Social Icons

Pages

BULETIN 247

Saturday, November 29, 2014

SI PENGECUT BERNAMA HISHAMUDDIN RAIS RANCANG AMBIL TINDAKAN TERHADAP NAJIB KERANA POPULARKAN GAMBARNYA DALAM PERSIDANGAN AGUNG UMNO!!!

Aktivis sosial Hishamuddin Rais akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak kerana menyiarkan klip videonya di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Video yang dimainkan ketika Najib mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan memberi gambaran Hishamuddin bersalah atas kes hasutannya walaupun kes berkenaan masih dalam perhatian Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Saya menghubungi peguam saya. Hasil daripada perbincangan dengan peguam, kami bersependapat untuk menghantar surat tuntutan kepada Najib.

“Surat peguam saya ini bertujuan memberi amaran kepada Najib agar memberhentikan penyebaran klip video yang bersangkutan dengan diri saya yang ditayangkan di Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut firma guaman yang mewakili Hishamuddin, Daim dan Gamany, klip berkenan memaparkan Hishamuddin sebagai pesalah di bawah Akta Hasutan.

Dalam penyata tuntutan kepada Najib semalam menyatakan kenyataan dan tindakan perdana menteri itu menyebabkan prejudis kepada proses perbicaraan yang belum selesai.

Menurut firma guamannya Daim dan Gamany, klip tersebut “menjadikan parah lagi imej Hishamuddin sebagai pelanggar Akta Hasutan.”

Dalam notis permintaan kepada perdana menteri semalam, ia tertulis kata-kata dan tindakan Najib mewujudkan risiko yang besar dan benar dalam mendatangkan prejudis semasa proses mahkamah.

Notis tersebut juga mengatakan mainan klip tersebut semasa ucapan Najib, yang disiarkan di televisyen dan dilaporkan meluas dalam media, merupakan subjudis dan menghina mahkamah, dan beliau menimbulkan lebih rasa benci dan prejudis terhadap Hishamuddin.

“Kami diarahkan untuk memberikan anda notis yang mengatakan anda tidak boleh menyiarkan, menunjukkan, mengedarkan atau menyebarkan klip video tersebut di Perhimpunan Agung Umno, yang masih berjalan ataupun di mana-mana kejadian ataupun membuat dakwaan yang serupa terhadap anak guaman kami sementara kes masih berjalan di mahkamah.

“Sekiranya anda gagal mematuhi, kami mempunyai arahan untuk memulakan prosiding komitmen terhadap anda,” kata firma guaman tersebut dalam notis, menambah Hishamuddin mengekalkan haknya untuk mengambil tindakan yang perlu, termasuk tetapi tidak terhad kepada prosiding komitmen atas klip tersebut serta ucapan Najib.

Hishamuddin, 63, sedang menjalani perbicaraan ekoran dakwaan untuk menumbangkan kerajaan pada 13 Mei tahun lepas, kurang dua minggu dari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berakhir dengan kemenangan Barisan Nasional ke atas Putrajaya.

Semasa membuat kenyataan 13 Mei itu, Hishamuddin dan beberapa lagi peserta di forum di Kuala Lumpur didakwa menghasut orang ramai untuk menjatuhkan kerajaan melalui protes jalanan.

Beliau diarahkan membela diri bulan lepas selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwa membuktikan kes prima facie.

Pada Khamis, Najib mengumumkan di Perhimpunan Agung Umno yang Akta Hasutan akan dikekalkan dan diperkukuhkan termasuk peruntukan menghina agama sebagai kesalahan undang-undang.

Seruan supaya pemisahan Sabah dan Sarawak juga termasuk dalam peruntukan di bawah akta yang diperkukuhkan tersebut.

Presiden Umno itu berkata akan terus-menerus memperjuangkan bangsa Melayu dan tidak akan membenarkannya untuk “jahanam” dan “dihina” di atas bumi sendiri, lapor TMI. (SUMBER)

NUR FARHANA MOHD ANUAR BAKAL MENJADI AHLI UMNO MUDA YANG DIRATAH DAN DIBUNUH OLEH UMNO YANG LAIN!!!


Kepetahan dan kebijaksaan Nur Farhana Mohd Anuar ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2014, yang memasuki hari kedua hari ini, menambat hati Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Penuntut tahun kelima First Moscow State Medical University, Rusia, itu 'mencuri' hati Badruddin apabila menyelitkan bahasa Rusia dalam perbahasannya dan setiap kali itu juga terpaksa mengucapkan 'mohon izin pengerusi' selepas diingatkan beberapa kali bahawa perbahasan mestilah dalam bahasa Melayu.

Badruddin juga beberapa kali mengajukan perkataan tertentu kepada Nur Farhana untuk mengetahui maksudnya dalam bahasa Rusia dan bila cuba menyebutnya, seluruh hadirin di dalam dewan tertawa kerana sebutan dan bunyi Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan itu kedengaran pelik serta melucukan.

Dalam perbahasannya selama 15 minit, Nur Farhana dengan lantang berkata, Umno tidak boleh berbangga dengan jumlah anggota yang ramai iaitu 3.47 juta orang kerana mendakwa belum tentu semua anggota itu adalah 'orang Umno'.

"Anggota Umno sepatutnya menjadi 'orang Umno' yang akan berjuang demi bangsa, agama dan negara," katanya ketika berucap di hadapan perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Wakil Kelab Umno Luar Negara Moscow itu menarik perhatian apabila menyatakan program anjuran Umno terlalu 'syok sendiri', stereotaip, kurang mesra golongan muda, tidak strategik kerana kebanyakannya dianjurkan semata-mata untuk memenuhi tuntutan program tahunan.

"Ramai mahasiswa muda mempunyai persepsi bahawa Umno tidak mempunyai idea yang segar dan tiada idea baharu, matlamat serta perjuangan parti juga semakin pudar," katanya.

Selesai sahaja perbahasan gadis itu, Badruddin memuji Nur Farhana yang menurutnya berucap dengan penuh beradat serta beradab dan mahu jurucakap yang lain mencontohinya. - Bernama

ULASAN: 

Nur Farhana tidak bernasib baik kerana dia menyertai UMNO. Kalau dia menyertai DAP, sudah tentu dia akan disambut, diberikan penggalakan, diberikan sokongan, bahkan akan diberikan publisiti besar-besaran seperti yang diberikan kepada Jamilah, Rara dan Dyana Sofya.

Selepas ucapannya dalam PAU, ramai orang UMNO yang sakit hati kepadanya, terutama sekali yang terlibat dalam dunia blog. Sudah ada yang mula bertanyakan itu ini, sebagai tanda ego mereka sedang tercalar dengan kenyataan Nur Farhana. 

MALAH SUDAH ADA YANG BERTANYA, apa blog, berapa lama berblog dan berapa ramai pengikut. 

Jangan hairan, kerana dalam tempoh beberapa hari ini, Nur Farhana akan terus menjadi bahan untuk diratah, dipancung, dicincang, dan dimakan ramai-ramai...


Friday, November 28, 2014

PULAK DAH!!! SHAARI SUNGIB TAK MAHU SELANGOR JADI 'KERAJAAN AZMIN ALI'!!!


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungip bimbang jika kerajaan Selangor pada asalnya adalah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) bertukar menjadi ‘Kerajaan Azmin Ali’ apabila penonjolan satu individu melebihi kerja berpasukan.

Saari turut mengingatkan PR jangan terlalu memberi puji-pujian terhadap Menteri Besar baharu, Mohamad Azmin Ali kerana dibimbangi pujian itu akan menerima padah.

“Bila mula pujian dilemparkan dan apabila setiap tingkah laku dipuji. Terjah sana, terjah sini merupakan satu pujian sehingga setiap langkah yang diambil akan menjadi ‘political mileage’oleh sesiapa di kalangan kita, di situlah kelemahan berlaku.

“Tetapi sekiranya … disambut dengan terbuka oleh Dato Menteri Besar, kritikan dan teguran yang beradap yang betul, maka saya percaya kita berada di atas landasan yang benar,”katanya.

Saari juga turut menyatakan kebimbangan pujian itu akan berakhir dengan perubahan kerajaan Selangor menjadi kerajaan Azmin sebagaimana yang berlaku kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Itu yang telah dilakukan di Ijok….tetapi selepas dua tahun, telah merubah kerajaan Pakatan Rakyat kepada kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Kita tidak mahu kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam tempoh dua bulan sahaja berubah kepada kerajaan Azmin Ali,”katanya lagi.

Dari: AIDC.

PENGERUSI HINDRAF TUDUH TUNKU ABDUL RAHMAN SENGAJA PINDA PERLEMBAGAAN NEGARA UNTUK 'KETUANAN MELAYU'!!!


Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Badan Bertindak Hak Hindu (HINDRAF), P. Waytha Moorthy berkata, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin perlu berhenti mengingatkan rakyat bukan Melayu negara ini mengenai ‘janji asal’ mereka dalam ‘kontrak sosial’ yang dipersetujui dalam proses mendapatkan kemerdekaan.

Sebaliknya aktivis masyarakat Hindu itu menggesa Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan agar mengkaji semula setiap lembaran dokumen sejarah kemerdekaan negara dari penjajah British yang didakwanya telah dimanipulasi.
Moorthy mendakwa ‘janji asal dalam kontrak sosial’ itu sebenarnya tidak wujud, sebaliknya beliau menuduh perdana menteri pertama dan bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berpakat secara sulit dengan kerajaan British untuk meminda Perlembagaan asal negara untuk diselaraskan dengan agenda ‘ketuanan Melayu’ beliau.
Beliau yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tertentu melabelkan kaum bukan Melayu sebagai ‘anti-Melayu’ dan ‘pendatang’ serta sering dikecam sebagai tidak bersyukur kerana tidak menyokong Barisan Nasional (BN) menegaskan, rakyat bukan Melayu adalah aset kepada negara ini.
“Kalaulah semua kaum India dan Cina meninggalkan negara ini pada tahun 1957, saya secara peribadi boleh mengatakan Malaya akan jatuh muflis serta-merta.

“Saya kata begitu berdasarkan bukti dokumen-dokumen yang telah saya lihat dan miliki,” dakwa Moorthy.
“HINDRAF terkejut kerana polemik ‘kontrak sosial’ terus digunakan pemimpin kerajaan demi kelangsungan cita-cita politik mereka, khususnya pada setiap kali Perhimpunan Agung UMNO,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Rabu.
Sehubungan itu, kata beliau lagi HINDRAF menggesa kerajaan agar mengklasifikasikan semula semua dokumen berkaitan dengan kemerdekaan negara bagi membolehkan rakyat melihat sendiri kandungan asalnya.
“Sudah tiba masanya kerajaan mendedahkan semua dokumen berkaitan dengan kemerdekaan dan membiarkan seluruh rakyat Malaysia melihat sendiri apa yang asalnya dipersetujui oleh nenek moyang kita.
“Tunku Abdul Rahman telah memungkiri janjinya sendiri kepada Suruhanjaya Reid untuk menggubal Perlembagaan negara ini berpaksikan prinsip masyarakat berbilang kaum apabila beberapa bulan kemudian beliau dan kerajaan British secara sulit menulis semula Perlembagaan untuk disesuaikan dengan agenda beliau,” dakwa Moorthy lagi dalam kenyataannya.
Moorthy terus mendesak agar konsep ‘Ketuanan Melayu’ ditamatkan dan menegaskan Malaysia hanya boleh maju dan makmur jika mengamalkan dasar terbuka di mana kekayaan negara dikongsi oleh semua rakyat. (SUMBER)

ULASAN: 

Waythamoorthy barangkali terlupa bagaimana HINDRAF telah berusaha untuk meminta pampasan daripada Kerajaan British bernilai berbilion-bilion Pound Sterling kerana mendakwa, datuk nenek masyarakat India telah dibawa ke negara ini untuk bekerja tetapi tidak diberikan kerakyatan British.

Kegagalan Kerajaan terutama sekali Kementerian Pelajaran untuk memasukkan perkara-perkara sebenar membabitkan sejarah negara ini, terutama sekali yang membabitkan proses kehadiran kaum bukan Melayu sebelum zaman kemerdekaan, telah digunakan seluas-luasnya oleh pihak seperti HINDRAF untuk melakukan penipuan. 

Begitu juga kegagalan Kementerian Pelajaran untuk memastikan kisah sebenar bagaimana bukan Melayu 'terperangkap' di negara ini menerusi penipuan Britain yang enggan menanggung masalah dengan menerima kaum Cina dan India sebagai warganegara mereka, sebaliknya memperdayakan Raja-Raja Melayu dan UMNO untuk menerima Cina dan India sebagai warganegara negara ini menerusi Jus Soli dengan janji Merdeka!

BESAR KEMUNGKINAN ANWAR IBRAHIM TIDAK MAHU TERUSKAN SAMAN FITNAH KE ATAS ANIFAH AMAN APABILA SEMAKIN BESAR TEMBELANG 16 SEPTEMBERNYA PECAH!!


Lagi cerita KERAJAAN 16 SEPTEMBER 2008 yang tidak jadi....

Ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi, 44, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa kem Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tidak putus-putus berusaha untuk memujuk Ahli-Ahli Parlimen Sabah agar berpaling tadah selepas Pilihanraya Umum 2008.

Ini menyebabkan, katanya, beberapa orang Ahli Parlimen membincangkan perkara itu beberapa kali termasuklah sekali di Macau selepas pertemuan mereka di Le Meridien di Kota Kinabalu.

Raime berkata, Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman memberitahunya, tawaran tersebut telah dibuat sewaktu pertemuan di Le Meridein di Kota Kinabalu kepada beberapa orang Ahli Parlimen dari Sabah.

Anifah Aman sering berada di hotel tersebut untuk menghisap curut di lounge hotel berkenaan.

Menjelaskan tentang keperluan ke Macau, Raime memberitahu Mahkamah, ini adalah kerana puak Anwar Ibrahim tidak henti-henti memburu mereka dan lawatan ke bekas koloni Portugal terpaksa dibuat dengan alasan bermain golf walaupun tiada seorang pun daripada mereka membawa set golf masing-masing.

"Di sanalah saya tahu dari Ronald Kiandee (Beluran), yang turut hadir di Le Meridien, yang dia telah ditawarkan RM5 juta untuk berpaling tadah menyokong pembangkang," katanya.

"Bagaimanapun, Anifah memutuskan sebaliknya dan kami tidak sepatutnya menerima tawaran tersebut dan kami semua bersetuju (dengan keputusan tersebut)."

Dia kemudiannya memberitahu Anifah yang dia tidak menerima sebarang tawaran.

Dalam kenyataan saksi awalnya, Raime memberitahu Ronald telah menawarkan RM2 juta untuk berpaling tadah tetapi kemudian dia membetulkannya semula kepada RM5 juta.

Ahli Parlimen Tenom itu juga memberitahu mahkamah yang dia melihat sendiri orang yang menawarkan RM100 juta kepada Anifah di Hotel Hilton KL Sentral.

Anifah yang juga Menteri Luar memberitahu mahkamah pada Khamis bahawa angka tawaran itu datang sendiri daripada Anwar Ibrahim menerusi panggilan telefon selepas kepulangannya dari Macau. Seorang ahli perniagaan Sabah, Tony Vun, mula-mula menelefon Anifah Aman dari Terminal Tambang Murah di Sepang dan kemudian menyerahkan telefon itu kepada Anwar Ibrahim.

Anifah tidak ingat tarikh sebenar ketika tawaran itu dibuat tetapi kemudian berkata ia berlaku antara Mei dan Jun 2008.

Perbicaraan ini dibuat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Sit Khadijah S.Hassan Badjenid.

Pendengaran akan disambung pada 15 dan 16 Disember dengan testimoni dari Ronald, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Puad Zarkashi, Duta Malaysia ke Indonesia Zahrain Md Hashim dan Presiden SAPP Yong Teck Lee.

Anwar Ibrahim menyaman Anifah sebanyak RM100 juta dengan mendakwa Anifah Aman telah menfitnahnya menerusi kenyataan yang dibuat dalam sidang media di Washington DC bersama-sama dengan bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton pada Mei 2009.

Ketua Umum PKR itu mendakwa, Anifah telah membuat tuduhan tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan sembrono, dan kenyataannya itu telah disebarkan secara meluas di media-media tempatan dan luar negara.

TIAN CHUA TUDUH ANIFAH AMAN KARANG CERITA DONGENG BERHUBUNG RASUAH RM100 JUTA DAN JAWATAN TIMBALAN PERDANA MENTERI!

Kenyataan yang dibuat oleh Anifah Aman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam berhubung cubaan merasuahnya RM100 juta dan jawatan Timbalan Perdana Menteri telah menimbulkan kekalutan di kalangan para pemimpin PKR. Anifah Aman bukan sahaja mendedahkan plot yang dirancang oleh Anwar Ibrahim dalam usaha menubuhkan Kerajaan 16 Sepember 2008 tetapi juga telah mendedahkan tentang modal besar yang digunakan oleh Anwar Ibrahim bagi mendapatkan jumlah yang mencukupi iaitu 40 orang Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk tujuan berkenaan.

Tian Chua adalah salah seorang daripada yang terlibat dalam plot tersebut.

Pendedahan yang dibuat oleh Anifah Aman di mahkamah, segera menarik reaksi Tian Chua. Tian Chua seperti biasa menuduh Anifah Aman mereka-reka cerita tentang rasuah RM100 juta dan jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya kerana Anifah Aman tidak dapat mengingati tarikh sebenar tawaran dibuat oleh wakil Anwar Ibrahim kepadanya. Dan pada masa yang sama, cuba pula menimbulkan persepsi berapa kerapkah Anifah Aman terlibat dengan rasuah sehingga tidak dapat mengingati tarikh-tarikh 'penting' seperti itu. (RUJUK SINI)

Kesungguhan Anwar Ibrahim untuk memujuk dan merasuah Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak terserlah apabila dia mengutuskan rombongan untuk memujuk. Bagaimanapun, Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah yang menjadi sasaran Anwar Ibrahim telah membuat 'rombongan sambil bekerja' di Taiwan, sekaligus melarikan diri daripada wakil-wakil Anwar Ibrahim.

Ini menyebabkan Tian Chua, Elizabeth Wong, Saifuddin Nasution diletakkan dalam satu kumpulan pemujuk yang akan menyusul rombongan Ahli-Ahli Parlimen Sabah itu ke Taiwan. (RUJUK SINI)

Tidak sahaja gagal, Tian Chua dan Elizabeth Wong kemudiannya perlakuan tidak senonoh yang kemudian pecah menyebabkan ketiga-tiga mereka dipanggil pulang ke Malaysia (RUJUK SINI). Mereka bukan sahaja gagal memujuk, malah menemui Ahli-Ahli Parlimen BN Sabah di Taiwan pun, mereka gagal.

Justeru penafian yang dibuat oleh Tian Chua sambil menuduh Anifah Aman sebagai seorang pengamal rasuah, sebenarnya mempunyai natijah yang amat besar kepada dirinya sendiri. Di sebalik penafiannya, Tian Chua bukan sahaja membenarkan cubaan rasuah yang telah dinafikan oleh Anwar Ibrahim dengan alasan berbelit-belit, tetapi juga mengesahkan bahawa cubaan merasuah Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk berpaling tadah dan menyokong Pakatan Rakyat, adalah benar, sekaligus menyebabkan Tian Chua kelam-kabut cuba membuat penafian dan memadan-mukakan Anifah Aman.

PARTI KOMUNIS MALAYA DAN PENGGANAS-PENGGANASNYA ANJUR MAKAN MALAM YANG DISOKONG PAKATAN RAKYAT DI PULAU PINANG!!!


Majlis Makan Malam melibatkan pengganas-pengganas Parti Komunis Malaya akan diadakan pada 29 November 2014 bertempat di Dewan Serbaguna Chai Leng Park, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Difahamkan selain daripada majlis makan malam, turut dianjurkan nanti adalah ceramah yang akan memutarbelitkan fakta sebenar tentang proses perjanjian damai, kebaikan perjanjian damai kepada perjuangan komunis, kehidupan selepas perjanjian damai dan lain-lain hal yang berhubung kait dengan perjanjian damai.

Makan malam tersebut turut menghimpunkan bekas-bekas pengganas komunis dan penyokong mereka yang dikatakan telah bertaubat dan mahu berubah. Pada masa yang sama, turut menerapkan tentang kebaikan fahaman komunis yang kononnya perjuangan demi keadilan sosial dan perikemanusiaan, sekalipun rekod Parti Komunis Malaya ialah kekejaman dan huru-hara selama lebih tiga dekad.

Parti Komunis Malaya ditubuhkan pada tahun 1930 dalam impian mewujudkan sebuah Empayar China Komunis yang berkiblatkan Mao Tze Tung dan Revolusi Kebudayaan Negara Tirai Besi itu bagi mengimbangi empayar komunis Russia dan blok kapitalis yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Kejayaan mengkomuniskan Laos, Cambodia dan Vietnam memerlukan Tanah Melayu sebagai jajaran utama bagi penguasaan laluan perdagangan serta ketenteraan strategik yang membolehkan Komunis China menguasai sepenuhnya Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Jepun dan pinggir Pasifik.

Sepanjang penguasaan dan kejahatan Parti Komunis Malaya, ratusan ribu rakyat Tanah Melayu dan Sabah serta Sarawak menderita dibunuh, dizalimi, dicacatkan dan dijarah selain kerosakan harta awam dalam usaha Chin Peng untuk menguasai negara ini untuk dicantumkan dengan China..... SAMBUNG BACAAN DI BULETIN 247
 
Blogger Templates