dompet rakyat.



Menggunakan isu Najib Abdul Razak untuk mengalihkan isu perut, kocek dan dompet rakyat, bukanlah sesuatu yang bijak dilakukan oleh Pakatan Harapan. Apatah lagi tajuk-tajuk berita terutama dari portal antarabangsa juga  terus memperlekehkan Malaysia selama berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.


Monday, November 11, 2019

SEPERTI DIJANGKA, HAKIM MENGARAHKAN NAJIB BELA DIRI DALAM KES SRC INTERNATIONAL ATAS ALASAN WUJUD KES PRIMA FACIE!!!



Pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak untuk membela diri bagi kesemua pertuduhan kes SRC kerana wujudnya prima facie.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kes SRC International ini merupakan hakim yang telah menggantikan hakim sebelumnya. Hakim sebelumnya adalah Hakim Sophian Abdul Razak. Hakim Sophian Abdul Razak bagaimanapun ditukarkan atas alasan abangnya merupakan orang UMNO.

Nazlan merupakan hakim yang baru dipindahkan dari bahagian komersial dan ini merupakan kes jenayah pertama yang diuruskan olehnya. Sebelumnya, dia hanya menghakimi kes-kes sivil. (RUJUK)


Menurut hakim, wujud kes prima facie untuk Najib membela diri bilamana wujud keterangan bahawa Najib telah meluluskan pinjaman jangka pendek sedangkan SRC tidak boleh membayar semula pinjaman kepada KWAP. 

Itu menurutnya, menunjukkan Najib telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya. 

"Kepentingan tertuduh dalam SRC dapat dilihat menerusi pembentukannya pada Januari 2011 sehinggalah apabila wang itu telah disalurkan ke akaunnya pada Disember 2014 dan Februari 2015.

"Tertuduh mempunyai kepentingan dalam SRC di mana dia mempunyai kuasa penuh, membolehkan RM42 juta didepositkan ke dalam akaunnya sekaligus itu adalah penyelewengan.

"Oleh itu, tertuduh perlu menyanggah bukti tersebut dan saya dapati wujudnya elemen penyalahgunaan kuasanya dan sehubungan itu 'prima facie' berjaya dibuktikan," katanya.

Pada 10 Jun 2019, dalam keterangannya selaku saksi pendakwaan, bekas Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail memberitahu kesemua Lembaga Pengarah SRC International telah melawat Bank Swiss untuk menyiasat wang KWAP yang disimpan dengan selamat dan terpelihara. (RUJUK)



Terdahulu pihak pendakwaan selesai menggulung penghujahan pada 27 Ogos lalu selepas Najib mula dibicarakan 3 April.

Seramai 57 saksi dipanggil memberi kenyataan sepanjang 58 hari perbicaraan, termasuk bekas Pengurus Perhubungan Awam AmBank Bhd, Joanna Yu, serta bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Semasa perbicaraan, pasukan pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes, termasuk dokumen bank yang mempunyai kaitan dengan akaun bank Najib, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry berhubung transaksi oleh Najib.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 10 hari iaitu 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan.

Sementara itu, Najib memilih untuk membela diri terhadap semua tujuh yang dihadapinya itu menerusi keterangan bersumpah di kandang tertuduh.

Dengan memilih demikian, dia boleh disoal balas oleh pasukan pendakwaan.


Pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu pula, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.


Sunday, November 10, 2019

BELA DIRI ATAU DIBEBASKAN, MAHATHIR DAN PAKATAN SUDAH PASTI AKAN GUNAKAN ISU PERBICARAAN SEMAKSIMUM MUNGKIN UNTUK WUJUDKAN PERSEPSI!!!



Penulis: Dr. Shamsher Singh Tind

Esok, jam lebih kurang pukul 10.00 pagi, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur akan membuat keputusan sama ada:

(A) Bossku dilepaskan dan dibebaskan daripada 7 pertuduhan melibatkan wang RM 42 juta milik SRC International Sdn Bhd; atau

(B) Bossku dikehendaki membela diri.

Berikut adalah sedikit maklumat yang saya nak kongsi bersama friend-friend saya supaya membantu mereka faham isu ini:

1. Mahkamah akan membuat keputusan (B) sekiranya pihak pendakwaan berjaya membentuk kes prima facie berkenaan dengan kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan, dan keputusan (A) sekiranya pihak pendakwaan tidak berjaya berbuat demikian. Harap maklum bahawa setiap pertuduhan adalah berasingan walaupun dibicarakan bersama. Ini bermakna, Bossku boleh dilepaskan dan dibebaskan dalam satu atau beberapa pertuduhan, dan diarahkan untuk membela diri dalam baki pertuduhan yang lain.

2. Menurut seksyen 180(4) Kanun Prosedur Jenayah, kes prima facie dibentuk apabila pihak pendakwaan telah berjaya mengemukakan keterangan yang kredibel untuk setiap elemen kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan, yang sekiranya tidak dipatahkan atau diberi penjelasan mengakibatkan tertuduh disabitkan kesalahan.

3. Dalam kata lain, Mahkamah hanya boleh mengarahkan Bossku membela diri sekiranya Mahkamah bersedia untuk menjatuhkan hukuman ke atas Bossku andai kata Bossku mendiamkan diri selepas dipanggil untuk membela diri. Mahkamah tidak boleh memanggil Bossku untuk membela diri hanya kerana ingin tahu apa yang Bossku tahu.

4. Dalam pendakwaan jenayah, tertuduh mempunyai hak untuk mendiamkan diri, dan hak ini tidak boleh diketepikan melainkan Mahkamah benar-benar berpuas hati bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan yang dinyatakan dalam pertuduhan.

5. Mahkamah masih boleh melepaskan dan membebaskan Bossku selepas mengarahkan beliau membela diri. Sebagai contoh, Anwar Ibrahim dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur selepas diarahkan membela diri (https://www.malaysiakini.com/news/186050). Ini kerana undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa tertuduh layak dilepaskan dan dibebaskan sekiranya berjaya mewujudkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan, walaupun gagal membuktikan pembelaannya.

6. Pendek kata, sekiranya Bossku diarahkan membela diri, itu dengan sendirinya tidak bererti bahawa Bossku bersalah. Bossku hanya bersalah sekiranya Bossku gagal membuktikan pembelaan dan, dalam masa yang sama, gagal mewujudkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan, di akhir perbicaraan. Ingat, innocent until proven guilty!

7. Satu lagi, Peguam Negara masih boleh menarik-balik pertuduhan walaupun Mahkamah telah memanggil Bossku untuk membela diri. Benda ini pernah berlaku baru-baru ini (https://www.bharian.com.my/…/rafizi-ramli-dilepas-dibebas-s…).

P.S. Dr Mahathir dari awal lagi dah berkali-kali membuat kenyataan media bahawa Bossku adalah pencuri. Dan Dr Mahathir ini pernah dituduh campur-tangan dalam urusan badan kehakiman. Tuan-tuan pernah baca apa yang dinyatakan oleh Hakim Ian Chin (https://www.thestar.com.my/…/justice-ian-chin-tells-of-thre…)? 

Saya harap perkara itu jika benar tidak berlaku kali ini.

BN AMBIL MASA LEBIH 60 TAHUN UNTUK HILANG KEPERCAYAAN RAKYAT, HEBAT LAGI PAKATAN HARAPAN, TAK SAMPAI PUN 18 BULAN UNTUK JADI KEBENCIAN RAKYAT!!!



Apabila Pakatan Harapan memenangi PRU-14 pada 9 Mei 2018 lalu dan kemudian menjadi kerajaan, maka para pengundi mengharapkan Pakatan Harapan akan menjadi sebuah kerajaan yang jauh lebih baik dari Kerajaan Perikatan atau Barisan Nasional. Apatah lagi para pemimpin Pakatan terutama dari DAP, sentiasa bercakap yang mereka jauh lebih baik, jauh lebih berkeupayaan, malahan mereka mampu membuatkan negara jauh lebih makmur berbanding terus berada di bawah Barisan Nasional.

Hasutan, kempen dan propaganda yang berterusan seawal 2005, akhirnya membuahkan hasil. Lebih-lebih lagi apabila majoriti pengundi sudah cukup bosan hidup di bawah pentadbiran BN yang disifatkannya mereka sebagai 'selama-lamanya'. Pengundi mahukan suasana dan kerajaan yang baru yang mereka harapkan akan menjadi dan memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat berbanding Barisan Nasional.


1MDB, SRC International dan GST hanyalah isu-isu besar yang sebenarnya gagal ditangani oleh Barisan Nasional. Pembunuhan karakter ke atas Najib Razak dan Rosmah Mansor pula telah menjayakan hasutan demi hasutan yang turut melibatkan Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir dalam political stunt dia untuk meraih simpati terutama sekali dari kalangan orang UMNO, berlakon yang dia telah dianiayai dan dizalimi oleh Najib sehingga semua kemudahannya telah ditarik balik. Gambar-gambar dia berpelukan dengan pembantu rumah, ADC, pegawai dan anggota pengiring yang dikatakan telah ditarik balik, kemudian ditularkan. Kemudian berita bagaimana tayar pesawat peribadi yang dinaikinya kempis dan pancit turut dikaitkan dengan cubaan 'pihak-pihak tertentu' untuk membunuhnya, menambahkan lagi simpati kepada Mahathir.





Kesudian Mahathir mencemar duli memijak tanah FELDA untuk berceramah di hadapan para peneroka dan ahli-ahli keluarga mereka, sebenarnya turut memberikan impak yang besar terutama apabila kerusi-kerusi DUN dan Parlimen FELDA, lebih separuh berjaya dibolot oleh Pakatan Harapan dalam PRU-14.

Justeru kemenangan Pakatan Harapan pada PRU lepas, diharapkan akan membawa pelbagai kebaikan kepada para pengundi dan rakyat Malaysia amnya, tak kiralah dalam apa juga bentuk 'kebaikan' berkenaan terutama sekali membabitkan janji-janji mereka.


Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dari sehari ke sehari, dari semasa ke semasa, Pakatan Harapan terutama sekali Mahathir hanya mampu menyalahkan Najib Abdul Razak dan kerajaan lepas bagi kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan, malahan alasan yang sama juga digunakan untuk melepaskan tengkuk mereka menjawab persoalan dan pertanyaan rakyat berhubung pesta jualan harta-harta negara terutama yang melibatkan Melayu-Bumiputera dan Islam selain persoalan tentang hutang negara yang tidak dibayar walau satu sen pun meskipun pelbagai peruntukan untuk rakyat dipotong dan dilupuskan manakala rezab Petronas dijarah lebih RM80 bilion.

'Malaysia Baharu' terus diteriakkan dan rakyat masih berharap agar perubahan besar dilakukan.


18 bulan kemudian, para pemimpin Pakatan Harapan sendiri mengakui mereka telah gagal merealisasikan impian dan harapan para pengundi mereka. Mahathir dan dendamnya, masih gagal mendapatkan bukti-bukti kukuh untuk mensabitkan Najib Abdul Razak dalam skandal 1MDB dan SRC International sehinggakan ramai rakyat yang melihat penyalahgunaan mahkamah dan sistem perundangan oleh Mahathir dan kerajaannya bagi tujuan tersebut.

Setiap hari, sekurang-kurangnya satu isu bodoh dituturkan oleh pemimpin Pakatan Harapan yang kemudian dijadikan isu untuk mengalihkan isu sebenar membabitkan kocek, perut dan tembolok rakyat. Hampir setiap hari, isu-isu perkauman dan agama dimainkan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah sebenar yang mereka sedang hadapi kesan daripada kegagalan dan kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan.



Ketika BN mengambil masa lebih 60 tahun untuk kehilangan kepercayaan rakyat, Pakatan Harapan pula hanya mengambil masa tidak sampai 18 bulan untuk berbuat begitu.

Reaksi rakyat di Tanjung Piai sekarang ini, adalah cerminan kepada musibah yang sedang melanda Pakatan Harapan. Kenyataan DAP bahawa mereka akan melantik Liew Chin Tong sebagai wakil orang Cina di Tanjung Piai sekiranya calon PPBM, Karmainie Sardini menang PRK Parlimen Tanjung Piai pula, menjelaskan bahawa Pakatan Harapan sebenarnya tidak ada arah tujuan dalam membawa Malaysia kepada kegemilangan seperti ikrar mereka, sebaliknya hanya tertumpu kepada usaha DAP atau lebih tepat lagi Lim Guan Eng-Lim Kit Siang untuk menjadi wira masyarakat Cina semata-mata.


JAWAPAN NAJIB BUATKAN LIDAH SYED SADDIQ SEMAKIN PENDEK DAN BUKTIKAN SYED SADDIQ HANYA BERTARAF MENTERI TINGKATAN ENAM!!!



Syed Saddiq cuba nak tutup kecelaruan dan kesentapannya selepas netizen membalunnya ekoran dia menggelarkan calon PPBM di PRK Tanjung Piai sebagai ARWAH. Dia merungut, kononnya ucapannya selama 30 minit, hanya 10 saat terawal sahaja yang jadi perhatian dan diperkatakan, manakala baki ucapannya bukan sahaja tidak dipedulikan, malahan diperolok-olokkan.

Mungkin beranggapan dia sebagai juara debat, maka dia adalah seorang yang hebat. Maka dia pun melampirkan beberapa persoalan yang dirasakan sebagai pukulan mati kepada Najib Abdul Razak. 

Ternyata, soalan-soalannya itu menunjukkan Syed Saddiq yang mengisytiharkan, 

"Lawan saya dengan hujah. Tidak perlu nak gunakan “boogeyman” DAP sebagai perisai kepada rasuah kamu! Saya anak muda Malaysia. Saya orang Melayu. Saya benci pemimpin Melayu yang makan duit rakyat dan gunakan perkauman untuk melindungi kesalahan diri sendiri."

... sebenarnya tidak lebih daripada seorang burung tiung yang hanya meniru cakap tuannya tanpa dia sendiri boleh berfikir. Maka tidak hairanlah mengapa dia cukup terkenal dengan jolokan, MENTERI SENTAP dan MENTERI TISU KOYAK.

Menyahut cabaran Syed Saddiq adalah Najib Razak sendiri. 

Berikut adalah jawapan Najib Razak kepada Syed Saddiq.


******************

Saya nak jawab Menteri yang sendiri mengaku "trauma" selepas kehormatannya "diaibkan".

SOALAN 1) Kalau betul Kerajaan HARAPAN anti-melayu, mengapa peruntukkan Bumiputra naik lagi ke RM8Billion?!
JAWAPAN SAYA:

Peruntukkan RM8 bilion bagi Bajet 2020 untuk Bumiputra itu merupakan kenaikan RM400 juta berbanding apa yang korang agung-agungkan dalam Bajet 2019.

Tapi takde siapa pun tahu atau dapat merasa impak RM7.6 bilion yang kononnya telah diberi dalam tahun ini.


SOALAN 2) Kalau betul Kerajaan HARAPAN anti-islam, mengapa peruntukkan islam naik lagi ke RM1.2Bilion?!

JAWAPAN SAYA:

Dulu BN dikecam oleh korang apabila kita beri peruntukkan RM810 juta untuk JAKIM sahaja. Belum masuk peruntukkan lain untuk masjid, sekolah agama, tahfiz dan sebagainya.

Itu sudah lebih dari peruntukkan RM1.2 bilion yang korang claim adalah untuk peruntukkan Islam.

Lagipun, matlamat Tabung Haji di kerajaan BN dahulu adalah untuk memperkasakan ekonomi umat Islam.

Sebab itu kita bagi Hibah tinggi 6.25% dengan bayaran RM2.88 bilion.

Tabung Haji di bawah PH pula memansuhkan matlamat untuk memperkasakan ekonomi umat Islam dengan senyap.

Korang mengaku atau tidak?

Lagipun, angka-angka yang korang beri bukan boleh percaya sangat seperti hutang negara kononnya RM1 trilion atau RM19.4 bilion wang GST kononnya dirompak oleh BN


SOALAN 3) Kalau betul calon BN perjuangankan isu rakyat, mengapa Wee Jeck Seng banyak membisu dalam parlimen (2013-2018)?

JAWAPAN SAYA:

Mana korang tahu dia sering membisu?

Korang bukan dalam dewan pun.

Kan PM ke-7 sudah memberi dua kali amaran Menteri-menteri PH jangan ponteng parlimen lagi.

Saya juga nak tanya. Jelutong itu jauh dari membisu dalam parlimen.

Tapi apa sumbangan dia kepada Parlimen?




SOALAN 4) Kalau betul BN sudah berubah & tolak rasuah. Mengapa masih dipimpin Najib & Zahid yang bersama ada ~70 kes di Mahkamah?!

JAWAPAN SAYA:

Kalau PH benar-benar mahu lawan rasuah, kenapa korang lantik seorang yang kes rasuah masih dalam perbicaraan masa itu menjadi Menteri Kewangan?

Dan jika benar-benar PH nak lawan rasuah, kenapa korang langsung tak peduli apabila badan pencegah rasuah SPRM mengadu mereka terkejut apabila kes rasuah Guan Eng ditarik balik oleh kerajaan?

SOALAN 5) Kalau betul BN komited untuk bantu rakyat, mengapa gagal bentangkan Belanjawan Alternatif seperti yang kami lakukan dahulu? Pandai kritik, solusi?


JAWAPAN SAYA:

Yang ini saya sudah jawab. Tahun lepas kita buat bajet alternatif panggil korang jangan guna unjuran harga minyak dunia terlalu tinggi, jangan potong bantuan dan jangan mansuhkan GST, korang bukan mahu dengar pun.

Oleh itu, kita pun tak mahu buang masa kerana korang degil.

Lagipun, BN dan PAS dah berpuluh tahun terbukti mampu buat bajet.

Usah nak tuduh kami tak ada solusi.

Tak apa, saya jenamakan semula Bajet Alternatif PH tahun 2018 menjadi Bajet Alternatif BN tahun 2020.

Saya lampirkan di sini.

Yang dalam bajet alternatif PH itu korang sudah buat ke?


-Najib Razak



Link Syed Saddiq: https://www.facebook.com/1130669147012110/posts/2509625452449799?sfns=mo

Link DSN: https://www.facebook.com/…/a.294787430951/10156484595395952/

Saturday, November 9, 2019

PEJA AZUMU BIJAK BERMAIN API... TANPA DUA ADUN UMNO YANG MENYOKONGNYA, KERAJAAN PAKATAN HARAPAN PERAK, RANAP!!!



Setiap kali Pilihanraya Kecil, setiap kali itulah kita akan menyaksikan pelbagai kenyataan-kenyataan pelik dan kelakar dari pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan. Sama ada kenyataan-kenyataan tersebut memang disengajakan, atau untuk mengelirukan pengundi mahupun atas kebebalan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan itu sendiri, tidaklah dapat dipastikan.

Cuma kenyataan-kenyataan berkenaan memperlihatkan bagaimana terdesaknya para pemimpin Pakatan Harapan untuk menagih undi sehingga mereka tidak lagi menghiraukan apa-apa yang mereka perjuangkan sebelum ini.

Sedang berlangsung kini adalah kempen untuk PRK Tanjung Piai. Sudah tujuh hari kempen pilihanraya berlangsung. Dan selama tujuh hari ini jugalah, hampir setiap hari ada-ada sahaja kelakar yang dibuat oleh para pemimpin Pakatan Harapan.

Kita tinggalkan kenyataan RM1000 cukup untuk orang kampung yang keluar dari mulut calon PPBM, Karmainie Sardini. Kita lupakan sekejap ceramah-ceramah PAN dan Liew Chin Tong serta Lim Kit Siang yang tak habis-habis berkisar tentang Najib Abdul Razak dan 1MDB sedangkan pada masa yang sama, mereka langsung tidak berani bercakap tentang keterangan saksi di mahkamah dalam dua kes melibatkan SRC International dan 1MDB. Kita lupakan juga tentang ikrar Tan Sri Shafee Abdullah yang mahu memastikan, saksi kerajaan menelan muntahnya sendiri dan membuktikan bahawa saksi-saksi yang ditampilkan oleh pihak kerajaan dan kes 1MDB dan SRC International itulah sebenarnya perompak dan penipu yang bekerjasama dengan Jho Low.


Ada dua kenyataan yang benar-benar menarik semalam (8 November 2019) di Tanjung Piai. Kenyataan pertama melibatkan Ketua ARMADA atau sekarang ini digelarkan sebagai Ketua ARMANJA kerana mudah koyak tisu apabila dalam satu ceramahnya, dia MENGARWAHKAN Haji Karmainie yang sedang duduk di belakangnya, dan kenyataan kedua pula adalah kenyataan yang diviralkan menerusi satu rakaman video setelah penduduk kampung membahasakan calon PPBM yang ditemani oleh Menteri Besar Perak, Faizal Azumu atau Peja.

Peja dalam usaha untuk menyejukkan hati orang kampung mengatakan dia berseorangan menentang DAP di Perak demi mempertahankan tanah, orang Melayu dan agama Islam di Perak. Kenyataannya yang dirakamkan itu kemudian ditularkan.

Ternyata reaksi yang diterima sudah boleh diagak. Pihak pertama yang memberikan reaksi keras adalah DAP sebelum disusuli oleh Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa yang menyifatkan Peja sebagai Menteri Besar Perak yang tidak layak memegang jawatan.

Jentera propaganda Peja terpaksa mengeluarkan kenyataan dan dalih dengan mengatakan, kenyataan Peja itu telah diambil sekerat dan bukannya menyeluruh. Mereka menuduh UMNO-BN telah menggunakan taktik keji untuk memburuk-burukkan Peja.


Ramai yang kelihatan 'seronok' dengan kenyataan Peja sekaligus kata mereka, itu menunjukkan dan mengesahkan bahawa Pakatan Harapan di Perak sebenarnya sudah retak menanti belah. Ramai juga yang menantikan reaksi keras DAP yang kata mereka, tidak akan teragak-agak untuk menyingkirkan Peja dan menggantikan jawatan Menteri Besar Perak itu dengan pemimpin Melayu DAP sendiri iaitu Aziz Bari.

Namun sesuatu yang kurang diberikan perhatian malah sebenarnya disebut oleh Peja sendiri dalam rakaman video berkenaan ialah, faktor ADUN-ADUN UMNO yang sebenarnya membolehkan Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Negeri di Perak.

Tanpa sokongan dua orang ADUN UMNO sekurang-kurangnya, Peja tidak akan menjadi Menteri Besar Perak dan DAP tidak akan dapat menguasai Perak menerusi jawatan Exco dan GLC Perak.

Keputusan PRU-14 melibatkan DUN Perak telah menyaksikan BN menguasai 27 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan pula 29 kerusi DUN. Baki 3 kerusi DUN lagi dikuasai oleh PAS. Gabungan BN-PAS sepatutnya menguasai 30 kerusi, berkelebihan satu kerusi bagi membolehkan gabungan berkenaan menjadi Kerajaan Negeri.

Namun 'penggabungan' BN-PAS yang agak lewat, menyebabkan Kerajaan Negeri Perak tergantung. Dalam keadaan itulah, tiga orang ADUN dari UMNO, memberikan sokongan kepada Peja Azumu sekaligus membolehkan Peja menjadi Menteri Besar Perak dan Pakatan menjadi Kerajaan Negeri Perak meskipun PPBM sekadar menang satu kerusi walaupun bertanding di 15 kerusi DUN.

Dua ADUN UMNO-BN tersebut adalah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainal Fadzi Paharuddin dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi. Kedua-duanya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Peja.

Ada yang mengatakan, DAP akan membuat undi tidak percaya terhadap Peja Azumu semasa Sidang DUN Perak nanti ekoran kenyataannya itu. Dengan kelebihan sebenarnya berpihak kepada Peja, bukannya kepada DAP, DAP dan PKR Perak boleh disifatkan sebagai anjing yang menyalak bukit.


Kemarahan luar biasa DAP terutama menerusi Ketua DAPSY, Howard Lee yang mahu merujukkan Peja ke Badan Disiplin parti sebenarnya tidak lebih daripada satu ugutan dan ancaman kosong semata-mata.

Howard Lee merupakan ADUN Pasir Pinji yang juga merupakan Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak sudah pasti tidak berani berhadapan dengan kehilangan jawatan dan kemudahan yang sedang dinikmatinya sekarang. Sebaliknya, kenyataan Howard Lee itu sekadar untuk membuktikan kepada para pengundi Cina DAP bahawa DAP adalah penguasa sebenar di Perak yang bukan sahaja menguasai dan mengawal pentadbiran negeri bahkan meletakkan Peja di bawah genggaman dan tekanan mereka.

Ditambah dengan trend yang langsung tidak menyebelahi Pakatan Harapan, khususnya DAP dan PPBM yang sedang melanda di seluruh negara, sebarang tindakan disiplin yang mendorong kepada pemecatan Peja Azumu dari jawatan Menteri Besar Perak, hanya memudahkan BN Perak kembali menguasai Kerajaan Negeri dan ADUN-ADUN DAP seperti Howard Lee yang sedang mengecap kemewahan, akan berputih mata.

Sebabnya, tanpa Peja dan dua orang ADUN BN yang melompat dan menyokongnya, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Perak, tidak akan wujud lagi kerana Pakatan akan kekurangan tiga kerusi berbanding UMNO-BN.




Saturday, September 7, 2019

MELAYU PEMALAS, MELAYU HARAP TONGKAT: SURAT TERBUKA BUAT DR. MAHATHIR!!!



Assalamualaikum Tun,

Selepas solat Jumaat tadi saya baru terbaca penulisan Tun yang disiarkan tadi berkenaan orang-orang Melayu.

Dahulu Tun kerap berkata Melayu pemalas.

Sekarang Tun kata Melayu masih enggan bekerja.

Tun juga masih bernostalgia dan terkenang zaman dahulu kala di zaman British.

Tun kata, "British membuka ladang-ladang getah dan lombong bijih timah. Yang anehnya tidak ada orang Melayu yang bekerja dalam ladang dan lombong ini. Pekerja terdiri dari orang India dan Cina. Perniagaan kedai runcit dan aneka jenis tukang-tukang semuanya terdiri dari orang Cina."

Tun tentunya tahu British buat begini sebab dasar pecah dan perintah, bukan sebab orang Melayu malas bekerja.

Tun juga kata, "Tidak ada orang Melayu yang bekerja sebagai buruh kasar, dan orang Melayu rela serah segala kerja kepada orang asing."

Tun kata, "Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja."

Dan, "Yang tidak terdapat ialah orang Melayu yang berniaga atau bekerja sebagai buruh kasar. Orang Melayu pandang hina bidang-bidang ini."

Kepada Tun, saya tidak pernah hidup semasa zaman British atau zaman Jepun seperti Tun.

Dan saya juga bukannya seorang billionaire seperti anak-anak Tun, yang mendapat manfaat dari banyak kontrak kerajaan.

Semasa saya muda, saya pernah buat kerja buruh kasar, kerja kilang, jadi waiter, jaga kaunter, buat air dan sebagainya.

Selepas saya tamat pengajian dari universiti pada tahun 1999, keadaan ekonomi amat teruk semasa pentadbiran Tun sebagai PM-4, beratus-ratus ribu orang hilang kerja dan graduan-graduan baru seperti saya sukar untuk mendapat kerja walaupun saya kembali ke tanahair dengan ijazah kelas pertama dari salah sebuah universiti terkemuka di dunia.

Saya telah buat macam-macam kerja yang tidak memerlukan ijazah untuk mencari sesuap nasi termasuk sebagai buruh kasar.

Apabila saya ingin berkahwin dan memulakan keluarga pada awal tahun 2000, keadaan kewangan amatlah sukar kerana ekonomi negara yang telah ranap semasa pentadbiran Tun, saya terpaksa membuat dua kerja selama lebih dua tahun untuk mengumpul wang untuk berkahwin.

Pada ketika itu, pada siang hari saya berkerja di pejabat dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang dan selepas itu terus ke kerja kedua pada malam hari dari pukul 6 petang sehingga pukul 10 malam.

Setiap hari saya bekerja sekurang-kurangnya 14 jam, tidak termasuk masa perjalanan dan menempuh kesesakan jalanraya.

Kini keadaan ekonomi menjadi semakin teruk dan menuju ke arah krisis seperti tahun 1997-1999 dahulu.

Ramai orang hilang kerja dan graduan-graduan terutama graduan Melayu sukar untuk mendapat kerja.

Saya amat faham masalah yang dihadapi oleh orang-orang muda sekarang sebab saya pernah mengharunginya dahulu.

Saya rasa Tun dan keluarga Tun yang kaya raya tidak faham masalah rakyat biasa, dan saya pasti Tun atau anak-anak Tun tidak pernah bekerja seperti saya bekerja dan tidak pernah menjadi buruh kasar.

Sebab itu apabila orang tidak bekerja atau miskin, Tun cepat sahaja panggil mereka pemalas seolah-olah itu pilihan mereka dan seolah-olah mereka yang bersalah ke atas keadaan mereka ini walaupun hal sebenar adalah jauh berbeza.

Orang Melayu bukannya pemalas.

Dan mereka bukan tidak mahu bekerja.

Jika mereka tidak bekerja, mereka tidak makan. Kebanyakan mereka bukan ada simpanan berbillion ringgit di dalam bank seperti keluarga Tun.

........

Ramai graduan Melayu sekarang yang mempunyai ijazah cemerlang tetapi bekerja sebagai pembantu jualan di kompleks membeli belah, bawa Grabfood dan Food Panda, jual burger dan sebagainya.

Kini Tun mahu mereka jadi buruh kasar dan bawa Gojek pula.

Tun tentunya tahu bahawa beberapa kajian membuktikan bahawa antara sebab graduan Melayu tidak dapat kerja bukan sebab mereka pemalas atau tidak mahu bekerja seperti yang Tun kata, tetapi sebab mereka didiskriminasikan di pasaran kerja.

Menurut kajian, hanya 4% daripada graduan Melayu dipanggil untuk temuduga berbanding 28% graduan Cina dengan kelulusan yang sama.

Saya pasti graduan Melayu yang diberikan tawaran kerja selepas ditemuduga adalah lebih rendah dari 4% tersebut.

Pada saya, kerajaan perlu membuat dasar supaya ekonomi berkembang dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menggunakan teknologi dan akal fikiran untuk rakyat dan graduan-graduan.

Bukan menyuruh rakyat undur ke belakang dan menjadi buruh kasar dan memanggil mereka pemalas apabila peluang pekerjaan tiada akibat kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi.

.......


Tun juga tentunya tahu berkenaan monopoli dan kartel perniagaan kaum lain yang mendiskriminasi ke atas perniagaan orang-orang Melayu.

Tun telah menulis berkenaan ini dengan panjang lebar dalam buku "Malay Dilemma" dahulu.

Jika Tun baca buku "Chinese Dilemma" pula, Tun juga tentunya nampak bahawa masalah perkauman dalam perniagaan adalah nyata berlaku di pasaran, dan hal ini mendatangkan masalah kepada peniaga-peniaga Melayu untuk menembusi rantaian bekalan yang dimonopoli kaum lain.

Akibatnya banyak perniagaan Melayu telah gagal kerana diskriminasi bekalan dan harga yang dikenakan ke atas mereka.

Sebab itu dahulu saya pernah kata salah satu sebab utama orang-orang Melayu masih miskin dan tidak bekerja adalah bukan kerana mereka malas dan tidak mahu kerja, tetapi kerana mereka terus didiskriminasi di negara sendiri.

........

Dasar-dasar Tun hanya mengayakan kroni-kroni namun tidak mempedulikan orang-orang miskin.

Dahulu Tun pernah berkata, jika Tun mengayakan beberapa orang, orang itu akan mengayakan lebih ramai orang di bawahnya.

Dasar "trickle down economics" Tun ini ternyata tidak berjaya dan tidak benar, kerana beberapa orang kaya kroni-kroni ini telah terus menjadi lebih kaya raya namun kekayaan ini tidak sampai ke bawah.

Di tengah-tengah zaman pemerintahan Tun semasa tahun 1990an, jurang antara yang kaya dan yang miskin telah melebar, perkongsian kekayaan negara kepada golongan 20% teratas (T20) telah meningkat dari 50% ke 52%.

Namun jumlah perkongsian pendapatan negara untuk golongan 40% terbawah (B40) telah menurun dari 15% ke 13%.

Tun sepatutnya mengaku bahawa dasar-dasar Tun selama ini iaitu 23 tahun sebagai Perdana Menteri telah tidak berjaya untuk menghapuskan diskriminasi ke atas orang-orang Melayu ini malah menjadikannya lebih buruk.

Walaupun Tun tentunya tahu berkenaan fakta ini, namun saya pasti Tun tidak akan mengaku bahawa ianya adalah salah Tun, tetapi seperti biasa Tun akan salahkan orang lain.

Dan sebab itu Tun tidak akan berhenti daripada menyalahkan orang Melayu dengan berkata mereka pemalas, tidak mahu bekerja dan tidak sedar diri seperti biasa.

Selagi Tun bersikap begini, selagi itulah kita tidak akan dapat keluar dari kepompong pemikiran begini dan kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah orang-orang Melayu ini.

Yang lebih teruk lagi ialah masalah diskriminasi, prejudis dan bias ke atas orang-orang Melayu oleh kaum lain akan menjadi lebih teruk sebab seorang pemimpin Melayu seperti Tun telah mengaku bahawa orang-orang Melayu ini kononnya memang pemalas, walaupun hakikatnya ianya tidak benar dan malah sebaliknya.

........


Saya tahu pemikiran lama sukar dibuang.

Namun, jika Tun tidak boleh membuang pemikiran lama ini, sekurang-kurangnya dengarlah masalah rakyat semasa.

Rakyat sedang susah. Masa telah berubah. Zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu.

Orang Melayu bukannya tidak sedar seperti kata Tun.

Malah mereka sebenarnya sudah terlebih sedar dan sudah pandai menilai dan tidak lagi mudah ditipu, bukan seperti dahulu.

Sebab itu mereka kini tidak lagi percaya kepada tanggapan lama Tun tersebut.

Kita perlu berubah mengikut peredaran zaman.

Dan mengubah pemikiran sejajar dengan persekitaran semasa.

Jika tidak, kita akan terus ketinggalan.

Salam,
ISHAM JALIL
Marhaen
6 September 2019
 
Blogger Templates